Dari Pusat Ujian ICBM Tyuratam Ke Baikonur Cosmodrome, Pengalaman Penulis

Admin berpeluang "berkunjung" ke Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan (tetapi disewa oleh Russia) atas urusan "kerja" untuk melihat lebih dekat "lokasi rahsia" yang telah wujud sejak tahun 1955 dimana USSR bukan sahaja menempatkan kemudahan angkasa lepasnya, , tetapi juga merupakan pusat ujian peluru berpandu ICBM (Inter Continental Ballistic Missile) USSR itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Setiap kali membaca atau terlihat klip-klip di kaca televisyen berkenaan Baikonur Cosmodrome yang terletak di selatan Kazakhstan, admin akan tersenyum kerana banyak kenangan manis ketika berada di lokasi “rahsia” yang suatu ketika dahulu dinafikan kewujudannya oleh pihak Soviet Union (USSR).

Ya, Baikonur Cosmodrome telah wujud sejak tahun 1955 di atas usaha Kementerian Pertahanan USSR yang pada ketika itu sedang berlumba-lumba dengan Amerika Syarikat untuk mencipta sejarah untuk manusia di bidang angkasa lepas.

Sebelum ini,ia tidak dikenali dengan nama Baikonur Cosmodrome, tetapi ketika kemuncak Perang Dingin antara Blok Komunis diketuai USSR dan Barat pihak tentera Amerika  memanggilnya “Pusat Ujian Peluru Berpandu ICBM  Tyuratam.” (Tyuratam Missile Range)

Walaupun telah wujud pada tahun 1955, USSR tidak pernah mengakui kewujudan Baikonur Cosmodrome itu kerana selain menempatkan kemudahan angkasa lepasnya itu, ia turut menempatkan pusat ujian peluru-peluru berpandu ICBM (Inter Continental Ballistic Missile).

Ia adalah “kawasan hitam” bagi pihak tentera USSR, sama seperti “Area 51” untuk Amerika Syarikat. Malah sepanjang tempoh Perang Dingin, tiada peta yang dapat menunjukkan kedudukanya.

Pihak tentera Amerika Syarikat diketahui kerap menghantar pesawat pengintip altitude tinggi “U-2” untuk “skodeng” dan mencari kedudukan sebenar Baikonur Cosmodrome/Tyuratam Missile Range itu yang terletak di selatan Kazakhstan (ketika itu dibawah USSR),  di sebuah kawasan padang pasir dan tandus kira-kira 200km timur Laut Aral dan utara Sungai Arya.

Baikonur adalah kawasan yang rata dan memang sesuai untuk pelancaran roket dan aktiviti angkasa lepas.

Daripada Baikonur Cosmodrome, selain roket Soyuz melancarkan satelit-satelit sama ada untuk kegunaan tentera atau awam ke angkasa lepas, USSR turut melakukan ujian pelancaran peluru-peluru berpandu ICBM miliknya khusunya yang menggunakan liquid propellant. 

Tapak pelancaran roket “Soyuz” di Baikonur

 

Admin berteduh di bawah pokok sambil melihat tugu roket Soyuz di tengah-tengah kawasan perumahan di Baikonur. (gambar peribadi admin)

 

Ia bukan sahaja merupakan pusat ujian peluru berpandu ICBM, tetapi di Baikonur Cosmodrome itu juga dikatakan menempatkan puluhan atau ratusan silo-silo bawah tanah peluru berpandu ICBM yang sentiasa mensasarkan bandar-bandar utama di Eropah atau Amerika Syarikat.

Selepas kejatuhan USSR, Russia kini menyewa Baikonur Cosmodrome itu sehingga tahun 2050 daripada kerajaan Kazakhstan, dengan agensi angkasa lepas negara itu, Roscosmos State Corporation dan Russian Aerospace Force sebagai pengurus kawasan itu.

Untuk pergi ke Baikonur, admin terpaksa mengambil penerbangan daripada Kuala Lumpur ke Istanbul sebelum meneruskan perjalanan ke ibu kota Russia iaitu Moscow.

Admin dengan rakan “lepak” di Moscow sebelum memperolehi “security clearance”  pihak berkuasa Russia untuk menyambung perjalanan ke Baikonur. (gambar koleksi peribadi admin)

 

Selepas berehat beberapa hari di Moscow dan “jalan-jalan” di Pasar Chechen, selain menyelesaikan segala dokumentasi dengan pihak Roscosmos serta Kementerian Luar serta Kementerian Pertahanan Russia, barulah admin dibenarkan mengambil penerbangan menggunakan syarikat penerbangan tempatan ke Baikonur.

“Security clearance dah beres, esok kita fly,” menurut rakan admin.

Pesawat Tupolev membawa admin ke Baikonur mengambil masa selama lebih tiga jam untuk sampai ke destinasi.

