Pemasangan Akhir 14 Buah FA-50 Block 20 Di Malaysia, Empat Di Korea Selatan

Sumber yang memberitahu Defence Security Asia, program pemasangan akhir 14 buah pesawat pejuang FA-50 Block 20 itu adalah sebahagian daripada persetujuan di dalam aspek Industrial Collaboration Program (ICP) dengan Korea Aerospace Industries (KAI) yang membangunkan pesawat itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebanyak 14 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 yang diperolehi oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal menjalani kerja-kerja pemasangan akhir (final assembly) di Malaysia.

Manakala empat buah pesawat pejuang FA-50 Block 20 milik Malaysia itu akan dipasang sepenuhnya di Korea Selatan.

Menurut sumber yang memberitahu Defence Security Asia, program pemasangan akhir 14 buah pesawat pejuang FA-50 Block 20 itu adalah sebahagian daripada persetujuan di dalam aspek Industrial Collaboration Program (ICP) dengan Korea Aerospace Industries (KAI) yang membangunkan pesawat itu.

Pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).

 

“Pemasangan akhir pesawat pejuang itu di Malaysia akan melibatkan kerjasama teknikal yang rapat di antara kedua-dua pihak. Pihak KAI akan membantu dalam aspek kepakaran teknikalnya dalam memastikan pemasangan akhir pesawat itu berjaya.”

Pihak KAI akan mula menghantar pesawat-pesawat FA-50 Block 20 itu kepada Malaysia secara berperingkat bermula daripada bulan Oktober 2026.

Kemudahan pemasangan akhir pesawat FA-50 Block 20 itu juga bakal memiliki barisan juruterbang tempatan dan juruterbang ujian (test pilot) daripada KAI.

Korea Selatan sebelum berjaya membangunkan pesawat pejuangnya sendiri sehingga ke tahap pesawat pejuang generasi 4.5, juga bermula dengan kerja-kerja pemasangan akhir pesawat, sebelum membina kepakaran teknikalnya tersendiri  sebelum mengecapi kejayaan sebagaimana hari ini.

KAI dan Kementerian Pertahanan dijangka akan menandatangani kontrak pembelian 18 buah pesawat FA-50 Block 20 itu esok, dengan disaksikan oleh Menteri Pertahanan daripada kedua-dua negara.

Pesawat FA-50PL Tentera Udara Poland

 

Pada Februari lepas, KAI dan Kementerian Pertahanan Malaysia menandatangani Surat Niat (Letter of Intent) bagi perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20.

Varian Block 20 pesawat FA-50 yang bakal dimiliki oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah varian paling terkini dan berkemampuan berbanding varian-varian lain termasuk yang digunakan oleh Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) itu sendiri.

Hanya TUDM dan Tentera Udara Poland memilih untuk memiliki varian FA-50 Block 20.

Poland menandatangani perjanjian dengan KAI pada tahun lepas untuk membeli 48 buah pesawat FA-50.

Sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Defence Security Asia sebelum ini, varian Block 20 yang bakal dimiliki oleh Malaysia dan Poland itu akan dilengkapi dengan radar AESA “PhantomStrike” yang dibangunkan oleh firma Raytheon daripada Amerika Syarikat.

Ia juga akan dilengkapi dengan sistem pengisian minyak di udara “Chobham Mission System” dan “Sniper” Advanced Targeting Pod.

Kesemua kelengkapan ini tidak dimiliki oleh varian-varian lain T-50/FA-50 termasuk yang dimiliki oleh ROKAF dan tentera-tentera udara Indonesia, Thailand dan Filipina.

Maklumat diperolehi juga mengesahkan bahawa pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM akan dilengkapi dengan dengan kelengkapan radio U/VHF yang hampir sama digunakan digunakan oleh varian terkini pesawat pejuang F-16 Block 70.

Selain itu, pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM itu juga akan dilengkapi dengan “Link 16 Block Upgrade 2”.– DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

FA-50 Block 20featuredKAIPemasangan AkhirTUDM