(DEFENCE SECURITY ASIA) – Australia menjadi negara ketiga di dunia selepas Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk memiliki peluru berpandu Tomahawk dan melancarkannya, sekaligus mencatat detik bersejarah bagi tentera laut negara itu.
HMAS Brisbane, sebuah kapal destroyer kelas-Hobart milik Tentera Laut Diraja Australia telah berjaya melancarkan peluru berpandu Tomahawk dalam satu aktiviti ujian dan penilaian yang dijalankan di luar pantai barat Amerika Syarikat baru-baru ini.
“Tentera Laut Diraja Australia telah mencapai satu pencapaian penting dalam merealisasikan armada kapal perang permukaan yang lebih maju dan berkeupayaan tinggi,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Australia.
Dengan jarak operasi sehingga 2,500km, peluru berpandu Tomahawk memberikan Angkatan Tentera Australia keupayaan untuk melaksanakan serangan tepat jarak jauh terhadap sasaran di darat.
Perolehan peluru berpandu Tomahawk itu telah meningkatkan keupayaan Angkatan Tentera Australia untuk menghalang sebarang ancaman yang berpotensi dan memastikan keselamatan rakyat negara itu.
Ujian pelancaran dan penilaian peluru berpandu Tomahawk juga adalah selari dengan keputusan kerajaan Australia untuk membelanjakan US$7 billion (RM31 billion) untuk meningkatkan pemilikan kapal perang utama (major surface combatant) kepada 26 buah daripada 11 buah pada ketika ini.
RINGKASAN:
Australia mencatat sejarah sebagai negara ketiga selepas Amerika Syarikat dan United Kingdom yang memiliki dan melancarkan peluru berpandu Tomahawk, dengan kejayaan ujian pelancaran oleh kapal pemusnah kelas Hobart, HMAS Brisbane, di luar pantai barat Amerika Syarikat.
Peluru berpandu Tomahawk, yang mampu menyerang sasaran darat sejauh 2,500km, meningkatkan keupayaan Angkatan Tentera Australia dalam menangkis ancaman dan melindungi keselamatan negara. Ujian ini menyusul pelancaran peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dan Standard Missile 6 (SM6) awal tahun ini.
Australia merancang memperoleh lebih 200 peluru berpandu Tomahawk untuk digunakan pada kapal pemusnah kelas Hobart, kapal selam kelas Virginia, dan mungkin kapal frigat kelas Hunter. Di bawah kerjasama AUKUS, Australia juga akan menerima kapal selam kelas Virginia dari Amerika Syarikat sebelum membina kapal selam kelas AUKUS pada 2040-an.
Langkah ini diambil ketika kuasa besar seperti China memperkuat keupayaan pertahanan mereka di rantau Asia-Pasifik.
Ujian pelancaran peluru berpandu Tomahawk oleh kapal perang Tentera Laut Diraja Australia itu dilaksanakan selepas sebuah lagi kapal perangnya melaksanakan ujian pelancaran peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dan peluru berpandu Standard Missile 6 (SM6) yang dilakukan awal tahun ini.
Australia akan memperoleh lebih daripada 200 peluru berpandu Tomahawk, untuk digunakan pada kapal destroyer kelas-Hobart dan platform masa depan Tentera Laut negara itu, termasuk kapal selam terpakai kelas-Virginia yang bakal diperolehinya daripada Amerika Syarikat di bawah kerjasama tentera AUKUS.
Terdapat juga kemungkinan bahawa Australia akan melengkapkan peluru berpandu Tomahawk pada kapal-kapal friget kelas-Hunter, bergantung kepada kesesuaiannya.
Usaha peningkatan kuasa tembak Tentera Laut Diraja Australia itu dilaksanakan ketika China dan kuasa besar di Asia-Pasifik terus meningkatkan keupayaan pertahanan mereka mereka.
Dibawah kerjasama ketenteraan AUKUS (Australia, United Kingdom, US), Amerika Syarikat akan menjual kepada Australia tiga buah kapal selam berkuasa nuklear kelas-Virginia (SSN-774) dan pilihan dua buah kapal selam kelas yang sama, sekiranya mendapat kelulusan daripada kongres negara itu.
Australia akan mengoperasikan kapal-kapal selam berkuasa nuklear kelas-Virginia itu terlebih dahulu sebelum ia dan Britain membina kapal selam kelas-AUKUS menggunakan teknologi nuklear Amerika Syarikat pada awal 2040-an.
Walaupun berkuasa nuklear, tetapi kapal-kapal selam kelas-Virginia yang bakal dimiliki oleh Tentera Laut Diraja Australia itu akan hanya dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu kruis jarak jauh, berkemungkinan Tomahawk. — DSA