[VIDEO] Tiga Maut “Dihempap” Dron Buatan China Yang Ditembak Jatuh

Video dan gambar-gambar juga sempat merakam kejadian malang apabila dron buatan China yang digunakan oleh tentera Arab Saudi itu jatuh dan "menghempap" sekumpulan penduduk di kawasan komersial di bandar Sanaa itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tiga orang maut selepas “dihempap” sebuah pesawat tanpa pemandu (UAV) CH-4 buatan China milik tentera Arab Saudi yang ditembak jatuh oleh puak pemberontak, Houthi di Yaman.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu yang dipetik oleh agensi berita negara itu berkata, ketiga-tiga penduduk itu maut apabila bangkai dron yang ditembak itu telah jatuh disebuah kawasan komersial di ibu negara itu.

Tiga lagi penduduk lain cedera terkena serpihan pesawat tanpa pemandu terbabit dalam kejadian malang itu.

Video dan gambar-gambar juga sempat merakam kejadian malang apabila dron buatan China yang digunakan oleh tentera Arab Saudi itu jatuh dan “menghempap” sekumpulan penduduk di kawasan komersial di bandar Sanaa itu.

“Sistem peluru berpandu pertahanan udara kami telah berjaya menembak jatuh sebuah pesawat pengintip (pesawat tanpa pemandu) CH-4 yang dimiliki oleh tentera Arab Saudi,” kata jurucakap pemberontak Houthi, Yahya Sera.

Jurucakap tentera bersekutu yang diketuai oleh Arab Saudi tidak memberikan sebarang reaksi apabila ditanya mengenai dakwaan Houthi menembak jatuh pesawat tanpa pemandu miliknya itu.

Dron CH-4 buatan China.

 

Kejadian itu berlaku ketika gencatan senjata antara kedua-dua pihak yang akan berakhir pada 2 Jun depan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memohon supaya gencatan senjata itu dilanjutkan.

Pihak bersekutu yang diketuai oleh Arab Saudi campurtangan di Yaman pada Mac 2015 menentang Houthi selepas puak pemberontak yang disokong oleh Iran itu menumbangkan kerajaan negara itu yang diiktiraf oleh pihak antarabangsa.

Konflik di Yaman itu telah mengakibatkan kemusnahan yang besar selain menyebabkan kematian ribuan penduduknya. — DSA

ChinaDronfeaturedYaman
Comments (0)
Add Comment