China Tawar Pesawat Pejuang J-10C, J-31 Pada Sekutu Amerika di Timur Tengah, Mesir

Tawaran kepada Mesir untuk perolehan kedua-dua pesawat pejuang buatan China itu dikatakan telah dikemukakan ketika Panglima Tentera Udara Mesir Jeneral Mahmud Foaad Abdel Gawaad melawat China dan bertemu dengan rakan sejawatannya Jeneral Chang Dingqiu di Beijing baru-baru ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China dilapor telah menawarkan pesawat-pesawat pejuang moden J-10C dan J-31 kepada Mesir, yang merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat di Timur Tengah bagi memodenkan lagi tentera udaranya di rantau yang penuh dengan konflik.

Kedua-dua pesawat pejuang J-10C dan J-31 itu merupakan pesawat pejuang generasi 4.5 dan generasi kelima.

Pesawat paling moden dimiliki oleh Tentera Udara Mesir pada ketika ini adalah Rafale yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation daripada Perancis.

Tawaran kepada Mesir untuk perolehan kedua-dua pesawat pejuang buatan China itu dikatakan telah dikemukakan ketika Panglima Tentera Udara Mesir Jeneral Mahmud Foaad Abdel Gawaad melawat China dan bertemu dengan rakan sejawatannya Jeneral Chang Dingqiu di Beijing baru-baru ini.

Pertemuan di antara Panglima Tentera Udara Mesir dan China di Beijing itu adalah di atas jemputan Jeneral Chang Dingqiu bagi meningkatkan lagi hubungan strategik di antara kedua-dua negara.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Angkatan Tentera Mesir, lawatan oleh Panglima Tentera Udara Mesir ke China itu membuktikan komitmen kuasa Timur Tengah itu untuk meningkatkan lagi hubungan ketenteraan dengan negara sahabat.

Pesawat pejuang J-31 buatan China

 

Perbincangan di antara kedua-dua pihak di meliputi usaha-usaha untuk meningkatkan kerjasama diantara tentera udara kedua-dua negara terutamanya melibatkan program latihan, pemindahan teknologi dan pembuataan peralatan bersama.

Panglima Tentera Udara Mesir itu juga bertemu dengan pemain-pemain industri pertahanan China termasuk daripada CATIC (China National Aero-Technology Import & Export Corporation) dan NORINCO (China North Industries Corporation). 

Jeneral Mahmoud Foaad itu juga telah melakukan kunjungan terhadap Pangkalan Udara Tangshan di mana beliau dan delegasi pegawai-pegawai kanan Tentera Udara Mesir itu disajikan dengan demonstrasi penerbangan pesawat pejuang J-10C.

Sebenarnya, China sejak beberapa tahun lepas telah menawarkan pesawat pejuang J-10C kepada Mesir.

Tahun lepas, media pertahanan Timur Tengah melaporkan bahawa pegawai-pegawai Mesir telah mengadakan perbincangan dengan syarikat pembuat pesawat pejuang J-10C itu, Chengdu Aircraft Industry Group ketika kedua-dua pihak berada di LIMA ’23 di Pulau Langkawi.

Pesawat J-10C turut berada di Langkawi memandangkan ia adalah pesawat pilihan pasukan aerobatik Tentera Udara China (PLAAF), “August 1st.”

Pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan

 

Pada ketika ini, Beijing hanya mengeksport pesawat pejuang satu enjin J-10C kepada Tentera Udara Pakistan.

Pesawat pejuang J-10C yang dikatakan mahu dimiliki oleh Tentera Udara Mesir itu mula diperkenalkan kepada orang awam China pada Julai 2017 dan mula digunakan untuk tugas-tugas kombat oleh tentera udara negara itu pada 2018.

Berbanding varian-varian terdahulu, J-10C adalah lebih ringan dan lebih sukar untuk dikesan serta menggunakan enjin yang lebih berkuasa.

Selain itu varian J-10C juga dilengkapkan dengan radar active electronically scanned array (AESA)  bagi membolehkan kemampuan pengesanan (sasaran) yang lebih baik.

Pemerhati tentera serantau menyatakan PLAAF mengoperasi kira-kira 150 buah pesawat pejuang J-10C dalam tentera udaranya.

Pesawat pejuang halimunan generasi kelima  J-31 “Gyrfalcon” atau F-31 yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa China, Shenyang Aircraft Corporation juga turut telah menarik minat beberapa negara Timur Tengah yang lain selain Mesir.

Pesawat pejuang  J-10C turut menyertai LIMA 2023 in Langkawi.

 

Selain negara-negara Timur Tengah, pesawat pejuang generasi kelima kedua China itu turut telah menarik minat Pakistan yang telah menyuarakan secara terbuka niatnya untuk memperolehi pesawat pejuang itu, susulan kepada pemilikan pesawat pejuang J-10C.

Bercakap dalam majlis induksi peralatan baru di Islamabad awal tahun ini, Marshal Udara Zaheer Ahmed Baber Sidhu berkata bahawa pesawat J-31 buatan itu akan memasuki perkhidmatan tentera udara negara “tidak lama lagi.”

“Rundingan telah pun diadakan bagi membolehkan perolehan pesawat J-31, yang akan menjadi sebahagian daripada Tentera Udara Pakistan tidak lama lagi,” kata beliau pada majlis terbabit.

China membangunkan J-31 untuk pasaran eksport kerana pesawat generasi kelimanya yang pertama, J-20 “Mighty Dragon” tidak dibenarkan dieksport dan hanya digunakan oleh Tentera Udara China.

J-31 adalah pesawat pejuang generasi kelima satu tempat duduk, dua enjin, pesawat pejuang bersaiz-sederhana (medium-sized fighter jet) dengan kemampuan halimunan yang ampuh serta kos yang kompetitif.

Laporan media menyatakan bahawa pesawat pejuang J-31 bakal berkhidmat dengan kapal-kapal pengangkut pesawat China dan usaha-usaha sedang dilakukan ke arah itu.

Pesawat generasi kelima J-31

 

Sememangnya pasaran utama pesawat J-31 adalah khusus untuk pasaran eksport, dengan kemungkinan Pakistan muncul menjadi pasaran eksport pertama bagi pesawat pejuang halimunan itu.

Menurut laporan, tentera China sedang menpersiap-sediakan pesawat J-31 itu untuk operasi di kapal-kapal pengangkut pesawatnya, sama seperti F-35B dan terkini F-35C yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.

Walaupun spesifikasi teknikalnya masih tidak diketahui dengan mendalam, namun Maximum Take-Off Weight (MTOW) telah meningkat kepada 28,000kg daripada 25,000kg dan dilengkapi dengan enjin WS-19 dengan kuasa tujahan 12 tan. — DSA

 

 

ChinafeaturedJ-10CJ-31Mesir