Turkiye Ganti Peluru Berpandu “Harpoon” Dengan “Atmaca” Di 11 Buah Kapal Perangnya

Jika Malaysia benar-benar memilih kapal-kapal kelas-Ada untuk program LMS Batch II, adakah TLDM bakal menjadi tentera laut pertama di Asia Tenggara yang menggunakan peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” buatan Turkiye itu?

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye akan menggantikan sistem peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” buatan Amerika Syarikat yang kini digunakan oleh 11 buah kapal perangnya dengan peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” dibangunkan oleh industri pertahanan tempatan.

Tindakan negara Mediterranean itu adalah langkah terkini dalam usahanya untuk berdikari dalam pembuatan sistem dan komponen pertahanan.

Kementerian Pertahanan Turkiye telah menandatangani perjanjian dengan syarikat ROKETSAN, yang membangunkan peluru berpandu anti-kapal itu dan syarikat STM yang membangunkan 11 buah kapal perang negara itu yang akan dilengkapi dengan “Atmaca”.

Peluru berpandu anti-kapal buatan tempatan “Atmaca” itu akan menggantikan 350 buah peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” yang sudah berusia, dengan kerja-kerja integrasi peluru berpandu anti-kapal tempatan dijangka selesai dilaksanakan pada 2027, menurut STM.

Turkiye dijangka dalam menjimatkan kira-kira US$500 juta (RM2.25 bilion) dengan menggantikan peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” dengan peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” buatan tempatan.

Kos peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” itu dikatakan hanya separuh berbanding peluru berpandu anti-kapal “Atmaca.”

Antara kapal-kapal perang Tentera Laut Turkiye yang akan dilengkapkan dengan peluru berpandu “Atmaca” itu adalah kapal friget kelas-I, kapal Meko 200TN kelas-Barbaros dan kapal korvet kelas-Ada.

Kapal korvet kelas-Ada digembar-gemburkan sebagai kapal perang yang ditawarkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk program perolehan lapan buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II.

Jika Malaysia benar-benar memilih kapal-kapal kelas-Ada untuk program LMS Batch II, adakah TLDM bakal menjadi tentera laut pertama di Asia Tenggara yang menggunakan peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” buatan Turkiye itu?

Kementerian Pertahanan dijangka mengumumkan perolehan kapal-kapal LMS Batch II itu pada tahun ini.

Menurut ROKETSAN yang membangunkan peluru berpandu “Atmaca” itu, peluru berpandu anti-kapal itu mampu beroperasi secara autonomous, radar cross-section (RCS) yang rendah, boleh beroperasi dalam semua keadaan cuaca dan berkemampuan berhadapan dengan pelbagai sistem countermeasures.

Syarikat itu juga mendakwa ia berkemampuan merangka pelan misi secara 3D, selain target update  dan mission-abort menerusi datalink.

Peluru berpandu “Atmaca” yang memiliki panjang di antara 4.3 meter hingga 5.2 meter dan berat 750 kg, dengan kemampuan untuk membedil sasaran sejauh 220km.

Untuk panduan, sistem peluru berpandu anti-kapal Turkiye itu menggunakan panduan Inertial Navigation System (INS) dan Global Positioning System (GPS).

Peluru berpandu Harpoon.

 

Peluru berpandu “Atmaca” itu menggabungkan ciri-ciri peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” dan juga “Exocet.”

Syarikat ROKETSAN turut membangunkan peluru berpandu anti-kapal “Kara Atmaca” yang dilancarkan bagi membedil sasaran di laut menggunakan platform lancaran di darat.

“ATMACA” telah dibangunkan oleh syarikat ROKETSAN sejak 10 tahun lalu tetapi hanya didedahkan kepada awam pada 2019. 

Pada tahun 2019 selepas hampir 10 tahun dibangunkan, peluru berpandu “Atmaca” yang dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan Turki telah dilengkapkan pada sebuah kapal korvet Tentera Laut Turki, TCG Kinaliada yang direkabentuk oleh syarikat STM.

Setahun selepas itu pada 2020, peluru berpandu tempatan berjaya dilancarkan buat pertama kali,menyusuli pentauliahannya di dalam Tentera Laut Turki tidak lama selepas itu.  — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

ATMACAfeaturedPeluru berpanduRoketsanSTMTurkiye