China Dedah Pencapaian Besar Dalam Pembangunan Dron Hipersonik

Video tersebut memaparkan pesawat tanpa pemandu, MD-22, dilancarkan ke angkasa lepas menggunakan belon altitud tinggi. Menurut CAS, dron itu mencapai kelajuan Mach 7 sebelum mendarat dengan selamat dan bersedia untuk digunakan semula.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sebuah video terbaru daripada Akademi Sains China (CAS) mendedahkan pencapaian besar oleh China dalam teknologi hipersonik.
Video tersebut memaparkan pesawat tanpa pemandu, MD-22, dilancarkan ke angkasa lepas menggunakan belon altitud tinggi.
 Menurut CAS, dron itu mencapai kelajuan Mach 7 sebelum mendarat dengan selamat dan bersedia untuk digunakan semula.
Pesawat ini adalah sebahagian daripada siri hipersonik MD, termasuk model MD-19, MD-21, dan MD-22.
Kesemua model ini mempunyai reka bentuk yang hampir sama.
Dron ini direka untuk dilancarkan dari pesawat lain, seperti pengebom H-6M, untuk misi peninjauan di kawasan yang mempunyai sistem pertahanan udara musuh yang kuat.
 Keupayaan mereka untuk terbang pada altitud ekstrem dan kelajuan hipersonik sangat penting bagi mengelak ancaman pertahanan udara.
Pembangunan ini mengikuti jejak pesawat pengawasan era Perang Dingin seperti SR-71 Amerika Syarikat dan MiG-25R/RB Soviet, yang bergantung pada kelajuan dan altitud untuk mengelak ancaman.
Namun, China kini telah melangkah lebih jauh dengan mengoperasikan satu-satunya pesawat hipersonik yang diketahui di dunia.

Dokumen Pentagon yang didedahkan pada 19 April 2023 mengesahkan bahawa Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) telah mengoperasikan WZ-8, sebuah dron pengawasan hipersonik.
Dron ini ditempatkan di wilayah Anhui di bawah Komando Teater Timur, bersiap sedia untuk bertindak balas terhadap sebarang krisi di Selat Taiwan atau Semenanjung Korea.
Pengalaman operasinya dijangka menjadi panduan untuk pembangunan masa depan, dengan pengganti-pengganti WZ-8 berpotensi melaksanakan pelbagai peranan tambahan.
WZ-8 menjadi aset utama dalam inventori China, dengan keupayaan terbang pada kelajuan Mach 3 dan mencapai altitud 100,000 kaki (30 km).
 Ia direka untuk misi “Penetrating ISR” (Intelligence, Surveillance, and Reconnaissance) yang bertujuan memantau kawasan kritikal menggunakan radar apertur sintetik dan pakej sensor elektro-optik.
WZ-8
Kelajuan dan altitudnya menjadikannya sukar dipintas oleh pertahanan udara dan pesawat pejuang.
Berbeza dengan satelit pengawasan yang mengikuti orbit tetap dan mudah disasarkan dalam konflik, pesawat pengawasan hipersonik boleh mengikuti laluan tidak dijangka serta lebih mudah disembunyikan di hangar bawah tanah.
Ciri-ciri ini memberikannya kelebihan strategik sebagai sandaran untuk pengumpulan risikan altitud tinggi dalam konflik yang melibatkan kuasa besar. — DSA

ChinaDronfeaturedHipersonik
Comments (0)
Add Comment