China Cuba “Rampas” Sumber Air Di Pergunungan Himalaya, India Bimbang

China telah pun melakukannya terhadap negara-negara pengguna Sungai Mekong yang setiap tahun melihat paras air di sungai tersebut semakin menurun akibat pembinaan empangan-empangan oleh China yang menyekat aliran air sungai.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya China meneruskan dasar menggunakan pembinaan empangan-empangan hidroelektrik sebagai salah satu cara halus untuk “menekan” negara-negara jirannya.

Ia telah pun melakukannya terhadap negara-negara pengguna Sungai Mekong yang setiap tahun melihat paras air di sungai tersebut semakin menurun akibat pembinaan empangan-empangan oleh China yang menyekat aliran air sungai.

Penurunan paras air di Sungai Mekong akibat pembinaan empangan oleh China telah menjejaskan kira-kira 60 juta penduduk di Laos, Myanmar, Thailand, Kemboja dan Vietnam yang bergantung sumber hidup kepada sungai terbabit.

Kehidupan jutaan penduduk yang bergantung kepada aliran Sungai Mekong telah terjejas.

Dan kini giliran India pula untuk berhadapan dengan tekanan secara halus oleh China pula.

Laporan media mengatakan China merancang untuk membina “empangan gergasi” di Tibet yang bakal menjana tiga kali ganda bekalan elektrik berbanding Empangan Three Gorges, sekaligus menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak sama ada di Tibet mahupun India.

Projek pembinaan empangan di Sungai Brahmaputra atau Sungai Yarlung Tsangpo di Wilayah Autonomi Tibet itu akan menyekat air sungai itu sebelum ia mengalir ke Sungai Brahmaputra di India.

Mengikut perancangan, empangan yang bakal di bakal dibina di Metdog County,Tibet itu bakal menjana 300 billion kilowatt tenaga elektrik setiap tahun.

Sungai Mekong yang kering akibat alirannya disekat oleh empangan-empangan yang dibina oleh China.

 

Projek kontroversi itu telah pun diumumkan dalam pembentangan rancangan pembangunan lima tahun China pada Mac lepas, tetapi perinciannya dan makumat sebenar masih belum mencukupi sebagaimana didakwa oleh aktivis alam sekitar.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan Tibet telah pun menandatangani perjanjian dengan Power China yang bertanggungjawab dalam projek-projek pembinaan empangan hidroelektrik di serata China sebelum ini.

Aktivis-aktivis alam sekitar bimbang episod hitam pembinaan Empangan Three Gorges yang dibina bermula 1994 hingga 2012 bakal berulang yang menyaksikan kira-kira 1.4 juta penduduk asal dipindahkan ke perkampungan-perkampungan baru yang dibina oleh kerajaan China.

Mereka bimbang projek empangan gergasi di Tibet itu akan “uproot” (memindah secara paksa) penduduk tempatan Tibet di kawasan terbabit dan akhirnya akan digantikan dengan penduduk berbangsa Han dari China.

Jika ia berlaku, maka demografi di Tibet sedikit-sebanyak akan berubah.

Empangan Three Gorges

 

Satu lagi kebimbangan aktivis alam sekitar adalah lokasi pembinaan empangan itu terletak di kawasan yang aktif dengan kejadian gempa bumi, menimbulkan risiko yang amat tinggi kepada penduduk di yang tinggal di sekitar empangan itu.

Empangan itu disifatkan sebagai “bom jangka.” Bayangkan jika gempa bumi kuat melanda di kawasaan itu, apa akan jadi kepad empangan terbabit dan penduduk di sekitarnya.

Kerajaan India ternyata bimbang dengan rancangan Beijing untuk membina empangan itu kerana sedar bahawa China akan mengawal sebahagian besar daripada sumber air yang mengalir ke sungai-sungai di Asia Selatan, sebagaimana yang berlaku terhadap Sungai Mekong.

Apakah India bakal melihat paras air di Sungai Brahmaputra semakin menurun selepas ini? Itulah kebimbangan New Delhi dan ia sedang merancang untuk menangani kemungkinan itu termasuk membina empangan bagi “menyimpan” air sungai itu.

Penganalisis sudah menjangkakan akan berlaku “peperangan air” (water wars) di antara China dengan India dan negara-negara Asia Selatan selepas ini.

— DEFENCE SECURITY ASIA

BrahmaputraChinaEmpanganIndiaThree Gorges DamTibetYarlung Zangpo