Anggota TUDM Di Amerika Syarikat Hadiri Kursus Operasi Radar

Kursus Orientasi Operasi Radar itu adalah latihan utama yang pertama untuk menyokong program National  Defense Authorization Act Section 333 tajaan Pacific Air Forces (PACAF) dimana TUDM diberikan ‘Long Range Air Domain Awareness Radar’ menerusi peruntukan oleh kerajaan Amerika Syarikat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua belas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berada di Amerika Syarikat baru-baru ini untuk menghadiri Kursus Orientasi Operasi Radar (Radar Operations Orientation Course) oleh Western Air Defense Sector, Tentera Udara Amerika Syarikat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh oleh nationalguard.mil – kursus itu berlangsung daripada 2 hingga 27 Ogos.

“Kursus Orientasi Operasi Radar itu adalah latihan utama yang pertama untuk menyokong program National  Defense Authorization Act Section 333 tajaan Pacific Air Forces (PACAF) dimana TUDM diberikan ‘Long Range Air Domain Awareness Radar’ menerusi peruntukan oleh kerajaan Amerika Syarikat,” menurut Komander Tentera Laut Amerika Syarikat David Hurn.

Hurn merupakan pegawai perhubungan Tentera Laut dan koodinator bagi State Partnership Program (SPP) untuk Western Air Defense Sector.

Washington National Guard dan Malaysia telah menjalin kerjasama dalam program SPP sejak 2017.

(gambar kredit Major Kimberly Burke, WADS)

 

“Kursus ini adalah untuk membantu TUDM melakukan persediaan menerima radar jarak jauh terbabit pada pertengahan hingga akhir tahun 2023,” kata Hurn.

Program yang menyaksikan TUDM menerima radar jarak jauh daripada Amerika Syarikat itu bernilai US$42 juta (RM172 juta) dan turut meliputi aspek latihan anggota.

Tenaga pengajar bagi kursus yang dihadiri oleh 12 anggota TUDM itu adalah pakar-pakar teknikal Tentera Udara Amerika Syarikat dan komponen Air National Guards terdiri daripada 334th Training Readiness Squadron, Keesler Air Force Base, Mississippi; 611th Air Support Squadron, Joint Base Elmendorf-Richardson, Alaska; dan 116th Air Control Squadron, Oregon ANG; dan WADS.

Kursus itu menyaksikan tenaga pengajar teknikal daripada 334th TRS mengajar tentang penyelenggaran radar.

(gambar kredit Major Kimberly Burke, WADS)

 

“334th TRS amat penting untuk kejayaan kursus terbabit kerana mereka memiliki kepakaran terhadap latihan spesifik ini,” kata Hurn.

Pada minggu terakhir kursus itu, 611th ACS mengajar tentang penyelenggaran radar TPS-75 di Camp Rilea, Oregon.

Pada Jun tahun lepas, Kerajaan Amerika Syarikat dilaporkan akan memberikan radar-radar jarak jauh kepada Malaysia dan Indonesia.

Kontrak itu telah pun diumumkan dalam notis kerajaan Amerika Syarikat, namun ia tidak menjelaskan radar jenis apa atau bilangan radar masing-masing akan diperolehi oleh Malaysia dan Indonesia.

Namun, ia berkemungkinan radar jarak jauh daripada jenis TPS-77 atau TPS-78 yang boleh mengesan pesawat udara daripada jarak kira-kira 444km jauhnya.

Kementerian Pertahanan pada bulan Jun lepas dilaporkan telah mengeluarkan tender bagi perolehan sebuah sistem radar jarak jauh 3D untuk Tentera Udara Diraja Malaysia.

Radar TPS-77

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Amerika SyarikatRadarTUDM
Comments (0)
Add Comment