Misi Malang CIA Di Pulau Luzon, Filipina Ragut Nyawa Empat Operatifnya

Keempat-empat operatif CIA perlu meletakkan alat perisikan di dasar laut berhampiran Pulau Luzon, Filipina untuk memantau pergerakan kapal-kapal milik China di kawasan itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Dalam insiden malang yang hanya diketahui ramai baru-baru ini, agensi perisikan Amerika Syarikat iaitu Central Intelligence Agency (CIA) telah kehilangan empat orang operatif-nya ketika melaksanakan satu misi berisiko tinggi di Pulau Luzon, Filipina sekitar tahun 2008.

Apa yang menarik dalam satu pendedahan oleh media Barat, Malaysia turut dinamakan dalam misi membabitkan operatif CIA itu.

 Malaysia terlibat kerana keempat-empat operatif CIA itu yang dikenali dengan nama, Stephen Stanek, Michael Perich, Jamie MaCormick dan Daniel Meeks telah berkumpul di Malaysia terlebih dahulu sebelum belayar dengan bot sepanjang 40 meter untuk ke lokasi misi mereka yang terletak di Filipina. 

Bot yang digunakan oleh mereka untuk belayar daripada Malaysia ke Pulau Luzon di Filipina itu dimiliki oleh Bahagian Maritim agensi perisikan itu.

Mereka telah menyamar sebagai kakitangan syarikat bot dan telah diminta oleh pelanggan Jepun supaya menghantar bot berkenaan kepada pelanggan mereka di Filipina.

Laporan media Barat itu mendedahkan lokasi sebenar daripada mana mereka belayar di Malaysia itu, walaupun ia berkemungkinan daripada Sabah.

Dua daripada empat operatif CIA yang terbunuh dalam misi di Pulau Luzon, Filipina itu.

 

Mereka memiliki segala dokumen tentang bot berkenaan sekiranya diminta oleh pihak berkuasa di negara jiran.

Bagaimanapun sasaran sebenar keempat-empat operatif CIA itu adalah sebuah pulau terpencil di utara Luzon, di mana dipercayai tentera dan kapal-kapal China telah menguasainya.

Pulau itu telah menjadi pertelagahan di antara negara Komunis itu dengan Filipina di dalam isu Laut China Selatan.

 Sejak beberapa tahun kebelakangan, Amerika Syarikat memerhati dengan teliti gelagat China di Laut China Selatan di mana negara komunis itu ghairah menambak terumbu karang dan atoll untuk menjadikannya pulau buatan manusia bagi meluaskan lagi wilayah maritimnya.

Stanek dan Perich merancang untuk menyelam ke pulau sasaran itu menggunakan peralatan skuba komersial.

Penggunaan peralatan skuba komersial dan bukan peralatan skuba tentera bertujuan mengelak mereka disyaki sebagai anggota pasukan khas sekiranya ditangkap oleh anggota tentera China.

Kedua-dua penyelam itu merancang meletak alat perisikan menyerupai batu di bawah permukaan air dinamakan “pod”

“Pod” itu mengandungi peralatan yang sensitif bertujuan memantau pancaran signal elektronik milik kapal-kapal tentera laut milik China yang lalu-lalang berhampiran.

Selepas melaksanakan misi khas itu, keempat-empat operatif CIA itu sepatutnya  ke Jepun sebelum kembali semula ke pulau du utara Luzon itu untuk mengambil  “pod” rahsia itu untuk mengkaji isi kandungannya.

 Bagaimanapun sebelum keempat-empat mereka sempat melaksanakan misi itu, Ribut Taufan Higos yang sedang melanda Filipina ketika itu telah menggagalkan usaha mereka.

Kapal pengawal pantai China.

 

Bot sepanjang 40 meter dinaiki mereka bukanlah saingan kepada angin kencang ribut taufan itu yang menenggelamkannya tanpa sebarang belas kasihan.

CIA telah meminta kapal tentera laut Jepun melakukan usaha mencari dan menyelamat keempat-empat operatif CIA itu  tetapi mereka tidak menemui sebarang kesan bot yang malang itu atau jaket penyelamat.

Sebenarnya Stanek sebagai ketua kepada misi itu, mengetahui tentang laluan ribut taufan itu tetapi menjangkakan mereka mampu mengelaknya dan meneruskan misi berbahaya itu.

Tetapi jangkaannya salah, bot mereka sebenarnya berada ditengah-tengah laluan ribut taufan Higos itu dan segalanya telah menjadi sejarah.

Keempat-empat mereka terkorban dalam satu lagi misi gagal CIA.

Gambar satelit Taufan Higos.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

 Mereka menjadi antara 139 operatif CIA yang terkorban ketika melaksanakan misi rahsia diserata dunia.

Beberapa bulan selepas kematian mereka, CIA membawa anggota keluarga keempat-empat operatif itu ke Washington di mana agensi perisikan itu buat pertama kalinya mendedahkan kematian mereka.

Ramai dikalangan anggota keluarga mereka tidak dapat menerima kenyataan, tetapi itulah resmi kehidupan seorang operatif perisikan, rahsia (secrecy) adalah segala-galanya termasuk kematian. — DSA