(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pihak berkuasa Korea Selatan memperluaskan lagi siasatan mereka untuk mencari “dalang” di sebalik kecurian maklumat-maklumat rahsia berkenaan teknologi pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” oleh dua orang jurutera Indonesia.
Selain menyerbu ibu pejabat syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) yang membangunkan pesawat pejuang moden itu, pihak Polis Korea Selatan dan agensi penguatkuasa yang turut memanggil lebih ramai individu untuk membantu siasatan mereka terhadap kes dakwaan kes kecurian itu.
Peningkatan bilangan saspek dalam dakwaan kes kecurian itu juga adalah selari dengan tindakan pihak berkuasa Korea Selatan memperluaskan siasatan mereka untuk mencari dalang-dalang yang bertanggungjawab dalam kes kecurian maklumat-maklumat sensitif itu.
Kedua-dua jurutera Indonesia yang disyaki terlibat dalam kes kecurian itu tidak dibenar meninggalkan Korea Selatan.
Menurut Defense Acquisition Program Administration (DAPA), kedua-dua jurutera Indonesia itu ditugaskan dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 dan bekerja di kemudahan milik KAI, yang merupakan syarikat pembuat pesawat tunggal di Korea Selatan.
Siasatan dilaksanakan oleh DAPA, polis dan pihak perisikan Korea Selatan.
Menurut DAPA jurutera-jurutera Indonesia terbabit disyaki menyimpan kira-kira 4,000 hingga 6,000 data-data rahsia tentang projek pesawat pejuang KF-21 itu di dalam USB.
Maklumat apakah yang terkandung di dalam USB milik jurutera Indonesia itu?
Menurut laporan eksklusif media Korea Selatan “JoongAng Ilbo”, antara maklumat-maklumat sensitif di dalam USB milik jurutera Indonesia itu adalah gambar-gambar blueprint pesawat pejuang KF-21 yang tidak sepatutnya dimiliki mereka.
Selain itu, USB itu juga mengandungi program 3D Modelling untuk pesawat pejuang KF-21 itu.
Pasukan penyiasat Korea Selatan dijangka akan melakukan siasatan forensik untuk menentukan bagaimana maklumat-maklumat sensitif itu dimuatnaik ke dalam USB itu.
Siasatan dan dakwaan terhadap dua jurutera Indonesia yang terlibat dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” itu berlaku ketika Jakarta dituduh gagal menjelaskan bayaran sepatut dibuatnya terhadap program pesawat pejuang itu.
Indonesia telah gagal membayar sejumlah 991.1 bilion Won (US$730 juta) kepada program pembangunan pesawat pejuang itu.
Sejak mula menyertai program pembangunan itu, Indonesia hanya menjelaskan sejumlah kecil daripada apa yang sepatutnya ia bayar mengikut perjanjian awal.
Indonesia memiliki 20 peratus pegangan dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” itu tetapi telah gagal melunaskan bayaran penyertaannya dalam program itu sejak 2017.
Jakarta juga bercadang memperolehi sejumlah 50 buah pesawat pejuang generasi 4.5 itu.
Indonesia dan Korea Selatan telah menandatangani perjanjian pada 2010 untuk bekerjasama di dalam program pembangunan pesawat pejuang itu, dengan Jakarta dikatakan akan menerima prototaip pesawat KF-21 yang kelima itu.
Sebagai rakan kerjasama bagi program pembangunan pesawat KF-21,Jakarta bersetuju untuk membayar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kos pembangunan pesawat pejuang itu.
Keseluruhan kos pembangunan pesawat pejuang canggih itu dianggarkan berjumlah US$6.67 bilion (RM26.7 bilion) dan bahagian yang perlu ditanggung oleh Indonesia adalah sebanyak 20 peratus.
Menurut DAPA, kali terakhir Indonesia melakukan bayaran bagi penyertaannya dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu adalah pada 2017, iaitu kira-kira lima tahun yang lalu.
Sehingga kini, Indonesia dikatakan telah gagal melunaskan bayaran sebanyak US$671 juta (RM2.7 bilion) daripada US$1.3 bilion (RM5.3 bilion) bayaran keseluruhan sebagai rakan pembangunan program pesawat pejuang itu, menggunakan alasan masalah kewangan negara itu sebagai alasan utamanya.
Syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) telah membangunkan enam buah pesawat prototaip KF-21, yang akan melakukan 2,200 penerbangan ujian sehingga tahun 2026 untuk mengesahkan lagi kemampuan teknikal pesawat itu.
Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.67bilion (RM26.7bilion),bertujuan untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang supersonik milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) yang telah berusia seperti F-4 Phantom dan F-5.
KAI merancang untuk membekalkan 40 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara bermula pada tahun 2026, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat. — DSA