Tiba di Lapangan Terbang Baikonur menaiki pesawat Tupolev (gambar peribadi admin)

 

Di tapak pelancaran roket Soyuz. (gambar peribadi admin)

 

Apa yang menariknya adalah, pesawat komersial itu diterbangkan oleh bekas juruterbang pesawat pejuang Sukhoi dan penumpang sememangya dapat merasakan perbezaannya apabila pesawat komersial diterbangkan oleh bekas juruterbang pesawat pejuang.

Cara juruterbang di membawa pesawat komersial itu memang agak “kasar”, sesuai dengan latihannya yang diterimanya sebelum ini.

Admin tiba di Lapangan Terbang Baikonur yang berkongsi dengan pangkalan udara tentera Russia/Kazakhs dalam keadaan cuaca yang panas tetapi tidak terik sebagaimana yang dijangkakan apabila berada di padang pasir dan kawasan tandus.

Tinggal di Hotel Sputnik sepanjang berada di Baikonur.

 

Dengan pekerja supermarket di Baikonur. (gambar peribadi admin)

 

Di Baikonur,keadaan siang hari adalah panas tetapi suhu pada waktu malam memang amat sejuk mengigil.

Lapangan Terbang Baikonur amat kecil kerana kebanyakannya ia hanya digunakan oleh kakitangan Roscosmos serta penduduk tempatan yang berkemampuan.

Daripada lapangan terbang itu, admin terpaksa menempuh perjalanan lebih dua jam menaiki van ke Hotel Sputnik yang merupakan satu-satunya hotel yang selesa untuk diduduki di Baikonur Cosmodrome.

Dalam kunjungan kedua ke Baikonur, cuaca turun sehingga 0 darjah Celsius. (koleksi peribadi admin)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

Roscosmos kini banyak menjalankan kerjasama dengan Agensi Angkasa Lepas Eropah (European Space Agency –ESA) dan Hotel Sputnik itu banyak diduduki oleh saintis dan pakar-pakar angkasa lepas Eropah yang terlibat dalam projek kerjasama dengan Russia.

Selain tinggal di Hotel Sputnik, admin juga dibenarkan untuk menginap di hotel/rumah persinggahan yang sebelum ini hanya dikhaskan kepada angkasawan-angkasawan USSR/Russia yang akan berlepas ke angkasa lepas.

Yuri Gagarin yang tugunya berada di mana-mana penjuru di Baikonur itu pun dikatakan menginap di hotel/rumah persinggahan itu sebelum beliau dan kapsulnya dipanggil “Vostok 1” menjadi manusia pertama pergi ke angkasa lepas pada April 1961.

Yuri Gagarin

 

Peluru berpandu pertahanan udara “SA-2” menjaga ruang udara Baikonur daripada sebarang kerja-kerja pengintipan pesawat Amerika Syarikat ketika Perang Dingin. (gambar peribadi admin)

 

Hero USSR itu telah menewaskan Amerika Syarikat dalam perlumbaan angkasa lepas dengan seteru mereka.

Selama “bertugas” di Baikonur itu, admin berpeluang melihat pelancaran peluru berpandu ICBM SS-18 “Satan” yang telah diubahsuai untuk membawa satelit pengintip milik tentera Russia.

Peluru berpandu SS-18 ini adalah silo-based peluru berpandu ICBM (heavy ICBM) yang dilengkapkan dengan beberapa kepala peledak nuklear.

Tugu Yuri Gagarin berada di setiap penjuru Baikonur Cosmodrome. (gambar peribadi admin)

 

Dibangunkan ketika kemuncak Perang Dingin antara USSR dan Barat, ia sepatutnya digunakan untuk membedil sasaran sejauh diantara 10,000km hingga 11,000km. (nasib baik ia tidak pernah digunakan, kalau tidak ….)

Ia adalah pengalaman yang unik melihat pelancaran peluru berpandu ICBM (telah diubahsuai).

Bunyi roket yang dijana “liquid propellant” peluru berpandu ICBM itu ketika ia meluncur laju ke angkasa lepas itu adalah amat menggerunkan, dengan kita sendiri dapat merasakan tanah di sekeliling kita bergegar akibat bunyinya dan vibration yang kuat itu.

Bersama anggota tentera Russia (Russian Space Force) di atas silo peluru berpandu ICBM “SS-18 Satan”. (gambar peribadi admin)

 

Hanya apabila roket itu sudah berada di altitude yang lebih tinggi, “gegaran” itu semakin berkurangan dan lama-kelamaaan ia hilang. Pengalaman yang tidak mungkin akan dilupakan.

Selama di Baikonur, admin juga dapat menyaksikan beberapa pelancaran roket Soyuz, untuk manned-mission dan satelit-satelit.

Oklah,dah agak panjang coretan admin hari ini. Nanti kita sambung lagi. — DSA

Pintu silo peluru berpandu ICBM “SS-18 Satan” terbuka selepas pelancaran. (gambar peribadi admin)
Baikonur CosmodromefeaturedRoketTyuratamUSSR
Comments (0)
Add Comment