(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas eksploitasinya di medan-medan konflik di Libya, Syria dan Nagorno-Karabakh, dron buatan Turki “Bayraktar TB2” sekali lagi menunjukkan keberkesanannya di Ukraine pula.
Ukraine mula memperolehi sejumlah 12 buah dron Bayraktar TB2 pada 2019 dan menambah pegangan sebanyak 48 buah lagi setahun selepas itu bagi mengukuhkan sistem pertahanannya bagi berhadapan dengan tentera Russia atau tentera pemberontak di wilayah Donbass.
Kini dron buatan syarikat Baykar Makina daripada Turki itu menunjukkan bisanya sekali lagi di Ukraine, terutamanya dalam memperlahankan kemaraan tentera Russia di beberapa bahagian di Ukraine.
Menurut beberapa penganalisis tentera yang dipetik sebagai berkata oleh portal majalah berita Time.com, kempen dron Bayraktar TB2 buatan Turki oleh tentera Ukraine terhadap tentera Russia telah menunjukkan kejayaan terutamanya dalam memperlahankan kemaraan tentera Russia itu.
Selain itu ia juga telah menunjukkan kelemahan tentera Russia.
Kehadiran video-video kejayaan serangan dron Bayraktar TB2 terhadap kolum kenderaan armor dan bekalan tentera Russia di laman-laman media sosial juga telah membantu Ukraine dan penyokongnya dalam “peperangan maklumat” yang sedang berlangsung dengan sengit di semua plaform media.
Ia sedikit sebanyak telah meningkatkan moral tentera Ukraine dan penyokong-penyokongnya.
Berkemampuan berada di udara lebih daripada 24 jam, UCAV Bayraktar TB2 berkemampuan membawa sehingga empat peluru berpandu MAM-C dan MAM-L buatan syarikat tempatan, Roketsan yang boleh mengenai sasaran dengan tepat kerana dipandu laser.
Bagaimanapun penganalisis-penganalisis tentera itu berkata bahawa kejayaan awal dron Bayraktar TB di medan peperangan di Ukraine itu tidak mungkin akan mengubah keputusan akhir sekiranya peperangan di antara Russia dan Ukraine itu berpanjangan.
Mereka sependapat bahawa dron Bayraktar TB2 itu tidak mungkin akan menahan kemaraan tentera Russia buat jangka masa panjang, tetapi apa yang pasti pada ketika ini serangan-serangan oleh dron Turki itu telah menunjukkan kejayaan.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
“Footage (serangan dron) yang dikeluarkan pihak tentera Ukraine itu menunjukkan kelemahan serius sistem pertahanan Russia yang telah mengejutkan banyak pihak,” kata penganalisis tentera dan aeroangkasa Turki, Arda Mevlutoglu kepada Time.com.
Oleh kerana kejayaan dron Bayraktar TB2 itu, pihak tentera Ukraine telah menambah pegangan dron itu dengan sebuah pesawat pengangkut A400 milik Tentera Turki telah menerbangkan dron-dron baru ke ibu negara Kiev pada awal bulan ini.
Tidak pasti berapa jumlah keseluruhan dron Bayraktar TB2 dimiliki oleh Ukraine.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dron Bayraktar TB2 telah berjaya mencipta kejayaan. Pada ketika ini tidak dapat dinafikan bahawa Bayraktar TB2 adalah dron paling terkenal,” kata Tony Osborne, ketua biro Aviation Week. — DSA