Akibat Kekurangan Anggota Tentera Laut, Britain Terpaksa “Bersarakan” Dua Buah Kapal Perang

Akhbar British, The Daily Telegraph melaporkan tentang langkah penamatan khidmat kedua-dua buah kapal friget Type 23 disebabkan kekurangan anggota, walaupun HMS Argyll dan HMS Westminster telah menjalani kerja-kerja menaiktaraf pada 2017 membabitkan kos sebanyak US$70 juta (RM315 juta) setiap sebuah.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut British terpaksa menamatkan khidmat dua buah kapal Type 23 friget miliknya, HMS Argyll dan HMS Westminster kerana tentera laut negara itu kekurangan anggota untuk mengendalikan kedua-dua kapal perang itu.

Tindakan menamatkan khidmat kedua-dua kapal perang itu akan menjadikan bilangan kapal friget Type 23 milik Tentera Laut British kepada hanya sembilan buah daripada 11 buah sebelum ini.

Tentera Laut British bercadang menamatkan kesemua 11 buah kapal friget Type 23 itu pada 2035 dan menggantikannya dengan kapal friget Type 26.

Langkah menamatkan khidmat kedua-dua buah kapal perang itu berlaku ketika Tentera Laut British memerlukan lebih banyak kapal perang untuk beroperasi bagi mempertahankan kepentingan negara itu seperti di Laut Merah.

Akhbar British, The Daily Telegraph melaporkan tentang langkah penamatan khidmat kedua-dua buah kapal friget Type 23 disebabkan kekurangan anggota, walaupun HMS Argyll dan HMS Westminster telah menjalani kerja-kerja menaiktaraf pada 2017 membabitkan kos sebanyak US$70 juta setiap sebuah.

“Kita terpaksa mengambil anggota daripada satu tempat di dalam tentera laut dan meletakkannya mereka di tempat yang baru,” kata akhbar itu yang memetik seorang pegawai tentera yang enggan mendedahkan namanya.

HMS Westminster

 

Setiap sebuah kapal friget Type 23 itu mampu menempatkan diantara 180 krew kapal terdiri daripada pegawai-pegawai dan anggota tentera biasa.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Britain,  diantara Mac 2022 hingga Mac 2023, peratusan pengambilan anggota Royal Navy dan Royal Marines telah mencatatkan sebanyak 22 peratus penurunan.

Penurunan pengambilan anggota yang mahu berkhidmat dengan Royal Navy dan Royal Marines adalah lebih mendadak berbanding penurunan sebanyak 16.6 peratus dan 14.6 peratus dialami oleh Tentera Udara dan Tentera Darat British.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Parlimen bagi Pertahanan Britain Tobias Ellwood berkata bahawa ketika Perang Teluk Tentera Laut Britain mempunyai 51 buah kapal friget dan destroyer di dalam armadanya.

Di dalam beberapa tahun, Tentera Laut Britain akan hanya memiliki 16 buah kapal-kapal friget dan destroyer, dimana keadaan yang menimpa Tentera Laut British pada ketika ini adalah yang terburuk dalam sejarah sejak 1945.   

Kapal friget Type 26

 

Akhbar itu menyatakan anggota yang ditarik keluar daripada kedua-dua buah kapal perang Type 23 yang bakal ditamatkan khidmat itu, akan dipindahkan untuk bertugas di kapal-kapal friget Type 26 yang sedang dibina pada ketika ini.

“Selepas ditamatkan khidmat, kedua-dua buah kapal friget kelas-Type 23 itu, HMS Argyll dan HMS Westminster akan dilupuskan atau dijual kepada mana-mana pihak yang berminat, “ kata pegawai tentera terbabit.

Sebelum ini beberapa buah kapal friget Type 23 milik Tentera Laut British juga telah ditamatkan khidmatnya sebelum dijual kepada Tentera Laut Chile. Ketiga-tiga buah kapal perang yang dijual kepada negara Amerika Latin itu adalah HMS Norfolk, HMS Marlborough dan HMS Grafton. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

BritainfeaturedKapal PerangTamat
Comments (0)
Add Comment