(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal penumpang mewah China, “ Shan Sha 2 Hao” yang digunakan oleh negara itu untuk “mempertahankan perairan miliknya di pintu selatan negara itu” kini dilaporkan berada di kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan.
Menurut penyelidik antarabangsa Ray Powell @GordionKnotRay, kapal penumpang mewah itu meninggalkan Pelabuhan Qinglan dan belayar ke Laut China Selatan serta melakukan persinggahan di Terumbu Subi dan Terumbu Mischief yang terletak di Kepulauan Spratly.
Selepas singgah di kedua-dua terumbu yang kini bertukar menjadi “pangkalan tentera terapung” China akibat aktiviti penambakan beberapa tahun lalu, kapal penumpang mewah China itu meneruskan pelayarannya ke perairan ZEE Malaysia.
Powell yang juga merupakan ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford berkata sepanjang pelayarannya di Laut China Selatan, “Shan Sha Hao 2” itu diiringi oleh kapal peronda Zhong Guo Yu Zheng 310.
Beliau berkata kedua-dua kapal itu masih berada di perairan ZEE Malaysia pada ketika ini.
Tidak pasti sama kapal-kapal penguatkuasa milik Malaysia berada di lokasi untuk memantau kehadiran kedua-dua buah kapal China itu di perairan milik negara itu.
Apakah kapal penumpang mewah “Shan Sha Hao 2” itu? Kapal yang dibina oleh Guangzhou Shipyard International Company Ltd memiliki panjang 128 meter dan berat 8,000 tan.
Ia boleh meluncur selaju 22 knot, jarak operasi sejauh 6,000 batu nautika dan memiliki kemampuan untuk membawa 400 penumpang.
Kapal penumpang mewah itu berfungsi sebagai pengangkut dan ulang bekal, pentadbiran, pusat pemerintahan kecemasan, bantuan perubatan dan penyelidikan saintifik di kawasan terumbu serta pulau, menurut laporan media China.
“Kapal Shan Sha Hao 2 akan meningkatkan lagi kapasiti pengangkutan di antara pulau dan terumbu di Sansha (bandar paling selatan China di Laut China Selatan) dan menambahbaik kapasiti kecemasan maritim apabila ia beroperasi.”
“Kapal itu akan memainkan peranan yang penting dalam mempertahankan perairan China di pintu selatan negara (China).”
Kawasan pentadbiran Sansha ini adalah pulau-pulau dan terumbu di bahagian selatan Kepulauan Spratly, termasuklah pulau dan terumbu karang dimiliki oleh Malaysia sebagaimana mengikut UNCLOS 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea). — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com