Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Tawar Penjualan Dua Skuadron 24 Buah J-10C Pada Colombia, Perluasan Pengaruh Geopolitik Beijing

Pesawat pejuang J-10C yang dilaporkan telah menunjukkan prestasi baik pada konflik Pakistan-India dengan dakwaan penembakan jatuh enam buah pesawat pejuang India termasuk tiga buah Rafale, bakal menggantikan skuadron pesawat pejuang Kfir buatan Israel yang berkhidmat dengan Tentera Udara Colombia.

0 10,412
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam usaha untuk menembusi pasaran senjata di benua Amerika Selatan dan seterusnya mengukuhkan lagi pengaruhnya di benua yang selama ini dikuasai oleh Amerika Syarikat, China telah menawarkan penjualan dua buah skuadron pesawat pejuang generasi 4.5 J-10C “Vigorous Dragon” kepada Colombia.
Pesawat pejuang J-10C yang dilaporkan telah menunjukkan prestasi baik pada konflik Pakistan-India dengan dakwaan penembakan jatuh enam buah pesawat pejuang India termasuk tiga buah Rafale, bakal menggantikan skuadron pesawat pejuang Kfir buatan Israel yang berkhidmat dengan Tentera Udara Colombia.
Cadangan penjualan pesawat pejuang J-10C itu dikemukakan oleh Colombia semasa lawatan rasmi presiden negara Amerika Selatan Gustavo Petro ke Beijing dimana beliau telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Xi Jinping.
Tawaran oleh China yang dilaporkan oleh beberapa sumber termasuk portal pertahanan Infodefensa ini dilihat sebagai langkah berani Beijing untuk menembusi pasaran pertahanan Amerika Latin, sebuah rantau yang selama ini dikuasai oleh pembekal-pembekal senjata Barat seperti Amerika Syarikat dan Israel.
Tawaran penjualan pesawat pejuang J-10C oleh Beijing itu merangkumi sehingga 24 buah pesawat pejuang J-10CE — atau jumlah yang lebih kecil mengikut keperluan Colombia — pada harga sekitar US$40 juta sebuah, berserta pakej peluru berpandu udara-ke-udara.
Bagi Colombia, tawaran itu hadir pada saat yang amat penting ketika tentera udaranya sedang bergelut dengan aset pesawat tempur yang semakin usang dan amat memerlukan penggantian segera.
Cadangan perolehan itu turut menimbulkan persoalan mengenai perubahan geopolitik serta hala tuju pemodenan ketenteraan di benua Amerika Selatan.
J-10CE
J-10CE (credit Hurin92)
Tentera Udara Colombia (Fuerza Aérea Colombiana, FAC) telah mengoperasikan pesawat pejuang Kfir buatan Israel sejak dekad 1980-an sebagai tulang belakang armada udara tempurnya.
Pesawat Kfir, yang dibangunkan oleh Israel Aerospace Industries (IAI), merupakan pesawat pejuang pelbagai peranan berasaskan reka bentuk Dassault Mirage 5 Perancis, tetapi telah diubah suai secara menyeluruh dengan sistem avionik moden, enjin General Electric J79 dari pesawat F-4 Phantom, serta keupayaan untuk membawa pelbagai jenis peluru berpandu dan bom pandu.
Colombia membeli sekitar 24 buah pesawat Kfir pada era 1989–1990 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan udara dalam menangani konflik dalaman serta operasi menentang kumpulan gerila bersenjata seperti FARC.
Pesawat Kfir yang dioperasikan oleh Colombia kemudiannya menjalani proses naik taraf besar-besaran pada awal tahun 2010-an, di mana sekitar 20 buah pesawat dinaik taraf ke versi Kfir C-10/C-12 oleh IAI dengan sistem radar EL/M-2032, keupayaan untuk melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara BVR seperti Derby dan Python-5, serta keupayaan untuk membawa bom panduan.
Dengan usia pesawat yang telah melebihi 40 tahun, tahap penyelenggaraan yang semakin tinggi, dan kebergantungan kepada sokongan teknikal luar, pesawat pejuang Kfir buatan Israel digunakan oleh Tentera Udara Colombia kini dianggap sudah berada di penghujung hayat operasinya.
Faktor inilah yang mendorong Colombia kini aktif mencari pengganti kepada Kfir, termasuk meneliti tawaran pesawat dari Amerika Syarikat, Perancis, Sweden, dan terbaru dari China, bagi memastikan kesinambungan dominasi udara serta transformasi kekuatan udara strategik negara itu.
Pesawat pejuang J-10C merupakan varian tercanggih dalam keluarga pesawat tempur J-10 yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG), dan kini menjadi antara aset utama Tentera Udara China (PLAAF) serta beberapa negara pengguna luar seperti Pakistan.
J-10C
J-10C
Kfir
Kfir milik Tentera Udara Colombia
J-10C adalah pesawat pejuang generasi 4.5 dengan reka bentuk delta-canard yang memberikan kelebihan dalam kelincahan aerodinamik, membolehkannya melaksanakan manuver ekstrem dalam pertempuran udara jarak dekat.
