China Beri Percuma Dua Kapal Korvet Type 056 Kelas-Jiangdao Kepada Kemboja

Kedua-dua kapal perang yang diberikan secara percuma oleh China kepada Kemboja dikenalpasti daripada jenis korvet Type 056C kelas-Jiangdao.  
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kemboja menyatakan bahawa China akan memberikannya secara percuma dua buah kapal perang jenis korvet bagi meningkatkan lagi kemampuan pertahanannya, dalam satu lagi bukti betapa eratnya hubungan ketenteraan di antara kedua-dua negara itu.
Kedua-dua kapal perang yang diberikan secara percuma oleh China kepada Kemboja dikenalpasti daripada jenis korvet Type 056C kelas-Jiangdao dan boleh dilengkapi dengan pelbagai sistem persenjataan termasuk peluru berpandu anti-kapal YJ-83.
Tentera Laut China juga mengoperasikan sehingga 72 buah kapal korvet Type 056 kelas-Jiangdao itu, sebelum sebahagiannya dipindahkan kepada Agensi Pengawal Pantainya.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja Maly Socheata berkata bahawa China akan menyerahkan kedua-dua buah kapal perang itu kepada negara Asia Tenggara itu seawall-awalnya pada tahun depan.
Kapal-kapal perang itu sedang dibina khusus untuk Kemboja dan dijangka siap dan diserahkan pada tahun depan.
Kapal korvet Type 056 kelas-Jiangdao
“Matlamat utamanya adalah untuk memperkuatkan kapasiti dan kemampuan Kemboja untuk mempertahankan keamanan, keselamatan dan untuk menyokong operasi dan mencari dan menyelamat serta aktiviti kemanusian di perairan,” kata beliau.
China dilaporkan membiayai kerja-kerja pengubahsuaian di Pangkalan Laut Ream, Kemboja, yang dahulunya dibina menggunakan peruntukan daripada Amerika Syarikat.
Washington mendakwa bahawa pangkalan laut itu bakal memberikan China akses kepada Teluk Siam berhampiran dengan Laut China Selatan.
Tahun lepas, pegawai-pegawai kanan Kemboja menafikan laporan media asing yang mendakwa bahawa jeti sepanjang 363 meter dibina di Pangkalan Laut Ream itu adalah untuk digunakan oleh kapal pengangkut pesawat milik China.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja itu juga menyatakan bahawa fasa pertama projek pembesaran Pangkalan Laut Ream itu telah pun siap dan kerja-kerja dibawah fasa kedua sedang dilaksanakan dan akan siap tidak lama lagi.
Kapal korvet Type 056 kelas-Jiangdao
Beliau juga menafikan bahawa Pangkalan Laut Ream itu akan digunakan oleh tentera negara asing, sambil menegaskan bahawa Kemboja tidak akan membenarkan mana-mana negara asing mewujudkan pangkalan tentera di negara itu.
Sejak beberapa tahun lepas, pegawai-pegawai kanan pertahanan Kemboja mengakui bahawa China akan membantu negara Asia Tenggara itu untuk memoden dan menaiktaraf pangkalan tentera laut negara itu di lokasi strategik Ream.
Beliau pegawai kanan pertahanan Kemboja turut menyatakan bahawa China bukan merupakan satu-satunya negara yang akan diberikan akses kepada pangkalan tentera laut itu di Ream, yang berhadapan dengan Laut China Selatan dan Teluk Siam.
“Sumbangan China kepada pembangunan Pelabuhan Ream adalah untuk menaiktaraf sektor pertahanan Kemboja dalam bidang maritim atau memberikan Kemboja kawasan bersesuaian, bengkel untuk memperbaiki kapal.”
“Mereka (China) datang untuk membantu, Kemboja amat menghargainya dan bantuan ini adalah tanpa syarat,” menurut seorang pegawai kanan Kemboja pada 2022.
Pangkalan Laut Ream, Kemboja
Phnom Penh turut mengesahkan bahawa ia telah merobohkan beberapa bangunan yang dibina oleh Amerika Syarikat di Pangkalan Tentera Laut Ream itu, dengan alasan untuk menaiktarafnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kemboja telah menjadi “suara” paling lantang dalam mempertahankan kepentingan China di dalam ASEAN,  membawa pendirian dan dasar-dasar Beijing ke dalam kumpulan serantau itu terutamanya melibatkan pertikaian tentang Laut China Selatan. — DSA

 

ChinafeaturedKembojaKorvet
Comments (0)
Add Comment