Cadangan Pembinaan “Bare Bone Base” TUDM Di Bintulu Berjalan Lancar

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) tahun lepas, kerajaan telah mengumumkan pembinaan “Bare Bone Base” TUDM di Bintulu, Sarawak, berhadapan dengan perairan Laut China Selatan dan lapangan-lapangan minyak dan gas milik negara.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan menjangkakan ia akan dapat mengeluarkan tender untuk membina “Bare Bone Base” di Bintulu untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada suku keempat tahun ini.

Itulah yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz di Dewan Negara baru-baru ini.

Menurutnya, status projek itu kini adalah dalam pra-pembinaan iaitu TUDM dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya dalam proses pemurnian akhir skop kajian penyiasatan tapak projek dan proses awal konsep reka bentuk.

Aksi pesawat Su-30MKM pada Singapore Air Show 2018. (TUDM)

 

 “Sehingga kini, tiada permasalahan yang dihadapi dan dikenalpasti melibatkan projek itu. Projek ini akan melalui penilaian makmal pengurusan nilai bersama dengan pihak Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang akan dilaksanakan pada 6 hingga 10 Jun ini.

“Selepas makmal pengurusan nilai ini dimuktamadkan kelak, projek ini dijangka dapat ditender pada suku keempat 2022,” katanya.

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) tahun lepas, kerajaan telah mengumumkan pembinaan “Bare Bone Base” TUDM di Bintulu, Sarawak, berhadapan dengan perairan Laut China Selatan dan lapangan-lapangan minyak dan gas milik negara.

Kehadiran sebuah pangkalan udara di Bintulu yang berhadapan dengan Laut China Selatan menjadi lebih penting dan kritikal sebagai deterrent kepada sebarang percubaan oleh pihak asing untuk menceroboh kawasan perairan negara yang kaya dengan sumber minyak dan gas asli.

Sebagaimana yang kita tahu, China telah meningkatkan percerobohan oleh kapal-kapal pengawal pantai mereka di kawasan perairan Sarawak sejak kebelakangan ini.

Dengan adanya sebuah pangkalan TUDM di Bintulu itu, ia akan memudahkan lagi pesawat-pesawat TUDM (sama ada pesawat pejuang atau Maritime Patrol Aircraft) untuk melakukan pemantauan di kawasan-kawasan seperti Beting Patinggi AliJames Shoal dan lain-lain yang kerap dicerobohi oleh kapal-kapal pengawal pantai China.

Kawasan-kawasan perairan di sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoal) dan James Shoal yang kaya dengan sumber minyak dan gas asli milik negara kerap dikunjungi oleh kapal-kapal pengawal pantai China yang “menganggu” (harass) kapal-kapal offshore milik syarikat tempatan. 

Pesawat F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). (pix credit to owner)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan itu juga berkata keperluan kritikal untuk mewujudkan Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla 4), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bintulu, Sarawak akan dibentang pada sidang Majlis Keselamatan Negara dalam masa terdekat.

Pada masa sama katanya, Kementerian Pertahanan akan mendaftar permohonan peruntukan bagi perolehan tanah di Kawasan Perindustrian Samalaju, Tanjung Borkam, Bintulu dalam Pelan Pelaksanaan ketiga 2023, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12). 

“Surat permohonan bagi tapak Mawilla 4 telah dimajukan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Gajian Negeri Sarawak pada 9 Feb lepas.

“Dengan perancangan teliti, Kementerian Pertahanan menjangkakan tiada permasalah bagi projek ini dilaksanakan dalam RMK-12,” katanya. — DSA

 

Bare Bone BaseBintulufeaturedTUDM