China Larang Kapal Friget Jerman, “Bayern” Singgah Di Pelabuhan Shanghai

Dalam pelayarannya selama enam bulan ke Indo-Pasifik, kapal friget Jerman itu dijadualkan belayar di Laut China Selatan, kawasan perairan strategik dunia yang 90 peratus daripada keluasannya di dakwa oleh Beijing sebagai miliknya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Marah kerana Jerman menghantar kapal perangnya “Bayern” ke Indo-Pasifik, China telah bertindak untuk melarang kapal friget tentera laut negara itu daripada singgah di pelabuhan di Shanghai.

Dalam pelayarannya selama enam bulan ke Indo-Pasifik, kapal friget Jerman itu dijadualkan belayar di Laut China Selatan, kawasan perairan strategik dunia yang 90 peratus daripada keluasannya di dakwa oleh Beijing sebagai miliknya.

Mungkin rancangan kapal friget Jerman itu untuk belayar di Laut China Selatan merupakan punca kepada kemarahan Beijing sehingga ia melarang “Bayern” daripada singgah di Shanghai.

“Selepas suatu tempoh refleksi,  China telah memutuskan yang ia tidak akan menerima kunjungan ke pelabuhan (Shanghai) oleh kapal perang ‘Bayern’ dan kami menerima keputusan yang dibuat oleh Beijing itu,” kata jurucakap Kementerian Luar Jerman Maria Adebahr kepada wartawan di Berlin dan dilaporkan oleh portal dw.com.

Kapal perang seberat 4,000 tan “Bayern” belayar daripada Wilhelmshaven pada 2 Ogos untuk pengembaraan selama enam bulan ke Indo-Pasifik, bertujuan untuk mengukuhkan kehadirannya di rantau itu selain “memberi sokongan” kepada sekutu-sekutunya.

Sepanjang pelayaran selama enam bulan itu, kapal perang itu akan singgah di 12 pelabuhan termasuk Djibouti, Karachi, Diego Garcia, Perth, Guam, Tokyo dan Shanghai (sebelum China tidak membenarkannya).

Menteri Pertahanan Jerman Annegret Kramp-Karrenbauer dilaporkan berkata pelayaran kapal friget “Bayern” itu adalah untuk menyokong sekutu-sekutunya di Indo-Pasifik.

“Untuk rakan-rakan kami di Indo-Pasifik, ia adalah sesuatu yang benar bahawa laluan perkapalan tidak lagi terbuka dan dakwaan pemilikan terhadap kawasan-kawasan dibuat atas dasar ‘sesiapa yang kuat dialah yang betul,’ ” katanya.

Karrenbauer juga berkata bahawa pelayaran kapal perangnya ke Indo-Pasifik itu tidak mensasarkan mana-mana negara manakala cadangan berlabuh di Shanghai adalah untuk “mengekalkan dialog” dengan kerajaan China.

Jurucakap Kementerian Luar Jerman itu berkata, tujuan persinggahan “Bayern” di pelabuhan di Shanghai itu adalah untuk mengendurkan ketegangan  berhubung pelayaran kapal perang itu di Indo-Pasifik termasuk Laut China Selatan.

Tetapi usaha Jerman untuk “berbaik-baik” itu telah ditolak oleh China.

Pelabuhan Shanghai

 

DEFENCE SECURITY ASIA

BayernChinaJermanShanghai
Comments (0)
Add Comment