Permohonan 1.5 Peratus ATM Tidak “Di Layan”. Aset Bakal Terus Usang???

Jika dianggarkan nilai KDNK negara pada tahun ini adalah disekitar RM1.6 trillion, maka peruntukan 1.5 peratus untuk sektor pertahanan daripada KDNK negara pada tahun depan sebagaimana dipohon oleh pemimpin-pemimpin ATM sepatutnya adalah disekitar RM24 bilion.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Belanjawan 2023 telah pun dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada Jumaat lepas dan kita semua sudah mengetahui jumlah peruntukan yang diterima oleh sektor pertahanan pada tahun depan.

Ya, Kementerian Pertahanan bakal menerima sejumlah RM17.4 bilion untuk dibelanjakan pada tahun depan.

Walaupun peruntukan yang diterima oleh Kementerian Pertahanan pada 2023 itu merupakan peningkatan sebanyak 7.8 peratus berbanding apa yang diterimanya untuk tahun ini, namun ia bukanlah sebagaimana yang diharapkan oleh pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

(TLDM)

 

Beberapa minggu sebelum pembentangan Belanjawan 2023 oleh Menteri Kewangan Jumaat lepas, pimpinan ATM terutamanya Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia serta Panglima Armada Timur serta Panglima Armada Barat telah menyatakan dengan jelas “apa yang diharapkan oleh mereka daripada kerajaan.”

Apa yang dimahukan oleh pemimpin-pemimpin ATM?

Pemimpin tertinggi ATM jelas mahukan kerajaan meningkatkan peruntukan pertahanan kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi menangani masalah keusangan aset-aset yang dimiliki oleh ketiga-tiga cabang angkatan tentera negara.

Ketiga-tiga cabang angkatan tentera negara — darat, udara dan laut sedang berhadapan dengan masalah aset-aset usang yang amat serius.

 Pada April lepas, Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Sany sendiri menyatakan bahawa kira-kira 61 peratus atau lebih daripada separuh aset-aset yang dimilikinya pada ketika ini beroperasi melebihi had umur asal rekabentuknya dan telah usang.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

 

Panglima Markas Pemerintahan Armada Timur Laksamana Madya Datuk Sabri Zali pula berkata TLDM diperakui kekurangan kemampuan, kekuatan dan aset-aset untuk menangani konflik maritim.

Ini disebabkan ada di antara kapal-kapalnya “sudah berusia” 40 tahun dan sudah di dalam keadaan yang usang.

PAT Jeneral Tan Sri Affendi Buang pula berkata peruntukan 1.5 peratus daripada KDNK negara itu munasabah untuk negara membuat persediaan berdepan sebarang ancaman, selain menambah baik prasarana persenjataan, khususnya industri pertahanan tempatan pada masa akan datang.

“Kalau kita lihat geostrategik pada masa kini, banyak perkara yang tidak menentu. Kita perlu menambah baik dengan meninggikan tahap kesiapsiagaan kita dan keupayaan kita, contohnya seperti di Laut China Selatan.

“Laut China Selatan, kalau kita lihat daripada data, kita ada KDNK dalam 30 peratus yang datangnya dari situ. Kalau kita tidak dapat menentukan kestabilan dan mempertahankan kawasan itu, kesannya kepentingan negara akan tergugat.

“Adalah penting untuk kita ada keupayaan mencukupi supaya kawasan yang patut kita lindungi dapat diberi perlindungan dan dipertahan sebaik mungkin,” katanya dalam wawancara khas bersama media sempena Sambutan Hari ATM ke-89 baru-baru ini.

Kapal APMM “shadow” sebuah kapal pengawal pantai China di Beting Patinggi Ali. (sumber internet)

 

Jika dianggarkan nilai KDNK negara pada tahun ini adalah disekitar RM1.6 trillion, maka peruntukan 1.5 peratus untuk sektor pertahanan daripada KDNK negara pada tahun depan sebagaimana dipohon oleh pemimpin-pemimpin ATM sepatutnya adalah disekitar RM24 bilion.

Bagaimanapun sebagaimana diumumkan oleh Menteri Kewangan Jumaat lepas, sektor pertahanan hanya memperolehi peruntukan sebanyak RM17.4 bilion pada tahun depan atau sekitar 1.1 peratus daripada KDNK negara pada tahun ini.

Sebagaimana dinyatakan oleh portal tradingeconomics.com dan dicerap daripada data Bank Dunia, nilai KDNK Malaysia pada tahun 2021 adalah di sekitar USD$372 bilion atau RM1.48 bilion.

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Apa yang pasti, kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lepas enggan “melayan” permohonan ATM supaya peruntukan pertahanan negara ditetapkan pada kadar 1.5 peratus daripada nilai KDNK negara.

Dengan penolakan terhadap permohonan ATM untuk meningkatkan peruntukan untuk sektor pertahanan, apa akan jadi kepada usaha-usaha untuk menangani masalah keusangan aset-aset ATM yang semakin serius?

Adakah ATM akan terus kekal sebagai sebuah angkatan tentera yang “usang” pada tahun-tahun yang akan mendatang? — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore
AsetATMbelanjawanfeaturedUsang
Comments (0)
Add Comment