(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dikala usaha untuk menjual pesawat pejuang F-16 dan F-35 kepada India sedang diperhebatkan, sebuah badan pemikir Russia memberi amaran bahawa sistem avionik pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat itu mempunyai beberapa “kelemahan” ketara yang bakal memerangkap negara-negara yang membelinya.
Badan pemikir yang berpangkalan di Moscow itu, The Centre for Analysis of World Arms Trade (CAWAT) memberi amaran bahawa sistem avionik pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat terbabit berkemungkinan telah dipasang dengan alatan dipanggil “backdoors.”
Pengarah CAWAT Igor Korotchenko berkata alatan dipanggil “backdoors” ini berkemampuan mematikan beberapa fungsi penting sistem avionik pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat daripada jauh ketika ia sedang melaksanakan operasi.
Menurut beliau, alatan dipanggil “backdoors” akan digunakan oleh negara pengeluar pesawat pejuang itu untuk mematikan beberapa fungsi avionik pesawat pejuang itu terutamanya apabila melaksanakan misi dalam senario yang bertentangan dengan kepentingan negara pengeluar pesawat itu.
Walaupun amaran oleh CAWAT itu bersifat spekulatif, tetapi kemungkinan tentang alatan “backdoor” atau “kill switches” itu dipasang dalam sistem avionik pesawat pejuang itu oleh negara pengeluar pesawat dan boleh dikawal daripada jauh bukanlah sesuatu yang tidak pernah didengar sebelum ini.
Walaupun kewujudan “backdoors” dan “kill switches” itu dinafikan oleh syarikat-syarikat pertahanan Amerika Syarikat, tetapi ia tidak pernah meredakan spekulasi dan kebimbangan negara-negara pembelian alatan pertahanan buatan Amerika Syarikat termasuk pesawat pejuang itu.
RINGKASAN:
Badan pemikir Rusia, The Centre for Analysis of World Arms Trade (CAWAT), memberi amaran bahawa pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat seperti F-35 mungkin dilengkapi “backdoors” atau “kill switches” yang berpotensi melumpuhkan fungsi pesawat dari jarak jauh dalam situasi bertentangan dengan kepentingan AS. Walaupun dakwaan ini bersifat spekulatif, ia menimbulkan kebimbangan pembeli antarabangsa termasuk India.
India kini menghadapi cabaran untuk meningkatkan keupayaan udaranya setelah Pakistan memperoleh pesawat generasi kelima J-35A dari China. Rusia telah menawarkan pesawat Su-57 kepada India, yang dilengkapi ciri-ciri canggih seperti teknologi halimunan, keupayaan kruis supersonik, dan sistem radar aktif. Pesawat ini dilihat mampu memenuhi keperluan strategik India.
Selain itu, Rusia bersedia memindahkan teknologi pengeluaran Su-57 kepada India, membolehkan negara itu menghasilkan pesawat secara domestik di bawah program “Make in India”. India juga sedang berbincang untuk membangunkan versi Su-57 dua tempat duduk, berbeza daripada platform asal satu tempat duduk.
CAWAT menegaskan bahawa India perlu membangunkan pesawat generasi kelima untuk bersaing dengan kuasa serantau, tetapi pada masa ini tidak mampu melakukannya secara berdikari. Oleh itu, New Delhi dihadapkan dengan dua pilihan: membeli Su-57 dari Rusia atau F-35 dari Amerika Syarikat, dengan Su-57 dilihat sebagai pilihan lebih sesuai dari segi keupayaan dan risiko teknologi.