Angkatan Tentera Malaysia Jadi Pengguna Terbaru Sistem UAS “FlyEye” Buatan Poland

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh syarikat itu pada 12 Disember lalu, kumpulan pertama sistem UAS “FlyEye” itu telah pun dihantar ke Malaysia untuk kegunaan angkatan tenteranya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah syarikat pembuat dron daripada Poland, WB Group mengumumkan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah pengguna terbaru bagi sistem Unmanned Aerial System (UAS) “FlyEye” keluaran syarikat itu yang turut digunakan oleh beberapa negara lain di seluruh dunia.
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh syarikat itu pada 12 Disember lalu, kumpulan pertama sistem UAS “FlyEye” itu telah pun dihantar ke Malaysia untuk kegunaan angkatan tenteranya.
Anggota tentera Malaysia telah menerima latihan untuk mengendalikan sistem UAS “FlyEye” di kemudahan syarikat WB Group di Silesia, Poland.
Kenyataan akhbar syarikat WB Group itu tidak menyatakan jumlah sistem UAS “FlyEye” yang diperolehi oleh ATM serta nilai perolehan oleh Malaysia.
Walauapapun Malaysia menjadi negara terbaru yang menggunakan sistem UAS “FlyEye” termasuk negara asalnya, Poland.
Sistem UAS “FlyEye” telah diuji dalam situasi paling mencabar berkaitan dengan konflik berskala besar di antara Russia dan Ukraine.
Pada 2023, syarikat itu mengumumkan bahawa Angkatan Tentera Poland telah membuat perolehan sebanyak 1,700 unit sistem UAS “FlyEye”, manakala Angkatan Tentera Korea Selatan pula memperolehi sistem dron berani mati “Warmate” yang turut dihasilkan oleh syarikat itu.
Sistem UAS “FlyEye” mula diperkenalkan kepada umum pada tahun 2010 oleh WB Electronics, yang merupakan sebahagian daripada syarikat WB Group.

Pelanggan pertama sistem UAS “FlyEye” adalah Angkatan Tentera Poland, pasukan pertahanan wilayah dan pasukan pengawal sempadan.
Sejak tahun 2015, tentera Ukraine juga telah menggunakan sistem UAS “FlyEye” dalam jumlah yang semakin meningkat.
Selain menjalankan misi peninjauan dan pemerhatian sasaran untuk sistem artileri, “FlyEye” yang mempunyai panjang sayap 3.6 meter turut digunakan bersama Bayraktar TB2 UCAV dan dron berani mati “Waremate”, yang turut dibangunkan serta dihasilkan oleh syarikat WB Group.
Pihak Ukraine berulang kali mengesahkan bahawa sistem UAS “FlyEye” itu adalah sangat tahan terhadap tindakan “jamming” oleh pihak musuh.
Menurut syarikat WB Group yang mengeluarkan sistem UAS itu, “FlyEye”  dengan berat berlepas (Maximum Take Off Weight) sebanyak  9.9 kg boleh dilancarkan secara manual selepas tempoh persediaan selama sepuluh minit.

Masa penerbangan maksimum melebihi 150 minit, dengan syarikat pengeluar daripada Poland itu menyatakan bahawa jarak penerbangan maksimum adalah lebih 150 km pada kelajuan kruis 60 km/j, dengan sambungan telemetri yang selamat mampu mencapai sehingga 180 km.
Sistem UAS “FlyEye” adalah sistem yang direka untuk menjalankan misi-misi peninjauan udara menggunakan komponen opto-elektronik yang dilengkapi dengan kamera bagi membolehkan rakan imej pada waktu siang dan malam menggunakan teknologi thermal imaging.
Sistem UAS “FlyEye” itu menggunakan motor elektrik senyap yang dijana oleh bateri litium-polimer, sekali gus meningkatkan ciri halimunannya yang penting dalam menjalankan misi-misi Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR). — DSA

featuredFlyEyeMalaysiaPoland
Comments (0)
Add Comment