(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memiliki kira-kira 20 buah bot kombat CB-90 buatan Sweden yang akan diganti dengan Fast Interceptor Craft (FIC), manakala Filipina pula baru sahaja memiliki bot-bot MPAC (Multi Purpose Assault Craft) dan Fast Attack Interdiction Craft-Missile (FAIC-M) yang dilengkapi dengan pelbagai jenis sistem persenjataan buatan Israel.
Filipina menggunakan 12 buah bot MPAC serta lapan buah FAIC-M untuk menjaga keselamatan di kawasan pesisir pantainya dan wilayah maritime.
Jurucakap Tentera Laut Filipina Komander Benjo Negranza dilaporkan berkata bahawa perolehan bot-bot MPAC akan meningkatkan kemampuan tentera laut negara itu dalam mempertahankan kawasan pesisir pantai negara itu.
Apa yang menarik tentang bot-bot MPAC Filipina jika dibandingkan dengan bot-bot CB-90 dan FIC TLDM adalah sistem persenjataannya yang boleh disifatkan sebagai “armed to the teeth”, berkemungkinan untuk menimbulkan kegerunan kepada musuh-musuhnya.
Bot-bot MPAC Filipina yang dibina oleh Israel Shipyards Ltd dan Rafael Advanced Defense Systems pada 2019 itu sememangnya “bergigi” kerana dilengkapi dengan pelbagai sistem persenjataan termasuk peluru berpandu.
Aset tentera laut Filipina yang memiliki panjang 16.5 meter dengan kelajuan 30 hingga 45 knot itu akan dilengkapi dengan peluru berpandu Spike-ER (Extended Range) yang dibangunkan oleh syarikat Rafael daripada Israel.
Peluru berpandu yang mampu beroperasi dalam mode “Fire and Forget” dan “Fire, Observe and Update) mampu menembusi Rolled Homogenous Armour (RHA) setebal 1,000mm boleh membedil sasaran sejauh 8km.
Selain peluru berpandu, bot-bot MPAC Tentera Filipina itu juga akan lengkapi dengan Typhoon Remote Control Weapon Systems (RCWS).
Selain bot-bot MPAC, Filipina juga telah membelanjakan RM328 juta kepada syarikat Rafael Avanced Defense Systems untuk membekalkan sistem peperangan tentera laut (naval warfare system) bagi keperluan bot-bot Fast Attack Interdiction Craft-Missile (FAIC-M) jenis “Shaldag Mark V” yang dibelinya daripada Israel.
Negara jiran kita juga akan memiliki sejumlah 12 buah FAIC-M buatan Israel itu.
Firma Israel itu membekalkan sistem-sistem seperti berikut kepada bot-bot FAIC-M Filipina termasuk: “Combat Management System, Typhoon & Mini-Typhoon Remote Control Weapon Systems, SPIKE NLOS Missiles, Sea-Com Internal Communication System & BNET Tactical Data Link.”
Peluru berpandu Spike NLOS itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 25km.
Dengan bot-bot MPAC dan FAIC-M yang dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan persenjataan daripada Israel, Tentera Laut Filipina sememangnya telah meningkatkan kemampuan pertahanan kawasan pesisir pantai dan perairan littoral ke tahap yang maksima. — DSA