Pesawat Pejuang FA-50, KF-21 Bakal Diintergrasi Dengan SPEAR, ASRAAM Dan Brimstone

Adakah 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 yang bakal dimiliki oleh TUDM pada tahun 2026 itu akan turut dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu SPEAR, ASRAAM dan Brimstone?

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang ringan FA-50 bakal dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu SPEAR, ASRAAM dan Brimstone,  selepas Korea Aerospace Industries (KAI) dan MBDA menjalin kerjasama untuk mengintegrasi peluru berpandu itu pada pesawat pejuang ringan itu serta pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” yang sedang dibangunkan ketika ini.

KAI dan MBDA telah pun bekerjasama dalam mengintegrasikan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) “METEOR” pada pesawat KF-21 “Boramae.”

“Kata ketika ini terdapat permintaan yang tinggi bagi pelbagai sistem persenjataan. Kami akan bekerjasama dengan MBDA untuk meningkatkan kemampuan pesawat-pesawat (keluaran kami) untuk pelanggan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kang Goo-young.

Peluru-peluru berpandu SPEAR, ASRAAM dan Brimstone keluaran MBDA itu bukan sahaja berkemungkinan digunakan oleh pesawat KF-21 dan FA-50 milik Tentera Udara Korea Selatan tetapi juga negara-negara luar yang menggunakan pesawat itu, sekiranya mereka berniat untuk melengkapkan pesawat FA-50 dimiliki mereka dengan sistem persenjataan tersebut.

Pada ketika ini, selain Korea Selatan dan beberapa negara lain turut menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50 keluaran KAI seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan terbaru Poland serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bermula pada tahun 2026.

Kini, pengguna pesawat pejuang ringan FA-50 memiliki pilihan sama ada mahu memilih sistem persenjataan buatan syarikat pertahanan Amerika Syarikat seperti Lockheed Martin dan RTX (Raytheon)  atau sistem persenjataan keluaran firma pertahanan Eropah seperti MBDA.

Peluru berpandu “SPEAR”
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat “ASRAAM”

 

Adalah sesuatu yang amat baik sekiranya mempunyai pilihan, Amerika atau Eropah.

Malaysia menandatangi perolehan 18 buah pesawat FA-50 Block 20 bernilai RM4 bilion dengan KAI pada LIMA 2023 di Langkawi pada Mei lalu.

Adakah 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 yang bakal dimiliki oleh TUDM pada tahun 2026 itu akan turut dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu SPEAR, ASRAAM dan Brimstone? Kesemuanya bergantung kepada TUDM sama ada mahu melengkapkannya dengan sistem persenjataan tersebut.

Pada pameran LIMA 2023 di Langkawi Mei lepas, pengurusan kanan KAI juga menyatakan bahawa TUDM adalah antara tentera udara yang berpotensi besar untuk memiliki pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae.

“SPEAR” atau (Select Precision Effects At Range) merupakan peluru berpandu udara-ke-darat yang berkemampuan membedil sasaran sejauh di antara 130km hingga 140km dengan tepat tanpa menyebabkan “collateral damage.”

Peluru berpandu udara-ke-darat MBDA itu juga digelar sebagai peluru berpandu kruis mini.

Peluru berpandu udara-ke-darat “Brimstone”
KF-21 “Boramae” ketika melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh “METEOR”.

 

Manakala bagi “ASRAAM” atau (Advanced Short Range Air-to-Air Missile), ia adalah peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat yang kini digunakan oleh Tentera Udara British bagi menggantikan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat, AIM-9 keluaran Amerika Syarikat.

Peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat “ASRAAM” turut digunakan oleh pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tentera Udara Britain dan berkemampuan membedil sasaran udara pada jarak 25km dan lebih.

Jikalau “METEOR” adalah peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh atau BVR, peluru berpandu “ASRAAM” adalah untuk memusnahkan ancaman musuh di udara pada jarak dekat.

Manakala “Brimstome” pula, ia adalah peluru berpandu udara-ke-darat keluaran syarikat MBDA yang berkemampuan membedil sasaran di antara 20km hingga 25km. — DSA

 

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

 

ASRAAMBrimstoneFA-50featuredKF-21
Comments (0)
Add Comment