“Lenggang-Lenggok Mak Limah” Dlm Memilih Pesawat FLIT/LCA TUDM

Sementara kita masih lagi “lenggang-lenggok Mak Limah” dalam membuat keputusan tentang pesawat FLIT/LCA untuk TUDM itu, tahap keselamatan di Laut China Selatan atau Sabah dengan tuntutan waris Kesultanan Sulu semakin genting dan "panas."

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Nampak gaya, kita semua terpaksa menunggu masa yang lebih lama untuk mengetahui pesawat apakah yang menjadi pilihan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk program Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).

Admin tidak nampak Kementerian Pertahanan akan mencapai keputusan di dalam masa beberapa bulan ini.

Sikap pessimistik ini timbul berdasarkan kepada jawapan bertulis Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein di Parlimen baru-baru ini berkenaan status terkini tentang Tender Terbuka Antarabangsa bagi perolehan pesawat tempur FLIT/LCA.

FA-50

 

Katanya, tender bagi perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA itu telah diiklankan pada 22 Jun 2021 dan ditutup pada 6 Oktober 2021.

Kementerian Pertahanan menurut beliau, telah melengkapkan semua peringkat penilaian tender.

“Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan pada 17 Mac 2022 juga telah memutuskan petender yang disenarai pendek.

“Sehubungan dengan itu, surat permohonan untuk mengadakan pemeriksaan fizikal dan rundingan harga dengan petender yang disenarai pendek telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada 15 April 2022 untuk kelulusan,” katanya dalam jawapan bertulis itu.

Hishammuddin berkata, peringkat seterusnya adalah pemeriksaan fizikal.

Tejas

 

“Peringkat yang seterusnya adalah pemeriksaan fizikal kepada petender yang telah disenarai pendek untuk proses rundingan harga sebelum dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan bagi pemilihan pembida yang berjaya,” kata beliau.

Ini bermakna pemeriksaan fizikal terhadap pesawat-pesawat yang disenarai pendek oleh Kementerian Pertahanan pun belum bermula, maka adalah selamat untuk menyatakan bahawa keputusan paling awal akan hanya dibuat tentang pilihan pesawat FLIT/LCA TUDM adalah dijangkakan pada akhir tahun ini atau tahun depan.

Jika pemeriksaan fizikal pun belum bermula, maka ia juga bermaksud bahawa rundingan harga dengan syarikat-syarikat pembuat pesawat yang disenarai pendek itu juga belum bermula.

Memandangkan bajet kita terhad, maka proses rundingan dengan syarikat-syarikat terbabit sudah semestinya akan mengambil masa yang panjang. (mungkin berbulan-bulan lamanya lagi)

Hurjet

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini memberi gambaran seolah-olah bahawa Kementerian Pertahanan sudah hampir untuk membuat keputusan tentang pesawat FLIT/LCA itu, tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Nampaknya keputusan kerajaan tentang perolehan pesawat FLIT/LCA “masih jauh lagi” sebelum tiba ke garisan penamat, seolah-olah tiada “sense of urgency”.

Masih lagi “lenggang-lenggok Mak Limah” dan sementara kita masih “berlenggang-lenggok” dalam membuat keputusan tentang pesawat FLIT/LCA itu, tahap keselamatan di Laut China Selatan atau Sabah dengan tuntutan waris Kesultanan Sulu semakin genting dan “panas.”– DSA

featuredFLIT-LCATenderTUDM