TUDM Pilih FA-50 Kerana Rekod Perkhidmatan Pesawat Itu Baik – Tok Mat

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan bahawa rekod perkhidmatan pesawat pejuang ringan FA-50 yang baik merupakan sebab utama mengapa Jawatankuasa Penilaian TUDM memilih pesawat itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Rekod perkhidmatan pesawat pejuang ringan FA-50 keluaran Korea Aerospace Industries (KAI) yang baik merupakan justifikasi disebalik pemilihan pesawat itu oleh Jawatankuasa Penilai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk memenuhi keperluan negara.

Bercakap di Parlimen hari ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiada insiden membabitkan pesawat-pesawat FA-50/T-50 yang digunakan oleh Thailand, Indonesia dan Filipina sehingga mencemarkan rekod perkhidmatan pesawat itu yang baik.

“Atas asas itu pihak Jawatankuasa Penilai TUDM yang berlapis-lapis telah memutuskan untuk menggunapakai ini. Itu merupakan justifikasi user (pengguna iaitu TUDM). Justifikasi TUDM untuk memilih 18 buah pesawat FA-50 Block 20 iaitu satu skuadron. Itu adalah batch pertama,” kata beliau.

Menteri Pertahanan berkata, Jawatankuasa Penilai TUDM mempunyai tiga tingkat penilaian yang telah melakukan tugas mereka dengan terperinci.

Pada 24 Februari yang lalu, Kementerian Pertahanan telah menandatangani Surat Setuju Terima dengan KAI bagi tujuan perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 bernilai lebih daripada RM4 bilion.

Pesawat FA-50PL Tentera Udara Poland

 

Bertempat di Kementerian Pertahanan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI, KANG Goo Young telah menandatangani Surat Setuju Terima dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia Datuk Seri Muez Abdul Aziz sambil disaksikan oleh Duta Besar Korea Selatan di Malaysia dan Ketua Staf Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF).

FA-50 Block 20 merupakan varian terkini dan paling berkemampuan bagi pesawat pejuang ringan itu, dengan Malaysia merupakan negara kedua di dunia yang memilih varian itu selepas Tentera Udara Poland.

Di Asia Tenggara, TUDM merupakan pengguna pertama varian FA-50 Block 20.

Menurut Menteri Pertahanan lagi, varian FA-50 Block 20 boleh dilengkapkan dengan peluru berpandu udara-ke-udara serta peluru berpandu udara-ke-darat.

“(Pesawat FA-50 Block 20) mempunyai kemampuan kombatan yang hampir sama seperti pesawat Multi Role Combat Aircraft (MRCA). “

Majlis menandatangani Surat Setuju Terima (SST) perolehan pesawat FA-50 di antara Kementerian Pertahanan dengan Korea Aerospace Industries (KAI) .

 

“Ia adalah untuk memenuhi keperluan semasa kita, sementara kita menilai tentang keperluan kita untuk memperolehi pesawat MRCA,” kata Mohamad Hasan.

Menurutnya, Malaysia dan TUDM tidak mahu membeli pesawat pejuang yang tidak memiliki rekod perkhidmatan atau pesawat prototaip.

“Kita tidak mahu anggota tentera kita menjadi makmal percubaan. Kita menggunakan aset yang ternyata mempunyai kemampuan dan rekod perkhidmatan yang baik,” kata Menteri Pertahanan itu lagi.  — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

FA-50FA-50 Block 20featuredKAITok MatTUDM
Comments (0)
Add Comment