(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, tentera darat Filipina telah mengadakan ujian penembakan sistem meriam bergerak (wheeled self propelled howitzer) “Soltam ATMOS 155mm/52cal yang dibangunkan oleh konglomerat pertahanan Israel, Elbit Systems Land & C4I.
Tentera darat negara jiran Malaysia itu mula menerima meriam-meriam bergerak buatan Israel itu pada akhir tahun lepas.
Perolehan sistem self-propelled howitzer ATMOS 155mm/52cal daripada syarikat Israel, Elbit Systems Land itu mengukuhkan lagi hubungan ketenteraan yang erat di antara Filipina dan Israel.
Selepas menjalankan ujian penembakan yang diadakan di Fort Magsaysay Military Reservation Area di Palayan City , meriam-meriam terbabit kemungkinan besar akan dikerahkan untuk menjalankan operasi di selatan Filipina yang berhadapan dengan pelbagai masalah keselamatan.
Ujian penembakan itu diadakan pada 6 hingga 8 April yang lepas.
Pada Disember tahun lepas, laman blog pertahanan Filipina, Max Defense telah memaparkan beberapa keping gambar ketibaan meriam-meriam terbabit bersama-sama kenderaan sokongannya di zon ekonomi bebas Pelabuhan Subic di Subic, Filipina.
Filipina telah menandatangani perjanjian dengan Israel untuk memperolehi di antara 12-15 meriam bergerak beroda jenis Soltam ATMOS 15mm/52cal dibawah program pemodenan angkatan tentera Filipina Horizon 2.
Filipina bercadang melengkapkan dua bateri tentera daratnya dengan meriam-meriam buatan Israel itu.
Sistem meriam beroda bergerak Soltam ATMOS 155mm/52cal itu telah dibangunkan oleh anak syarikat Elbit iaitu Soltam Systems, satu nama yang lama dan kukuh dalam pembuatan meriam dan sistem mortar daripada Israel.
Soltam System ini juga telah banyak menempa kejayaan di peringkat antarabangsa.
Meriam Soltam ATMOS 155mm/52cal ini mampu menembak sasaran sejauh 41km menggunakan projektil jenis “Extended Range Full Bore Base Bleed (ERFB-BB)”, dengan sistem itu dioperasikan oleh krew di antara empat hingga enam orang (termasuk dua loaders)
Di dalam kes Filipina, sistem meriam Soltam ATMOS itu menggunakan trak MAN, memandangkan kenderaan itu mudah didapati di Filipina.
Tentera Darat Thailand turut menggunakan sistem meriam bergerak Soltam ATMOS 155mm/39cal.
Selain sistem meriam bergerak Soltam ATMOS 155mm/52 cal, tentera darat dan pasukan marine Filipina turut menggunakan 12 unit meriam 155mm/39 cal. (towed)
Selain itu tentera darat Filipina turut memperolehi kenderaan mortar bergerak “M113 Armored Mortar Carrier” yang menggunakan Soltam CARDOM recoil mortar system.
Pada 2019, Filipina turut menandatangani perjanjian dengan syarikat Elbit itu untuk memperolehi sejumlah 15 buah sistem mortar bergerak itu yang menggunakan mortar berkaliber 120mm.
Perjanjian untuk sistem mortar bergerak itu turut meliputi perolehan Combat NG Battle Management System oleh Elbit dianggarkan bernilai RM80 juta.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Sistem mortar bergerak dibangunkan oleh syarikat Elbit mampu membedil sasaran sejauh 7,000 meter dengan mortar itu mampu memuntahkan enam peluru dalam tempoh satu minit.
Angkatan Tentera Filipina merupakan diantara pelanggan utama bagi sistem pertahanan Israel di rantau Asia Tenggara ini dengan kesemua cabang angkatan tenteranya menggunakan pelbagai peralatan yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat pertahanan Israel.
Penasihat-penasihat ketenteraan Israel juga bergerak aktif memberikan latihan kepada unit-unit tentera dan keselamatan Filipina termasuk kepada pasukan-pasukan khusus negara itu. — DSA