(VIDEO) Anggota Tentera Russia Bakal Terima US$100,000 Selepas Tawan Kereta Kebal M1A1 Abrams

(VIDEO) Dalam satu video yang tersebar meluas di media-media sosial di Russia beberapa hari lepas menunjukkan kenderaan penunda tentera Russia dilihat menunda kereta kebal kebanggaan Amerika Syarikat itu yang tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ia mengalami kerosakan.
(VIDEO) Anggota Tentera Russia Bakal Terima US$100,000 Selepas Tawan Kereta Kebal M1A1 Abrams
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Anggota-anggota tentera Russia di wilayah Kursk berpotensi menerima hadiah wang tunai berjumlah US$100,000 selepas mereka berjaya menawan sebuah kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat dalam keadaan amat baik dan tidak mengalami sebarang kerosakan.
Dalam satu video yang tersebar meluas di media-media sosial di Russia beberapa hari lepas menunjukkan kenderaan penunda tentera Russia dilihat menunda kereta kebal kebanggaan Amerika Syarikat itu yang tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ia mengalami kerosakan.
Laporan daripada medan perang yang tidak dapat disahkan menyatakan bahawa krew kereta kebal tentera Ukraine itu menyerah diri dan menyerahkan kereta kebal Amerika Syarikat itu kepada anggota tentera Russia.
Insiden penawanan sebuah lagi kereta kebal Abrams buatan Amerika Syarikat ini menandakan satu lagi episod dalam kisah pertempuran melibatkan kereta kebal kebanggaan negara ini dan industri ketenteraannya.
Sepanjang tahun lalu, beberapa insiden telah dilaporkan di mana aset ketenteraan buatan Amerika Syarikat itu berjaya ditawan atau dimusnahkan.
Pada Disember tahun lepas, Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat Jake Sullivan dilaporkan membuat pengakuan terbuka bahawa kereta kebal Abrams yang dibekalkan oleh negara itu kepada Ukraine tidak memberikan apa-apa kesan yang diharapkan di medan peperangan.
Orang kanan Presiden Amerika Syarikat Jo Biden itu berkata bahawa penilaiannya tentang prestasi “mengecewakan” kereta kebal Abrams di Ukraine adalah selari dengan kesimpulan yang dibuat oleh tentera Amerika Syarikat.

“Mengenai kereta kebal Abrams, kami telah menghantar kereta kebal Abrams ke Ukraine. Namun, unit-unit kereta kebal Abrams itu sebenarnya kurang berkesan (di medan peperangan) kerana ia bukan peralatan yang paling berguna untuk mereka (tentera Ukraine) dalam peperangan ini,” kata Sullivan.
Kereta kebal buatan Amerika itu terbukti mempunyai kegunaan yang terhad dalam situasi peperangan dengan anggota Russia apabila banyak daripada kereta kebal yang dibekalkan oleh Washington itu dimusnahkan oleh anggota tentera Russia.
Sebahagian daripada kereta kebal Abrams berjaya ditawan oleh tentera Russia dan dihantar ke Moscow untuk dipamerkan sebagai trofi perang (war trophy) daripada Ukraine.
Sebelum ini pegawai-pegawai tentera Ukraine melaporkan bahawa kereta kebal Abrams yang dihantar ke Ukraine tidak dilengkapi dengan perisai Depleted Uranium dan sistem kombat serta komunikasi yang moden.
Pegawai Ukraine melaporkan bahawa kereta kebal ini dihantar tanpa perisai Depleted Uranium dan sistem moden, menjadikannya lebih mudah terdedah kepada serangan, terutamanya dari dron dan peluru berpandu anti-kereta kebal.
Serangan dari atas, seperti yang sering digunakan oleh Russia, didapati menjadi kelemahan utama kereta kebal Abrams.
M1A1 Abrams
M1A1 Abrams
Laporan menyebut bahawa 20 daripada 31 kereta kebal Abrams telah dimusnahkan dalam masa enam bulan pertama selepas digunakan.
Akibatnya, Ukraine, atas desakan Washington, telah menarik balik kereta kebal ini dari medan pertempuran sementara taktik baru dirancang bersama Amerika Syarikat.
Kereta kebal Abrams, walaupun terkenal dengan keupayaan bertahan terhadap tembakan langsung, didapati tidak sesuai untuk menghadapi realiti peperangan moden di Ukraine, di mana ancaman serangan udara dan dron sangat dominan. 
Terdapat dakwaan menyatakan bahawa sebahagian daripada kereta kebal Abrams yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine itu itu dilaporkan tidak boleh berfungsi semasa penghantaran dan memerlukan pembaikan dan penyelenggaraan oleh pasukan penyelenggaraan di Kiev sebelum ia boleh dikerahkan ke medan peperangan.
Pada Januari 2023, Presiden Joe Biden mengumumkan bahawa Amerika Syarikat akan menghantar 31 buah kereta kebal Abrams ke Ukraine untuk membantu membentuk sebuah batalion kereta kebal.
Kumpulan pertama kereta kebal Abrams tiba di Ukraine beberapa bulan lebih awal daripada jadual, dengan tujuan digunakan dalam serangan balas musim panas Ukraine terhadap tentera Rusia, menurut laporan New York Times.
M1A1 Abrams
M1A1 Abrams
Seorang pegawai kanan tentera Amerika Syarikat mengakui bahawa kereta kebal M1A1 Abrams kebanggaan negara itu tidak bersedia untuk berhadapan dengan realiti peperangan pada konflik antara Russia dan Ukraine.
Menurut Pengarah Kenderaan Kombat Masa Hadapan Tentera Amerika Syarikat Brigadier Jeneral Geoffrey Norman, kereta kebal Abrams terpaksa menimba pengalaman buruk ketika beroperasi di Ukraine.
“Kereta kebal Abrams adalah amat baik (daripada segi pertahanan) apabila berhadapan dengan tembakan langsung daripada kereta kebal lain dan kenderaan armor yang lain.”
“Bagaimanapun kereta kebal Abrams tidak direka untuk bertahan daripada serangan daripada atas atau dipanggil ‘top attack’  sebagaimana yang kita lihat di Ukraine, sama ada daripada peluru berpandu anti-kereta kebal yang menjunam untuk membedil bahagian atasnya atau daripada dron-dron sama ada FPV (First Person View) atau dron berani mati ,” kata beliau.
Pada Ogos 2024, laporan pemerhati pertahanan Russia mendakwa sebanyak 20 daripada 31 buah kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat yang dibekalkan kepada Ukraine, telah pun musnah dibedil Russia.
Penganalisis ketenteraan Russia mendakwa 20 buah kereta kebal M1A1 Russia yang musnah itu berlaku di dalam tempoh enam bulan, tidak lama selepas kereta kebal Amerika Syarikat itu mula dikerahkan ke medan peperangan.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

HadiahKurskM1A1 AbramsRussia
Comments (0)
Add Comment