(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya usaha-usaha pihak berkuasa Indonesia untuk mengangkat kapal selam malang KRI Nanggala-402 yang tenggelam pada kedalaman 838 meter bersama 53 anak kapalnya di dasar utara Laut Bali ke permukaan sedang giat dipertimbangkan.
Menurut laporan media negara itu, salah satu caranya adalah dengan menggunakan kapal Timas 1201 milik PT Timas Suplindo yang merupakan kontraktor kepada Satuan Kerja Khusus Pelaksana Kegiatan Usaha Hulu Minyak dan Gas Bumi (SKK Migas).
Ketua SKK Migas Dwi Soetjipto mengatakan pihaknya bersedia untuk memberi bantuan dan pertolongan dalam usaha untuk mengangkat kapal selam seberat 1,390 tonnes yang tenggelam bersama-sama 53 orang anak kapalnya.
Kapal Timas 1201 sepanjang 162.3 meter itu direkabentuk untuk melaksanakan kerja-kerja berkaitan industri minyak dan gas di laut dalam dan cetek.
Menurut laman web rasmi syarikat PT Timas itu, kapal terbabit menggunakan sistem pipelay terkini yang mampu beroperasi hingga kedalaman air 3.000 meter.
Ia mampu belayar selaju 15 knot dan menggunakan kren berkapasiti 1.200 MT.
Sementara itu Tentera Laut China (PLAN) menerusi duta negara itu ke Indonesia turut menawarkan bantuan untuk mengangkat KRI Nanggala ke permukaan.
KRI Nanggala tenggelam pada 21 April lepas di Laut Bali ketika terlibat dalam latihan penembakan torpedo.
Tawaran bantuan itu disampaikan oleh duta China ke Indonesia kepada Menteri Pertahanan Prabowo Subianto,
“Tawaran bantuan kemanusiaan ini disambut dengan senang hati pemerintah Indonesia,” kata kenyataan media oleh Dinas Penerangan Angkatan Laut Indonesia hari ini.
Dibawah tawaran itu, Beijing akan mengerahkan tiga buah kapal salvage untuk tujuan mengangkat kapal selam terbabit ke permukaan.
Ketiga-tiga kapal itu adalah Ocean Salvage and Rescue Yongxingdao-863, Ocean Tug Nantuo-185 dan Scientific Salvage Tan Suo 2.
Ketiga-tiga kapal terbabit dijangka tiba di perairan Bali pada awal Mei 2021.
Ketiga-tiga kapal salvage ini memiliki pelbagai kemudahan termasuk kemampuan daya selam sehingga kedalaman 4.500 meter.
“Kapal-kapal ini memiliki juga peralatan robot, sonar, side scan sonar dan rescue boat,” kata Laksma TNI –AL Julius Widjojono.