Bantuan China Naikkan KRI Nanggala Ke Permukaan Bermotif Ketenteraan?

Ketiga-tiga kapal China itu,  Type 925 Yongxingdao, Nantuo-195 dan Tan Suo 2 telah pun tiba di perairan Bali dan bersedia untuk memulakan tugas.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China telah menghantar tiga buah kapal tentera lautnya (PLAN) untuk membantu Jakarta menaikkan kapal selam KRI Nanggala-402 yang kini terdampar 838 meter di dasar Laut Bali bersama-sama 53 anak kapalnya.

Ketiga-tiga kapal tentera laut China itu,  Type 925 Yongxingdao, Nantuo-195 dan Tan Suo 2 telah pun tiba di perairan Bali dan bersedia untuk memulakan tugas.

Bagaimanapun terdapat permerhati dan penganalisis pertahanan yang berpendapat bahawa usaha China membawa naik kapal selam Indonesia itu ke permukaan operasi “serampang dua mata” untuk membantu Beijing mencapai dua matlamat iaitu daripada segi diplomatik dan juga ketenteraan.

Daripada segi diplomatik, kehadiran ketiga-tiga kapal China membantu menaikkan kapal selam KRI Nanggala sudah semestinya menaikkan nama baik Beijing di mata kerajaan Indonesia dan rakyatnya, dikala China kerap dikecam akibat tindak-tanduknya di Laut China Selatan.

Walaupun Indonesia tidak terlibat dalam pertikaian di Laut China Selatan, tetapi kebelakangan ini kapal-kapal pengawal pantai China serta bot-bot nelayan negara ini sering dikesan berada berhampiran Pulau Natuna yang dikenali ramai sebagai kaya dengan sumber minyak dan gas.

Kapal selam China

 

Kehadiran kapal-kapal pengawal pantai China dan bot nelayan negara itu di Natuna telah membangkitkan kemarahan kerajaan serta rakyat Indonesia, yang melihat kehadiran mereka sebagai satu cubaan untuk mencabar kedaulatan Jakarta terhadap perairan sekitar Natuna yang kaya dengan sumber asli dan perikanan.

Sementara itu portal berita The Global Times memetik seorang pakar kapal selam yang mengatakan bahawa misi menaikkan kapal selam KRI Nanggala itu akan membantu China “mempelajari geografi ketenteraan maritim di sekitar bangkai kapal selam itu selain memperluaskan kerjasama antarabangsa.”

Portal berita itu juga mengatakan “akan meningkatkan pengaruh tentera laut China dalam usaha-usaha menyelamat dan salvage kapal selam.”

Sementara itu Song Zhongping, bekas instruktur tentera China dan penganalisis tentera berkata, misi menaikkan kapal selam Indonesia itu amat mencabar dan akan memberikan suatu bentuk pengalaman yang berguna kepada tentera laut negara itu.

Selain itu beliau berkata, misi itu juga akan memberikan peluang tentera laut untuk mengkaji keadaan topografi dasar laut di kawasan terbabit yang berguna kepada mereka.

Kapal selam KRI Nanggala.

 

Sejak beberapa bulan lepas, Indonesia telah mengesan kehadiran kapal-kapal kajian marine (marine survey) di dalam kawasan perairannya.

Kapal-kapal marine survey ini dikatakan sedang menjalankan kerja-kerja pemetaan dasar laut yang dipercayai untuk membantu kapal-kapal selam China mencari laluan.

Selain itu, nelayan dan pihak berkuasa Indonesia turut menemui alatan canggih seperti Underwater Unmanned Vehicle (UUV) milik China yang turut dipercayai digunakan untuk memeta keadaan dasar lain dan mencerap pelbagai maklumat yang amat berguna untuk operasi kapal selam.

Sebab itu, operasi salvage kapal selam KRI Nanggala ini amat dicurigai kerana ia dibimbangi akan digunakan oleh China untuk memperolehi maklumat yang penting bagi melicinkan lagi operasi kapal selamnya pada masa depan.

— DEFENCE SECURITY ASIA