Dilengkapi dengan enjin WS-10B buatan tempatan dan sistem kawalan penerbangan fly-by-wire, J-10C mampu mencapai kelajuan supersonik dan beroperasi dengan prestasi tinggi dalam pelbagai keadaan misi, termasuk dalam persekitaran peperangan elektronik moden.
Keupayaan utama J-10C terletak pada sistem radar AESA (Active Electronically Scanned Array), dipercayai dari jenis KLJ-7A atau varian lain yang mampu mengesan, mengunci (lock), dan menjejak sasaran dari jarak jauh dengan lebih tepat serta tahan terhadap gangguan elektronik (jamming).
Pesawat ini juga mempunyai keupayaan untuk melaksanakan peperangan pelbagai spektrum, termasuk membawa peluru berpandu jarak jauh PL-15 yang dilengkapi dengan radar pemancar aktif (active radar seeker), menjadikannya ancaman serius kepada pesawat musuh sebelum dapat dikesan secara visual.
Selain PL-15, J-10C turut mampu menggunakan peluru berpandu jarak dekat PL-10 berpandu inframerah, bom pandu pintar, serta senjata udara-ke-darat dan udara-ke-laut, menjadikan ia pesawat tempur pelbagai peranan yang amat fleksibel.
J-10C juga direka untuk beroperasi dalam rangka peperangan berpusat rangkaian (network-centric warfare), membolehkannya berhubung dengan AEW&C, dron dan aset lain melalui datalink yang canggih, setanding dengan sistem komunikasi moden Barat.
Pesawat pejuang J-10C secara rasmi diperkenalkan ke dalam perkhidmatan Tentera Udara China (People’s Liberation Army Air Force, PLAAF) pada tahun 2018.
J-10CE
Pesawat pejuang J-10CE dikatakan milik Mesir pada pameran udara di Zhuhai tahun lepas.
Ia merupakan varian paling moden dalam siri J-10 dan telah menggantikan peranan varian terdahulu seperti J-10A dan J-10B sebagai tulang belakang pesawat tempur pelbagai peranan generasi 4.5 PLAAF.
Sehingga tahun 2024, dianggarkan lebih 250 buah J-10C telah dibina dan beroperasi dalam pelbagai unit tempur udara China, menjadikannya antara pesawat paling banyak digunakan dalam armada udara negara itu.
Pesawat J-10C kini menjadi aset utama dalam strategi kuasa udara PLAAF, terutama dalam menghadapi ancaman dari pelbagai arah termasuk di rantau Laut China Selatan, Selat Taiwan, dan sempadan dengan India.
Sekiranya Colombia memuktamadkan keputusan untuk membeli pesawat pejuang J-10C buatan China, langkah itu bakal membawa kesan besar terhadap landskap geopolitik bukan sahaja di Amerika Latin, malah pada peringkat global.
Selama beberapa dekad, pasaran pertahanan di rantau Amerika Selatan didominasi oleh kuasa Barat seperti Amerika Syarikat, Israel dan Perancis, namun kemasukan China menerusi penawaran pesawat J-10C boleh menandakan permulaan kepada anjakan strategik yang lebih luas.
Pembelian aset ketenteraan utama seperti pesawat pejuang daripada Beijing akan mempererat hubungan pertahanan antara Colombia dan China, serta membuka jalan kepada kerjasama ketenteraan yang lebih mendalam seperti latihan bersama, pemindahan teknologi dan pembinaan infrastruktur sokongan.
Langkah ini juga secara tidak langsung mencabar pengaruh tradisional Washington di rantau tersebut, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sekutu-sekutu Amerika Syarikat mengenai peluasan pengaruh ketenteraan dan teknologi China di hemisfera barat.
J-10C
J-10C
Dari sudut strategik, kehadiran sistem senjata China seperti J-10C yang dilengkapi peluru berpandu jarak jauh PL-15 dan radar AESA berkeupayaan tinggi akan memberi kelebihan taktikal kepada Colombia berbanding negara jiran yang masih menggunakan pesawat lama atau bergantung sepenuhnya kepada bantuan Barat.
Perkembangan ini juga boleh mendorong negara-negara lain di Amerika Latin seperti Venezuela, Bolivia atau Peru untuk melihat kepada China sebagai alternatif lebih mampu milik tetapi berteknologi tinggi, sekali gus mempercepatkan perubahan blok pengaruh di rantau tersebut.
Di pihak China pula, kejayaan memasuki pasaran strategik seperti Colombia akan memperkukuh statusnya sebagai pembekal utama sistem persenjataan global, serta menjadi isyarat kepada dunia bahawa Beijing kini bersedia bersaing secara langsung dengan Barat dalam pasaran pertahanan berteknologi tinggi.
Namun begitu, keputusan Colombia itu juga boleh membawa risiko diplomatik, termasuk kemungkinan dikenakan sekatan atau tekanan politik daripada Amerika Syarikat, yang melihat kerjasama pertahanan dengan China sebagai ancaman terhadap dasar keselamatan serantau.
Secara keseluruhan, perolehan pesawat J-10C oleh Colombia bukan sekadar urusan jual beli pertahanan biasa, tetapi berpotensi mencetuskan perubahan imbangan kuasa dan penjajaran strategik yang baharu di peringkat benua dan global.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.