Pangkalan Tentera China Di Spratly Bakal Jadi “Sasaran” Sistem BrahMos Filipina

Dengan radius operasi peluru berpandu BrahMos yang bakal dimiliki oleh Filipina adalah sejauh 300km dan jika benar sistem peluru berpandu itu diletakkan di Tagbita di Pulau Palawan, maka ia akan meletakkan salah satu pangkalan tentera China di Kepulauan Spratly iaitu Mischief Reef dalam kawasan sasarannya peluru berpandu itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Filipina dijangka mula menerima sistem peluru berpandu pertahanan pesisir pantai (coastal defence missile system)  “BrahMos” yang dibelinya daripada India dengan kos US$375 juta (RM1.5 bilion) pada tahun ini.

Filipina menjadi negara pertama di luar India yang menggunakan sistem peluru berpandu itu yang bakal ditempatkan di beberapa lokasi strategik negara itu.

Manila menganugerahkan kontrak pembelian sistem peluru berpandu itu kepada syarikat  Brahmos Aerospace Private Ltd yang membangunkan sistem itu pada 31 Disember 2021.

“BrahMos”

 

Filipina mahu menggunakan sistem peluru berpandu Brahmos itu untuk mencegah China daripada sebarang cubaan merampas dan menduduki pulau atau terumbu-terumbu karang yang berada dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) di barat Laut China Selatan atau dipanggil Manila sebagai West Philippine Sea.

Dengan BrahMos, kapal-kapal pengawal pantai China perlu “berfikir dua kali” sebelum menghampiri mana-mana pulau atau terumbu karang Filipina di dalam kawasan ZEE Filipina.

Dimanakah Filipina akan menempatkan sistem peluru berpandu itu?

Page pertahanan negara jiran itu, Max Defense telah menamakan beberapa lokasi di Filipina yang difikirkannya sebagai berpotensi untuk menempatkan sistem peluru berpandu BrahMos yang bakal dimilikinya pada tahun ini.

Antara lokasi-lokasi berpotensi itu adalah di Basco di Pulau Batan di Bashi Channel, San Felipe di Zambales,  Culion dan Tagbita di Pulau Palawan.

Dengan radius operasi peluru berpandu BrahMos yang bakal dimiliki oleh Filipina adalah sejauh 300km dan jika benar sistem peluru berpandu itu diletakkan di Tagbita di Pulau Palawan, maka ia akan meletakkan salah satu pangkalan tentera China di Kepulauan Spratly iaitu Mischief Reef dalam kawasan sasarannya peluru berpandu itu.

China telah menambak Mischief Reef, yang asalnya adalah terumbu karang dan menjadikannya sebuah pulau buatan manusia.

Selain Subi Reef dan Fiery Cross,  Mischief Reef adalah pangkalan tentera utama China di Kepulauan Spratly.   

Walaupun “sasaran utama” sistem peluru berpandu BrahMos yang berkemungkinan diletakkan di Tagbita di Palawan itu adalah pangkalan tentera China di Mischief Reef, namun radius operasi sistem BrahMos turut meliputi sebahagian utara Sabah dan kawasan perairannya.

Mischief Reef di Kepulauan Spratly diduduki oleh China

 

Sistem peluru berpandu BrahMos merupakan usahasama di antara Defence Research and Development Organisation (DRDO) daripada India dan NPO Mashinostreyenia (NPOM) daripada Russia.

Filipina dijangka memperolehi varian sistem peluru berpandu anti-kapal “Brahmos” yang mempunyai jarak effektif kira-kira 300km dengan kelajuan supersonik 2.8 Mach.

Peluru berpandu Brahmos itu membawa kira-kira 200kg bahan peledak berkuasa tinggi.

Peluru berpandu BrahMos merupakan peluru berpandu kruis jarak sederhana yang menggunakan teknologi ramjet yang boleh dilancarkan daripada pelbagai platform sama ada udara, kapal, kapal selam serta kawasan pesisir pantai. — DSA

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

BrahmosChinafeaturedFilipinaMischief ReefTagbita
Comments (0)
Add Comment