Gerakan Pro Komunis Pasca Perjanjian Hatyai 1989 (Siri 1)

Oleh Penulis Undangan

(DEFENCE SECURITY ASIA) — “Kembalilah kamu dalam masyarakat, kumpulkan kekuatan dan bangkitlah sebagai golongan pendesak”,  itulah ungkapan Ong Boon Hua atau dikenali sebagai Chin Peng sebelum menyedari perjuangannya membentuk negara Komunis bakal berakhir.

Realiti bahawa kekuatan militari dan sokongan material terhadap gerakan bersenjata semakin pudar, petualang bangsa ini mengambil jalan yang lebih “bermaruah” untuk berdamai dengan
Kerajaan Malaysia.

Mungkin sedikit kemenangan moral apabila perjanjian ini menyaksikan anggota komunis ini berjaya kembali ke Malaya tanpa ditahan meskipun sekian banyak onar telah mereka lakukan.

Namun hanya senjata yang mereka tinggalkan, segala ideologi dan fahaman terus tertanam
dan mungkin juga diterapkan kepada generasi mereka. Perjanjian Damai Hatyai 1989 yang
membenarkan bekas anggota Parti Komunis Malaya [PKM] pulang membina kehidupan
baharu di Malaysia tidak harus dipandang mudah. Kepulangan mereka disambut bukan
sahaja oleh ahli keluarga tetapi sympathizer dan juga ahli persatuan ‘clan’ pro-komunis yang
bertopengkan badan yang sah di sisi undang-undang.

Penyokong senyap mereka inilah yang harus diberi perhatian kerana mampu menjadi
penerus legasi kotor fahaman tersebut.

Penglibatan secara langsung dalam sektor ekonomi, sosial dan politik membuktikan gerak kerja mereka telah bertukar kepada cara yang lebih lembut tanpa melibatkan senjata dan kekerasan.

Pertubuhan yang dikaburi dengan aktiviti sekerja, sumbangan, rekreasi dan kebajikan yang berhubung langsung dengan masyarakat merupakan satu daripada seribu langkah untuk  mereka untuk membina persepsi “sisi mulia” fahaman Komunis ini.

Perkara lain yang perlu diperhatikan adalah terdapat daripada kumpulan pro komunis ini
membentuk kumpulan gangster yang didanai daripada badan dan ahli perniagaan yang
mempunyai fahaman yang sama.

Kegiatan mereka menjurus kepada aktiviti haram seperti peras ugut, perjudian, kongsi gelap dan sebagainya.

Mereka juga berselindung di sebalik nama-nama ahli perniagaan dan politik bagi mendapat “payung” bagi menghalalkan aktiviti haram mereka.

Perjuangan tanpa senjata mereka juga semakin kelihatan apabila terdapat pihak yang
bersimpati dengan gerakan tersebut.

Melalui NGO dan juga pihak yang memperjuangkan hak asasi, gerakan pro komunis dilihat mendapat backup apabila mereka ditahan pihak berkuasa.

Pelanggaran hak asasi manusia dijadikan hujah untuk membela aktiviti mereka dan
mempersoal tindak tanduk pihak berkuasa.

Pindaan Akta Keselamatan dalam Negeri [ISA] pada 2013 menyebabkan sedikit sebanyak
pihak berkuasa hilang kuasa untuk membanteras ancaman tersebut.

Orang awam juga merasai perkara ini secara tidak langsung di mana kini dilihat lebih banyaknya pihak-pihak atau individu yang mempertikai undang-undang, perlembagaan, institusi beraja dan kritikan menghina terhadap negara.

Golongan pendesak ini mula menunjukkan diri mereka yang selama ini cuma menunjukkan bayang, namun harus diingat pihak keselamatan tidak pernah tidur dan cuma menunggu masa untuk bertindak.

Bersambung siri seterusnya….

— DEFENCE SECURITY ASIA

Chin PengKomunisOng Boon Hua