(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak berkuasa pengawal pantai China telah “menawan” sebuah lagi terumbu karang terpencil dan tidak diduduki di Laut China Selatan, dengan anggotanya dilihat mengibarkan bendera negara itu di terumbu karang tersebut yang terletak tidak jauh daripada pos kawalan keselamatan tentera Filipina.
Beijing telah mengisytiharkan kedaulatan rasminya terhadap terumbu karang itu yang dipanggil Sandy Say.
Gambar-gambar yang dikeluarkan oleh media kerajaan China menunjukkan anggota pengawal pantai China telah mengibarkan bendera negara itu di terumbu karang Sandy Cay, di mana Beijing memanggilnya Tiexian Jiao.
Terumbu Karang itu terletak di dalam kawasan perairan Kepulauan Spratly, yang turut dituntut oleh Taiwan, Vietnam dan Filipina.
Terumbu Karang Sandy Cay juga terletak kira-kira 3km daripada Pulau Thitu atau dikenali sebagai Pag-asa oleh Manila, yang menempatkan kemudahan tentera negara itu termasuk landasan kapal terbang dan kira-kira 250 orang penghuni.
Menurut media nasionalis China, Global Times, anggota pihak berkuasa pengawal pantai China mendarat di terumbu karang itu untuk “melakukan pemeriksaan terhadap terumbu karang itu dan merekod video segala aktiviti haram,” termasuk membersihkannya daripada plastik-plastik botol, batang kayu dan segala sampah.
Pada Januari lalu, Beijing mendakwa pihaknya telah memintas dan “menghalau” kapal-kapal tentera laut Filipina yang didakwa “menceroboh” perairan berhampiran terumbu karang tersebut dan cuba melakukan “pendaratan haram serta mengambil sampel pasir.”

Pihak Filipina pula menyatakan bahawa mereka telah menghantar kapal-kapal pengawal pantai ke kawasan berkenaan bagi memantau dan mengkaji sama ada China sedang berusaha menjalankan aktiviti penambakan di terumbu karang berskala kecil di situ.
China mendakwa terumbu karang Sandy Cay, yang berkeluasan kira-kira 200 meter persegi itu, merupakan ciri maritim semula jadi dan bukannya pulau buatan manusia — sekaligus menurut undang-undang antarabangsa, membolehkan ia memiliki zon laut wilayah sejauh 12 batu nautika (22 kilometer) yang akan bertindih dengan Pulau Thitu.
Setakat ini, kerajaan Filipina belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan China menawan Sandy Cay, sebuah terumbu kecil yang terletak hanya beberapa kilometer dari Pulau Thitu (Pag-asa) yang dikuasai Filipina.
Namun, tindakan China itu telah mencetuskan kebimbangan di kalangan pegawai keselamatan dan pakar maritim Filipina.
Menurut seorang pegawai keselamatan maritim Filipina, walaupun tiada kehadiran kekal China di Sandy Cay ketika ini, pengisytiharan kedaulatan secara rasmi oleh Beijing menimbulkan kebimbangan bahawa China mungkin akan meningkatkan gangguan terhadap kehadiran Filipina di Pag-asa.
Sebelum ini, Filipina telah beberapa kali cuba menghantar kapal ke Sandy Cay sejak tahun lalu, namun sering dihalang oleh kapal pengawal pantai China yang memberi amaran agar mereka beredar.
Insiden terbaru ini berlaku ketika Filipina dan Amerika Syarikat sedang menjalankan latihan ketenteraan tahunan terbesar mereka, Balikatan, yang merangkumi latihan pertahanan pantai dan penawanan pulau.
Tindakan China ini dilihat sebagai strategi untuk menguji tindak balas Filipina dan meningkatkan tekanan terhadap kehadiran Filipina di kawasan tersebut.
Walaupun tiada tindakan balas rasmi diumumkan oleh Manila setakat ini, perkembangan ini dijangka akan mempengaruhi hubungan diplomatik dan keselamatan di rantau Asia Tenggara.
Antara tahun 2013 hingga 2016, China melaksanakan salah satu operasi penambakan laut terbesar dalam sejarah moden di Laut China Selatan, sebuah kawasan strategik yang kaya dengan sumber semula jadi dan menjadi laluan perdagangan utama dunia.
Melalui projek itu, China telah bertindak menambak tujuh pulau buatan di Kepulauan Spratly, termasuk di Terumbu Fiery Cross, Subi, dan Mischief, dengan menggunakan kapal penambak gergasi untuk memindahkan beratus-ratus juta meter padu pasir dan batu ke atas terumbu karang yang sebelum ini tenggelam di bawah permukaan laut.
Pulau-pulau buatan ini kemudiannya diperkukuh dengan infrastruktur ketenteraan seperti landasan kapal terbang sepanjang 3,000 meter, pelabuhan air dalam, hangar pesawat pejuang, sistem radar canggih, peluru berpandu pertahanan udara dan kubu pertahanan pantai.
Melalui tindakan ini, Beijing bukan sahaja memperkukuh kehadiran fizikalnya di kawasan tersebut, tetapi juga secara aktif membentuk ‘fakta di lapangan’ bagi menyokong tuntutan wilayahnya yang luas berdasarkan “Nine Dash Line” — satu peta tuntutan sejarah China yang merangkumi hampir 90 peratus Laut China Selatan, walaupun ia bertindih dengan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara lain seperti Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Tindakan ini telah menimbulkan kritikan dan kebimbangan besar dalam kalangan komuniti antarabangsa, khususnya negara-negara ASEAN dan Amerika Syarikat, yang menuduh China melanggar prinsip Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS) dan merosakkan ekosistem marin di kawasan itu.
Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa di The Hague dalam keputusan pada 2016 memihak kepada Filipina, menyatakan bahawa tuntutan China melalui Nine Dash Line tidak mempunyai asas undang-undang, dan penambakan serta pembinaan pulau buatan tersebut telah menyebabkan kerosakan alam sekitar yang besar.
Namun begitu, Beijing menolak keputusan tribunal itu dan meneruskan aktiviti pembangunannya, sekali gus mengukuhkan kawalan de facto ke atas sebahagian besar Laut China Selatan, meningkatkan ketegangan ketenteraan dengan negara-negara serantau serta mengundang tindak balas seperti operasi “kebebasan pelayaran” (FONOP) oleh tentera laut Amerika Syarikat.
Sehingga kini, pulau-pulau buatan China itu memainkan peranan penting sebagai pangkalan hadapan tentera dalam mempertahankan tuntutan wilayahnya terhadap Laut China Selatan, memberikan keupayaan pengawasan dan kawalan strategik terhadap laluan perairan yang menghubungkan Asia Timur dengan Asia Selatan, Timur Tengah dan Eropah.
— DEFENCE SECURITY ASIA