CEO Eurofighter Sahkan Jerman Jadi “Batu Penghalang” Pada Turkiye Miliki Eurofighter Typhoon

Ketua Pegawai Eksekutif Eurofighter Giancarlo Mezzanatto mengesahkan bahawa Turkiye mahu memperolehi di antara 40 hingga 50 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu, berkemungkinan daripada varian terkininya, tetapi usaha itu dihalang oleh Jerman.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua Pegawai Eksekutif Eurofighter mengesahkan bahawa Turkiye menunjukkan minat yang mendalam untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon tetapi mendedahkan bahawa ia telah dihalang oleh Jerman.

Giancarlo Mezzanatto mengesahkan bahawa Turkiye mahu memperolehi di antara 40 hingga 50 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu, berkemungkinan daripada varian terkininya, tetapi usaha itu dihalang oleh Jerman.

Ketua Pegawai Eksekutif Eurofighter warga Itali itu berkata tindakan Jerman menghalang Turkiye daripada memperolehi pesawat pejuang itu berkemungkinan kerana tidak berpuashati dengan tindakan Ankara melakukan carigali gas asli di perairan Timur Mediterranean.

Tindakan Turkiye melakukan aktiviti carigali gas di perairan Timur Mediterranean telah meningkatkan ketegangan dikalangan negara-negara jirannya,terutama Greek dan Cyprus serta sekutu-sekutunya.

Jerman turut dikatakan enggan meluluskan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Turkiye kerana “bengang” dengan kritikan-kritikan keras negara Mediterranean itu terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza yang sehingga kini telah mengorbankan 40,000 orang.

Eurofighter Typhoon

 

Kenyataan oleh Mezzanatto itu dibuat kira-kira dua minggu selepas Presiden Turkiye Recep Tayyep Edrogan mendesak Canselor Jerman Olaf Scholz supaya mengugurkan tentangannya terhadap penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Ankara.

“Scholz tidak mempunyai pandangan yang negatif terhadap isu pesawat Eurofighter Typhoon,” kata Erdogan.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibangunkan oleh konsortium empat buah negara Eropah, Britain, Jerman, Sepanyol dan Itali.

Sebarang penjualan pesawat pejuang itu memerlukan persetujuan keempat-empat buah negara itu.

Pada November tahun lepas, Turkiye menyatakan bahawa ia telah memulakan perbincangan dengan negara-negara konsortium pembuat pesawat Eurofighter Typhoon terutamanya Britain untuk memperolehi 40 buah varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dikenali dengan nama “Tranche 4.”

Bagaimanapun halangan daripada Jerman telah membantutkan hasrat Turkiye untuk memiliki pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu.

RAF Eurofighter Typhoon

 

Walaupun Amerika Syarikat telah memberikan kelulusan Turkiye untuk membeli 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 kit permodenan bernilai US$23 billion (RM103 billion), Turkiye mengekalkan minatnya terhadap pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

Bercakap kepada agensi berita Reuters Februari lalu, seorang pegawai kanan di Kementerian Pertahanan Turkiye berkata, negara Mediterranean itu masih mahu membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

“Kami (Turkiye) masih berminat, kami harap anggota konsortium iaitu Jerman bersikap positif di dalam isu ini,”menurut pegawai berkenaan.

 Kesatuan-kesatuan sekerja di Jerman mendesak kerajaan negara itu supaya meluluskan dengan segera permohonan Turkiye untuk membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

Mereka bimbang “penolakan” permohonan kerajaan Turkiye untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon oleh Jerman akan menyebabkan industri pertahanan negara Eropah itu kehilangan ribuan pekerjaan.

Dilengkapi dengan radar AESA “CAPTOR E”, Eurofighter Typhoon Tranche 4 dikatakan adalah varian pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060. 

Jerman dikatakan telah memesan 38 buah pesawat pejuang Typhoon Tranche 4. — DSA

 

EurofighterfeaturedTurkiyeTyphoon
Comments (0)
Add Comment