Dalam Mesej Kepada Pakistan, Kapal Perang India Laksana Ujian Pelancaran Peluru Berpandu
Dalam ujian pelancaran peluru berpandu pertahanan udara yang diadakan di Laut Arab itu, kapal pemusnah peluru berpandu Tentera Laut India, INS Surat telah melaksanakan ujian pelancaran MR-SAM yang dibangunkan bersama-sama Israel.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di dalam satu lagi aksi cabar-mencabar di antara dua kuasa nuklear, Tentera Laut India telah melaksanakan ujian pelancaran peluru berpandu Medium-Range Surface-to-Air Missile (MR-SAM) dalam satu lagi mesej jelas yang ditujukan kepada Pakistan, selepas apa yang berlaku di Pahalgam di Jammu dan Kashmir beberapa hari lalu.
Dalam ujian pelancaran peluru berpandu pertahanan udara yang diadakan di Laut Arab itu, kapal pemusnah peluru berpandu Tentera Laut India, INS Surat telah melaksanakan ujian pelancaran MR-SAM yang dibangunkan bersama-sama Israel.
Peluru berpandu pertahanan udara MR-SAM itu yang mempunyai jarak effektif sejauh 70km hingga 100km berjaya memusnahkan sasarannya, menunjukkan bahawa ia adalah amat berkesan dalam menangani ancaman peluru berpandu dan pesawat-pesawat tempur musuh.
“Kapal Tentera Laut India telah berjaya melaksanakan beberapa ujian pelancaran peluru berpandu yang membuktikan kesiapsiagaan platformnya, krew dan aset-aseatnya untuk melaksanakan serangan jarak jauh, “ menurut kenyataan Tentera Laut India menerusi platform media sosial X.
Ujian pelancaran peluru berpandu oleh kapal perang Tentera Laut India di Laut Arab itu berlaku ditengah-tengah ketegangan yang memuncak antara negara itu dan Pakistan selepas insiden pembunuhan 26 orang kebanyakannya pelancong di Pahalgam di Jammu dan Kashimir beberapa hari lalu.
New Delhi menuduh Pakistan dan kumpulan-kumpulan bersenjata ditajanya sebagai pihak dibelakang insiden di Pahalgam, yang terletak di dalam wilayah Jammu dan Kashmir.
Seorang pegawai kerajaan yang dipetik oleh media tempatan negara itu menyatakan bahawa, “Ujian tembakan peluru berpandu anti-kapal yang terbaru ini menunjukkan keupayaan kapal untuk berubah peranan daripada keadaan aman kepada mod tempur, ketika masih berada di laut tanpa perlu kembali ke pangkalan.”
Peluru berpandu Medium Range Surface-to-Air Missile (MR-SAM) adalah sistem pertahanan udara canggih yang dibangunkan bersama oleh syarikat pertahanan Israel, Israel Aerospace Industries (IAI), dan Organisasi Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan India (DRDO).
Sistem MR-SAM direka khusus untuk memintas pelbagai ancaman udara termasuk pesawat pejuang, helikopter, dron, peluru berpandu kruis serta peluru berpandu anti-radiasi pada jarak sederhana antara 70 hingga 100 kilometer.
Dengan menggunakan teknologi radar AESA (Active Electronically Scanned Array) pelbagai fungsi yang sangat sensitif, MR-SAM berupaya mengesan, mengenal pasti, menjejak, dan seterusnya memusnahkan sasaran dengan ketepatan yang tinggi dalam pelbagai keadaan cuaca serta persekitaran peperangan elektronik.
Peluru berpandu MR-SAM dilengkapi dengan kepala peledak fragmentasi berkuasa tinggi yang mampu meletup berhampiran sasaran (proximity fuze) bagi memastikan kemusnahan yang maksimum.
Salah satu ciri utama MR-SAM ialah kelajuan tinggi melebihi Mach 2, membolehkannya bertindak balas dengan pantas terhadap ancaman udara yang bergerak laju.
Sistem ini juga mempunyai kemampuan “fire-and-forget,” iaitu peluru berpandu akan terus memandu dirinya sendiri ke sasaran selepas dilancarkan tanpa memerlukan campur tangan berterusan dari pengendali radar.
MR-SAM turut mempunyai kemampuan operasi secara bersepadu dengan sistem pertahanan udara lain seperti radar amaran awal dan sistem pertahanan udara jarak jauh seperti Barak-8, menjadikannya aset strategik dalam rangkaian pertahanan udara berlapis.
Dengan keupayaan mobiliti tinggi, MR-SAM boleh digerakkan secara pantas ke lokasi kritikal, menjadikannya sangat sesuai untuk melindungi aset-aset penting seperti pangkalan tentera, infrastruktur kritikal dan kawasan strategik daripada serangan udara musuh.
Kini MR-SAM merupakan antara sistem pertahanan udara utama yang digunakan oleh tentera India, Israel, Azerbaijan dan beberapa negara lain, sekali gus mengukuhkan pertahanan ruang udara mereka di tengah-tengah ancaman peluru berpandu dan serangan udara yang semakin kompleks.
Kapal pemusnah peluru berpandu INS Surat (D69) adalah sebuah kapal perang moden kelas Visakhapatnam milik Tentera Laut India, yang direka khusus bagi melaksanakan misi pertahanan udara, peperangan anti kapal selam, peperangan anti kapal permukaan serta pertahanan strategik maritim.
Dibina oleh Mazagon Dock Shipbuilders Limited (MDL) yang berpangkalan di Mumbai, INS Surat dilancarkan secara rasmi pada 17 Mei 2022 dan merupakan kapal keempat daripada empat kapal pemusnah kelas Visakhapatnam yang dibangunkan di bawah projek Project-15B.
Sebagai kapal pemusnah generasi baharu, INS Surat memiliki keupayaan tempur dan daya tahan yang tinggi, dilengkapi dengan sistem persenjataan tercanggih termasuk peluru berpandu supersonik anti kapal BrahMos, sistem pertahanan udara MR-SAM, peluru berpandu anti kapal selam, serta torpedo berat.
MR-SAM dalam varian darat.
Dari segi elektronik, kapal ini dilengkapi dengan radar AESA MF-STAR buatan Israel yang mampu mengesan, menjejak, dan memintas pelbagai ancaman udara dan peluru berpandu pada jarak jauh dengan ketepatan tinggi, menjadikannya satu daripada kapal perang paling canggih di rantau Indo-Pasifik.
INS Surat juga dilengkapi dengan sistem peperangan elektronik yang canggih, sonar terkini seperti sonar aktif-pasif HUMSA-NG, dan helikopter tempur untuk melaksanakan tugas-tugas anti kapal selam, sekali gus memberikan perlindungan menyeluruh terhadap ancaman bawah permukaan.
Dengan berat sesaran sekitar 7,400 tan dan panjang kira-kira 163 meter, kapal ini berupaya mencapai kelajuan maksimum sehingga 30 knot, selain mempunyai jarak operasi lebih daripada 7,000 kilometer tanpa memerlukan pengisian minyak semula.
INS Surat dinamakan sempena bandar pelabuhan Surat di Gujarat, yang mempunyai nilai sejarah signifikan dalam perdagangan maritim purba India, mencerminkan peranan strategiknya dalam menjaga kepentingan maritim negara di Lautan Hindi.
Kehadiran kapal ini dalam armada Tentera Laut India secara langsung mengukuhkan keupayaan strategik negara itu dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin meningkat, khususnya dalam konteks persaingan ketenteraan yang semakin tegang dengan China di Lautan Hindi serta Laut China Selatan.