Bangladesh Bakal Jadi Ahli Terbaru Kelab Negara Pengguna Pesawat Pejuang Rafale?

Kerajaan sementera dipimpin oleh pemenang Anugerah Nobel Mohammad Yunus mahu pemodenan  Tentera Udara Bangladesh serta meningkatkan kemampuan pertahanan udaranya, serangan maritim dan operasi serangan balas.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Perancis dilaporkan sedang berunding dengan Bangladesh untuk menjual pesawat-pesawat pejuang Rafale kepada negara Asia Selatan itu, sebagaimana dilaporkan oleh media negara Eropah itu.
Kerajaan sementera dipimpin oleh pemenang Anugerah Nobel Mohammad Yunus mahu pemodenan  Tentera Udara Bangladesh serta meningkatkan kemampuan pertahanan udaranya, serangan maritim dan operasi serangan balas.
Media-media Bangladesh melaporkan bahawa rundingan di antara  kedua-dua negara berada di tahap tertinggi dengan tumpuan rundingan adalah untuk memperolehi dua kumpulan pesawat pejuang Rafale terdiri daripada dua varian berasingan.
Bagi kumpulan pertama, negara Asia Selatan yang bersempadan dengan Myanmar dan India itu merancang untuk memperolehi empat buah varian pesawat pejuang Rafale F3-R terdiri daripada tiga pesawat pejuang dua tempat duduk dan sebuah satu tempat duduk milik Tentera Udara Perancis.
Bagi kumpulan kedua pula, Bangladesh merancang untuk memperolehi lapan buah varian pesawat pejuang Rafale F-4 satu tempat duduk daripada syarikat pembuat pesawat pejuang itu, Dassault Aviation.
Rundingan di antara kedua-dua negara itu membabitkan kerajaan Bangladesh, Kementerian Angkatan Tentera Perancis dan juga syarikat Dassault Aviation yang bertanggungjawab membangunkan pesawat-pesawat baru Rafale.
“Rafale”
Varian pesawat pejuang Rafale F4 merupakan varian terkini pesawat itu, menonjolkan peningkatan kemampuan dan prestasi, serta peningkatan dalam situational awareness dan membuat keputusan dalam keadaan medan peperangan yang sengit.
Ia dilengkapi dengan radar yang telah dipertingkatkan kemampuan, RBE2 serta pod sasaran (targeting pod) Talios.
Pesawat pejuang Rafale F4 juga dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh Meteor, peluru berpandu kruis SCALP, AASM, SCORPION helmet-mounted display dan juga SPECTRA  self-protection system.
Kerajaan Bangladesh telah mengeluarkan tender untuk mendapatkan lapan buah pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft) dengan opsyen untuk mendapatkan lapan buah lagi pesawat pejuang yang sama dalam usahanya untuk memodenkan tentera udara negara itu.
Selain Rafale yang bersaing dalam tender itu, pesawat pejuang Eurofighter Typhoon juga menunjukkan minat untuk memenuhi tender bernilai Euro 2.5 billion (RM11.9 billion) yang dikeluarkan oleh kerajaan Bangladesh itu.
Russia turut menawarkan pesawat pejuang MiG-35, tetapi kerajaan Bangladesh dilaporkan telah menolak tawaran oleh Moscow walaupun ia menggunakan pesawat pejuang MiG-29 pada ketika ini, berkemungkinan disebabkan masalah tentang alat ganti dan lain-lain.
Dibawah program pemodenan angkatan tentera “Force Goal 2030”, Bangladesh dilaporkan mahu memodenkan angkatan tenteranya dengan sistem dan peralatan senjata buatan negara-negara Barat dan bukan daripada Russia sebagaimana sebelum ini.
Kerajaan Bangladesh pada ketika ini yang dipimpin oleh Mohammad Yunus dikatakan bersedia untuk menimbangkan tawaran Perancis itu terutamanya selepas lawatan rasmi presiden negara itu Emmanuel Macron ke Dhaka pada Sept 2023, yang merupakan lawatan pertama pemimpin Perancis ke negara Asia Selatan dalam tempoh 33 tahun.
Bagaimanapun terdapat juga pihak-pihak yang membantah cadangan kerajaan Bangladesh yang mahu mendapatkan pesawat pejuang Rafale, kerana tidak mahu tentera udara negara itu memiliki pesawat pejuang yang sama digunakan oleh negara jiran mereka, India.
Dakwa mereka, pemilikan pesawat pejuang yang sama akan meletakkan Tentera Udara Bangladesh dalam keadaan “kekurangan” sekiranya konflik tercetus antara kedua pihak, kerana India akan memiliki segala maklumat tentang kemampuan dan ketidakmampuan pesawat pejuang Rafale secara terperinci.
Sekiranya Rafale berjaya menembusi Bangladesh, maka negara Asia Selatan itu akan menyertai “Kelab Pengguna Rafale” yang semakin ramai akhir-akhir ini.
Selain India, Indonesia turut memilih pesawat pejuang Rafale untuk tentera udaranya, selain negara-negara Timur Tengah seperti Mesir, UAE, Qatar, Oman dan terbaru, Iraq yang memiliki pesawat pejuang Rafale untuk memperkuatkan tentera udaranya. — DSA

BangladeshfeaturedPerancisRafale