Operasi F-35B VSTOL Benarkan Tentera Udara S’pura Beroperasi Dari “Mana-Mana Ceruk”

Kemampuan varian pesawat pejuang F-35B VSTOL yang bakal dioperasi oleh republik Singapura dijangka bermula  2026 sudah semestinya akan mentransformasi Tentera Udara republik itu dan mengurangkan kebergantungannya kepada landasan-landasan konvensional bagi perlepasan pesawat pejuangnya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kira-kira enam atau tujuh tahun daripada sekarang, Tentera Udara Singapura akan kehilangan salah satu pangkalan udara terpentingnya iaitu Pangkalan Udara Paya Lebar, yang menjadi rumah kepada beberapa skuadron penting pesawat kombatnya.

Pada ketika ini, Pangkalan Udara Paya Lebar menempatkan beberapa skuadron pesawat milik Tentera Udara Singapura seperti C-130 Hercules dan F-15SG “Strike Eagles”.

Penutupan Pangkalan Udara Paya Lebar pada 2030, meninggalkan Singapura dengan hanya tiga pangkalan udara iaitu Tengah, Sembawang dan Changi – tetapi hanya dua yang boleh menempat dan mengoperasikan pesawat kombat.

Sementara itu,Pangkalan Udara Paya Lebar akan dibangunkan semula untuk menjadi sebuah penempatan baru dengan 150,000 penduduk.

Bagi sebuah negara yang kecil dengan keluasan tanah yang terhad, ia sememangnya adalah tugas yang sukar untuk mengasingkan sebuah kawasan yang luas untuk aktiviti ketenteraan seperti pangkalan udara bagi operasi pesawat kombat.

Dua buah pesawat pejuang F-15SG Tentera Udara Republik Singapura di Pangkalan Udara Paya Lebar.

 

Sebab itulah pada tahun 2019 Singapura memilih untuk memperolehi empat buah pesawat F-35B dan beberapa bulan lepas menambah lapan buah lagi F-35B (Vertical Short Take-Off and Landing – VSTOL), varian pesawat F-35 yang boleh berlepas daripada landasan yang amat pendek dan mendarat secara vertikal.

Keseluruhannya, Singapura akan memiliki 12 buah pesawat pejuang generasi kelima F-35B VSTOL, yang disifatkan oleh penganalisis sebagai pesawat pejuang tercanggih di Asia Tenggara.

Republik itu telah menyertai program pembangunan pesawat pejuang F-35 sejak 2003 dengan menjadi Security Cooperation Participant.

Varian pesawat pejuang F-35B VSTOL buatan syarikat Lockheed Martin yang lengkap dengan segala bom-bom,peluru berpandu dan minyak yang penuh hanya memerlukan landasan sepanjang 200 meter sahaja untuk berlepas, paling pendek bagi sebuah pesawat pejuang moden.

Varian pesawat F-35B VSTOL mula dibangunkan untuk memenuhi keperluan Kor Marin Amerika Syarikat bagi mengoperasi pesawat pejuang yang boleh berlepas dan mendarat daripada Amphibious Assault Ship, membolehkan ia beroperasi di serata pelusuk dunia.

F-35B Short Take-Off and Vertical Landing (STOVL) sebagaimana yang akan dimiliki oleh Singapura.

 

Kemampuan varian pesawat pejuang F-35B VSTOL yang bakal dioperasi oleh republik bermula  2026 sudah semestinya akan mentransformasi Tentera Udara Singapura dan mengurangkan kebergantungannya kepada landasan-landasan konvensional bagi membolehkan pesawat pejuangnya berlepas untuk melaksana misi.

Perolehan pesawat-pesawat F-35B VSTOL  oleh Singapura itu bertujuan menggantikan F-16 sedia ada miliknya yang baru sahaja selesai dinaiktaraf dengan radar yang baru, datalink, mission computer dan persenjataan bagi membolehkan ia terus beroperasi sehingga pertengahan tahun 2030-an.

Ketika krisis atau waktu-waktu kecemasan, Singapura boleh mengoperasikan pesawat-pesawat F-35B miliknya daripada pangkalan udara yang kecil atau kemudahan-kemudahan sementara yang berkemungkinan “bertaburan” (scattered) di lokasi-lokasi rahsia di republik itu.

Kemudahan-kemudahan sementara bagi mengoperasikan pesawat F-35B VSTOL itu boleh diaturgerak dengan cepat ke mana-mana lokasi, sekaligus menyukarkan lagi musuh untuk mensasarkannya dengan apa-apa serangan.

Ketika peperangan, sebarang kerosakan/kemusnahan terhadap pangkalan udara yang dilengkapi dengan landasan yang panjang boleh “menangguhkan” operasi tentera udara buat beberapa jam (sementara landasan itu diperbaiki).

F-16 Singapura

 

“Penangguhan” selama beberapa jam atau hari operasi tentera udara akibat kerosakan landasan berpotensi  menyebabkan keseluruhan angkatan tentera berhadapan dengan kekalahan dalam peperangan, terutamanya bagi Singapura yang amat bergantung kepada kekuatan tentera udaranya.

Pada ketika ini, selain landasan di pangkalan-pangkalan udara, Singapura juga menjadikan beberapa jalanraya seperti Jalan Lim Chu Kang sepanjang 2.5km  sebagai landasan sementara untuk perlepasan dan pendaratan pesawat-pesawat pejuang.

Dengan F-35B, tentera udara republik itu boleh beroperasi daripada mana-mana lokasi di Singapura dengan jalanraya yang panjangnya lebih daripada 200 meter.

Malah dengan jalanraya sepanjang 200 meter, pesawat-pesawat F-35B VSTOL Singapura itu boleh beroperasi daripada tengah-tengah pusat perniagaan (central business district) republik itu.

Ketika latihan udara multinasional Pitch Black di Australia tahun lepas,laporan media Singapura menyatakan bahawa tentera udara republik itu telah menghantar pasukannya untuk berinteraksi dengan tentera Amerika Syarikat yang turut menghantar pesawat F-35B ke latihan multinasional itu.

F-35B VSTOL

 

Ia sekurang-kurangnya membolehkan Tentera Udara Singapura menimba pengalaman dan pengetahuan daripada rakan sejawatnya Amerika Syarikat tentang operasi dan pengendalian pesawat F-35B VSTOL itu.

Kor Marin Amerika Syarikat sendiri sedang berlatih untuk mengoperasikan pesawat F-35B VSTOL daripada lokasi dan kemudahan yang jauh dan sederhana.

Sebagai contohnya, ia mengoperasi enam daripada 12 buah F-35B VSTOL di sebuah pangkalan pedalaman di utara Australia, yang terletak kira-kira 1,000 batu daripada pangkalan udara utama. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

 

CerukF-35BfeaturedLandasanSingapura