Amerika “Senyap-Senyap” Tempatkan Pesawat Pengebom B-52, F-22 di Utara Australia

Amerika Syarikat dilaporkan secara “senyap-senyap” sedang membangunkan infrastruktur ketenteraan di utara Australia, bukan sahaja untuk menempatkan anggota tenteranya tetapi juga pesawat-pesawat pengebom B-52 dan juga pesawat pejuang F-22 “Raptor.”

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat dilaporkan secara “senyap-senyap” sedang membangunkan infrastruktur ketenteraan di utara Australia, bukan sahaja untuk menempatkan anggota tenteranya tetapi juga pesawat-pesawat pengebom B-52 dan juga pesawat pejuang F-22 “Raptor.”

Kesemua usaha itu yang dilakukan dengan kebenaran kerajaan Australia itu adalah untuk berhadapan dengan isu Laut China Selatan dan sikap agresif Beijing dalam mendakwa hampir keseluruhan perairan itu sebagai miliknya.

Kawasan utara Australia yang sedang dibangunkan oleh Amerika Syarikat sebagai “pangkalan tentera” barunya  untuk menempatkan pesawat pengebom dan pesawat pejuang generasi kelima itu adalah Darwin dan Tindal. 

Pangkalan tentera Amerika Syarikat di Darwin dan Tindal itu juga akan menempatkan pesawat-pesawat pengisi minyak (transport tanker) dan pelbagai pesawat sokongan lain.

“Apabila anda melihat kepada kedudukan utara Australia dan Darwin dengan rantau ini, ia adalah sentiasa baik untuk mempunyai pelbagai opsyen untuk meletakkan anggota dan aset tentera anda apabila terdapatnya krisis,” menurut Kolonel Brian Mulvihill yang merupakan pegawai memerintah kepada U.S Marine Rotational Force kepada agensi berita Reuters.

Dokumen-dokumen tender yang dilihat oleh agensi berita itu menunjukkan pembinaan secara besar-besaran telah bermula termasuk untuk menaiktaraf landasan, gudang dan hangar serta pusat-pusat simpanan minyak.

Pesawat pengebom B-52 di Pengkalan Udara Andersen, Guam. (PACAF)

 

Projek itu akan menjadikan utara Australia sebagai lokasi utama projek-projek pembinaan bagi Tentera Udara dan Tentera Laut Amerika Syarikat, dengan lebih daripada US$300 juta bakal dibelanjakan untuk pembinaan kemudahan tentera negara itu di utara Australia.

Selain di utara Australia, Tentera Laut Amerika Syarikat juga bakal membelanjakan US$2 billion untuk membina jeti, landasan kapal terbang, pusat simpanan minyak dan hangar di Pulau Cocos milik Australia, Papua New Guinea dan Timor Leste, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani China.

Menurut seorang pegawai kanan Tentera Udara Australia Air Commodore Ron Tilley mengesahkan bahawa Washington mengeluarkan perbelanjaan untuk membina kemudahan-kemudahan tenteranya di Darwin dan Tindal, bertujuan menyokong operasi ketenteraan Amerika Syarikat.

“Saya tidak percaya jika Amerika Syarikat membelanjakan wang yang banyak di pangkalan-pangkalan tentera kita di utara Australia jika tidak ada perjanjian atau persefahaman bagi membolehkan mereka menggunakannya ketika di dalam krisis,” kata beliau.

Australia semakin mendekatkan dirinya dengan sekutu utamanya, Amerika Syarikat di bawah kerjasama pertahanan dinamakan AUKUS (Australia, United Kingdom, United States) termasuk pemindahan teknologi pembinaan kapal selam berkuasa nuklear kepada Canberra.

Bagaimanapun Australia tidak pernah berkata “apa-apa” tentang tindakan “senyap-senyap” Amerika Syarikat menaiktaraf pangkalan-pangkalan tenteranya di utara negara itu seperti di Darwin dan Tindal untuk menyokong operasi pesawat-pesawat pengebom, B-52 “Stratofortress” dan juga pesawat pejuang halimunan F-22 “Raptor.” 

B-52 “Stratofortress”

 

Amerika Syarikat dipercayai akan menempatkan sehingga enam buah pesawat pengebom B-52 “Stratofortress” di sebuah pangkalan udara di utara Australia, suatu tindakan yang Pentagon sifatkan sebagai mesej yang jelas yang ditujukan kepada “negara tertentu” di rantau.

Tindakan Amerika dan Australia berkenaan penempatan pesawat pengebom jarak jauh itu telah mengundang kritikan keras daripada China yang mengatakan kehadiran pesawat B-52 itu akan hanya meningkatkan ketegangan di rantau itu.

“Tindakan Amerika Syarikat telah meningkatkan ketegangan di rantau, memburukkan lagi keamanan dan kestabilan serta mencetus perlumbaan senjata,” kata jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian.

Pesawat B-52 merupakan platform utama senjata nuklear dan konvensional strategik bagi Tentera Udara Amerika Syarikat.

Berusia 70 tahun pada ketika ini, pesawat B-52 digunakan secara ekstensif oleh Tentera Udara Amerika Syarikat walapun tentera udara itu memiliki pesawat pengebom strategik yang lain seperti B-1 Lancer dan B-2 Spirit.

Amerika Syarikat masih mempunyai kira-kira 58 buah pesawat pengebom strategik B-52 yang berkhidmat dengan Tentera Udara Amerika Syarikat ketika ini, dengan 18 buah pesawat di dalam simpanan dan 12 buah pesawat dalam stor.

Thrust Vectoring Control Nozzle pesawat F-22 Raptor.

 

Keseluruhannya Amerika Syarikat membina sebanyak 744 buah pesawat pengebom strategik B-52 untuk kegunaannya.

Direkabentuk pada mulanya sebagai pesawat pengebom berkelajuan dan ber-altitud tinggi, B-52 pada ketika ini memiliki keupayaan untuk membawa dan melancarkan peluru berpandu AGM-86B Air-Launched Cruise Missile (ALCM).

“Pesawat B-52 telah dan akan terus menjadi sebahagian daripada komponen kepada triad nuklear angkatan tentera Amerika Syarikat,” menurut kenyataan daripada Global Strike Command Tentera Udara negara itu yang bertanggungjawab menentukan operasi pengeboman strategik dan jarak jauh. — DSA

 

 

 

AmerikaAustraliaB-52featured
Comments (0)
Add Comment