China Tawar Beri Dua Buah Kapal Selam Terpakai Pada Thailand

Tawaran oleh China itu berkemungkinan kerana dua buah kapal selam kelas-Yuan “S26T” yang dipesan oleh Thailand daripada Beijing akan mengalami kelewatan daripada segi penghantaran akibat sebab-sebab kegawatan ekonomi.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China dilaporkan menawar pemberian dua buah kapal selam terpakai kepada Thailand bagi membolehkan anggota tentera laut negara jiran itu memulakan latihan pengoperasian kapal selam.

Tawaran oleh China itu berkemungkinan kerana dua buah kapal selam kelas-Yuan “S26T” yang dipesan oleh Thailand daripada Beijing akan mengalami kelewatan daripada segi penghantaran akibat sebab-sebab kegawatan ekonomi.

Perolehan dua buah kapal selam itu mengalami kelewatan kerana masalah ekonomi dihadapi oleh Thailand berikutan masalah pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan beberapa sektor utama negara jiran itu.

Beijing dikata menawarkan dua buah kapal selam terpakai sama ada daripada jenis Type 035B kelas-Ming atau Type 039 kelas-Song kepada Tentera Laut Thailand bagi membolehkan ia memulakan latihan pengendalian kapal selam.

Kedua-dua kapal selam yang ditawarkan oleh Beijing itu masih lagi digunakan oleh Tentera Laut China.  

Kapal selam buatan China yang bakal diperolehi oleh Thailand.

 

Baru-baru ini, laporan media negara jiran itu mengatakan bahawa tentera Thailand dijangka tidak akan memohon peruntukan untuk memperolehi dua lagi buah kapal selam kelas-Yuan “S26T” buatan China pada belanjawan tahun 2023 yang akan dibentangkan pada Oktober tahun ini.

Sebaliknya, tentera negara jiran itu akan hanya memohon peruntukan untuk membeli dua buah kapal selam China pada belanjawan tahun 2024 yang akan dibentangkan pada Oktober tahun depan.

Akhbar utama negara jiran itu, Bangkok Post dalam laporannya berkata Panglima Tentera Laut Thailand Laksamana Somprasong Nilsamai telah pun bersetuju untuk menangguhkan permohonan peruntukan pembelian dua buah kapal selam untuk setahun.

Panglima Tentera Laut Thailand itu berpendapat peruntukan pembelian kapal selam itu sepatutnya disalurkan kepada tujuan membantu ekonomi rakyat negara itu yang terjejas akibat COVID-19.

“Ia adalah keputusan yang diambil oleh Panglima Tentera Laut tanpa sebarang arahan daripada kerajaan. Walaupun kapal selam adalah aset strategic yang amat perlu,tetapi keadaan ekonomi negara tidak mengizinkan kita untuk memperolehinya.”

“Oleh kerana itu, dasar perolehan kapal selam itu ditangguhkan kepada tahun 2023,” kata sumber itu kepada Bangkok Post.

Somprasong berkata, walaupun perolehan kapal selam itu penting tetapi ia memerlukan persetujuan daripada rakyat.

Kapal selam S-26T

Berikutan daripada masalah ekonomi berpunca daripada pandemic COVID-19 yang berpanjangan, Thailand mengambil keputusan untuk menyalurkan peruntukan yang sepatutnya dibelanjakan untuk sektor pertahanan dan keselamatan kepada usaha merancakkan ekonominya serta membantu rakyatnya yang terjejas akibat pandemik itu.

Usaha kerajaan Thailand untuk menyalurkan peruntukan bagi membeli tambahan dua buah kapal selam untuk tentera lautnya pada dua tahun lepas menerima bantahan keras daripada rakyatnya yang mengatakan tindakan itu suatu pembaziran.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha telah menangguhkan permohonan peruntukan pembelian dua buah kapal selam itu sebanyak tiga kali akibat bantahan rakyat negara itu.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

Pada 2015, Thailand meluluskan pembelian sebuah kapal selam China bernilai US$470 juta (RM1.8 bilion) yang dijangka diterima oleh Bangkok pada tahun 2024.

 Tidak lama selepas itu, negara jiran itu bercadang memperolehi dua lagi buah kapal selam daripada China bernilai kira-kira US$740 juta (RM2.9 bilion)  tetapi cadangannya itu menerima bantahan keras daripada penduduk negara itu.

Bantahan keras penduduk Thailand itu telah menyebabkan kerajaan negara itu menangguhkan permohonan peruntukan perolehan dua buah kapal selam itu beberapa kali. — DSA

 

ChinafeaturedKapal SelamThailand
Comments (0)
Add Comment