Singapura Kerah F-16 Tindak Balas Terhadap Helikopter Malaysia “Memasuki Ruang Udaranya”

Menggunakan perkhidmatan penjejakan penerbangan online Flightradar24, akaun-akaun media sosial X (dahulu dikenali sebagai Twitter) itu mendakwa bahawa pesawat-pesawat pejuang Singapura telah dikerah sebagai tindak balas terhadap “helikopter berdaftar di Malaysia” memasuki ruang udara Singapura.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Udara Republik Singapura telah mengerah dua buah pesawat pejuang F-16 miliknya sebagai tindak balas terhadap kehadiran sebuah helikopter awam Malaysaia dipercayai telah memasuki ruang negara republik hari ini.

Menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan Singapura dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAS) republik itu, helikopter asing itu adalah milik awam dan milik sebuah syarikat.

“Pemeriksaan awam menunjukkan bahawa helikopter itu adalah jenis awam dan berdaftar kepada syarikat asing.”

Pesawat F-16 Singapura

 

“Selepas memastikan keselamatan (Singapura) tidak dikompromi, pesawat-pesawat F-16 itu telah (kembali ke pangkalan),” menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa pesawat-pesawat pejuang itu dikerah pada 12.40 tengah hari tadi.

Kenyataan oleh kedua-dua agensi itu telah dipetik oleh media tempatan, Channel News Asia.

Operasi di Lapangan Terbang Changi telah terjejas selama 40 minit akibat di antara 12.50 tengah hari hingga 1.28 petang, menurut pihak berkuasa.

Sebanyak sembilan penerbangan mendarat dan 11 penerbangan berlepas mengalami kelewatan.

Kementerian Pertahanan Singapura dan CAAS memberikan reaksinya terhadap pertanyaan Channel News Asia selepas beberapa akaun X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) melaporkan tentang insiden itu tengah hari ini.

Menggunakan perkhidmatan penjejakan penerbangan online Flightradar24, akaun-akaun X itu mendakwa bahawa pesawat-pesawat pejuang Singapura telah dikerah sebagai tindak balas terhadap “helikopter berdaftar di Malaysia” memasuki ruang udara Singapura.

Penerbangan antarabangsa ke Singapura turut terjejas mengikut beberapa akaun X hari ini.

Pesawat-pesawat F-16 Tentera Udara Republik Singapura itu dikerah daripada Pangkalan Udara Tengah dan helikopter awam Malaysia yang didakwa memasuki ruang udara republik itu adalah daripada jenis AS350 atau “Squirrel.”

Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya ke-58 hari ini dan sambutan untuk meraikannya diadakan secara besar-besaran termasuk perarakan aset-aset tentera serta penerbangan pesawat pejuang. 

Kejadian yang sama telah berlaku pada 11 Sept 2021 apabila Singapura mengerahkan (scrambled) dua buah pesawat pejuang F-16 dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9 dan AIM-120 selepas sebuah helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan telah terbang berhampiran ruang udara Pulau Tekong, republik itu.

Kedua-dua pesawat pejuang F-16 Singapura itu berlepas daripada Pangkalan Udara Tengah.

Pulau Tekong merupakan lokasi latihan asas bagi anggota-anggota kerahan tenaga (National Service) yang dipanggil untuk menjalani latihan asas oleh Angkatan Tentera Singapura.

Pulau Tekong ini sememangnya terletak amat berhampiran dengan Johor, malah jika seseorang itu berada di Pengerang beliau boleh melihat dengan jelas pulau itu.

Bukit Aman dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa terdapat penerbangan helikopter milik mereka di ruang udara berhampiran Singapura.

“Penerbangan helikopter milik PDRM di ruang udara berhampiran Singapura hari ini adalah bagi tujuan penugasan rasmi.

“Sepanjang penugasan berlangsung sehingga kini, PDRM tidak dimaklumkan oleh pihak berkuasa ruang udara Singapura mengenai sebarang insiden penerbangan helikopter tersebut telah memasuki ruang udara Singapura,” kata kenyataan itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

F-16featuredMasukiRuang UdaraSingapura
Comments (0)
Add Comment