(DEFENCE SECURITY ASIA) – Taiwan dikatakan telah mula menerima peluru berpandu kruis berkelajuan supersonik “Ching Tien”, yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 2,000 km.
Menurut pemerhati pertahanan pulau itu, dengan kemampuan membedil sasaran sejauh 2,000km itu, peluru berpandu kruis supersonik “Ching Tien” (juga dikenali dengan nama Yun Feng) adalah peluru berpandu paling jauh di dalam pegangan tentera Taiwan.
“Dengan jarak jangkauan “Ching Tien” sejauh 2,000km, ia meletakkan Beijing iaitu ibu negara China dalam jarak bedilan tentera Taiwan.”
“Ching Tien boleh membedil sasaran sehingga sejauh utara China di Hohhot di Inner Mongolia,” kata pemerhati pertahanan Taiwan itu tentang peluru berpandu itu yang dibangunkan oleh Chungshan Institute of Science and Technology (CSIST).
Peluru berpandu kruis supersonik “Ching Tien” itu dikatakan sedang diproduksi secara besar-besaran selepas selesai menjalani ujian oleh angkatan tentera pulau itu.
Peluru berpandu kruis itu berkemampuan dilancarkan menggunakan pelancar bergerak.
Walaupun Kementerian Pertahanan Taiwan belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kemasukan dan operasi peluru berpandu kruis supersonik “Ching Tien” , tetapi dipercayai Briged Khas Tentera Udara Taiwan telah pun mengoperasikan peluru berpandu itu.
Selain peluru berpandu kruis supersonik “Ching Tien”, tentera Taiwan juga memiliki tiga jenis peluru berpandu lain yang berkemampuan membedil sasaran sejauh lebih daripada 1,000km.
Antaranya adalah peluru berpandu kruis darat-ke-darat “Hsiung Feng IIE” yang mampu membedil sasaran sejauh 1,000km, “Hsiung Feng IIE Extended-Range” dengan kemampuan menyerang sasaran sejauh 1,200km dan juga sebuah lagi peluru berpandu tidak dikenali yang berupaya membedil sasaran sejauh 1,000km.
Kesemua peluru berpandu ini telah pun beroperasi, manakala terdapat juga laporan mengatakan bahawa Taiwan sedang membangunkan peluru berpandu ballistik secara rahsia yang berkemampuan membedil sasaran lebih jauh. — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com