Amerika “Pencenkan” 310 Pesawat Kombatnya Termasuk 32 Buah F-22 Raptor Tahun Depan

Membersarakan 310 buah pesawat termasuk 32 buah F-22 Raptor bertujuan untuk memastikan Tentera Udara Amerika Syarikat mempunyai lebih banyak sumber kewangan untuk dibelanjakan bagi keperluan masa depannya seperti pesawat generasi ke-6 dipanggil “New Generation Air Combat” (NGAD).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bagi memastikan ia mempunyai lebih banyak sumber kewangan untuk dibelanjakan pada tahun depan, Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) bercadang untuk menamatkan khidmat 310 buah pesawat pejuang yang kini digunakan oleh pelbagai skuadron kombatnya.

Persaraan 310 buah pesawat kombat itu akan memastikan USAF mempunyai lebih banyak duit untuk berbelanja terhadap keperluan masa depannya seperti pesawat generasi ke-6 dipanggil “New Generation Air Combat” (NGAD) serta membangunkan dron yang akan menyertai peperangan udara.

USAF memohon sejumlah US$185 bilion (RM740 bilion) bagi belanjawannya pada tahun depan, yang merupakan suatu peningkatan berbanding US$179 bilion (RM716 bilion) peruntukan yang diterimanya pada tahun ini.

Menurut pegawai-pegawai tinggi USAF,  antara pesawat yang akan dibersarakan pada tahun depan termasuklah E-8 Joint Surveillance Target Attack Radar System (JSTARs), KC-10 selain mempercepatkan lagi penamatan khidmat pesawat pejuang A-10 Warthog.

Walaupun Kongress Amerika Syarikat menghalang usaha USAF untuk membersarakan pesawat pejuang Air Dominance F-22 Raptor pada tahun ini, namun USAF akan meneruskan usahanya untuk menamatkan khidmat F-22 itu pada 2024.

Varian pesawat pejuang F-15C/D akan turut dibersarakan oleh Amerika Syarikat

 

USAF akan cuba menamatkan khidmat 32 buah pesawat F-22 Block 20 yang terdiri daripada varian yang sudah berusia dan memerlukan belanja yang besar untuk dinaiktaraf pada tahun depan.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat lebih rela membersarakan pesawat pejuang generasi ke-lima itu daripada berbelanja besar untuk berbilion dollar Amerika untuk menaiktarfnya dengan teknologi baru.

Menurut laporan pihak Government Accountability Office (GAO) Amerika Syarikat, USAF membelanjakan kira-kira US$2.2 bilion (RM8.8 bilion) setiap tahun untuk mengoperasikan kira-kira 170 buah pesawat F-22 Raptor yang masih berada beroperasi..

Ia berpendapat bahawa wang yang dijimatkan menerusi persaraan 32 buah pesawat F-22 itu boleh disalurkan untuk keperluan membangunkan pesawat generasi ke-6 iaitu NGAD.

Selain itu, USAF juga mahu menamatkan khidmat pesawat pejuang F-15C/D yang dioperasikan oleh Air National Guard, dengan sejumlah 57 buah daripada pesawat pejuang terbabit dirancang untuk ditamatkan khidmat pada tahun depan.

Pesawat airborne warning and control system (AWACS) E-3B juga akan dibersarakan tahun depan.

 

Pesawat-pesawat F-15C/D itu yang ditamatkan khidmatnya akan digantikan dengan varian F-15EX yang lebih moden serta pesawat pejuang pejuang generasi kelima satu enjin F-35.

Pihak USAF juga bercadang menamatkan khidmat sebanyak 16 buah pesawat E-3 Airborne Warning and Control System (AWACS) pada tahun depan.

Setiausaha Tentera Udara Amerika Syarikat Frank Kendall berkata bahawa pelbagai peralatan di dalam pesawat AWACS itu telah pun berusia dan USAF tidak “kehilangan apa-apa” dengan menamatkan khidmat pesawat amaran awal itu.

Tugasan yang selama ini dipikul oleh pesawat E-3 AWACS itu kini dipikul oleh penggantinya E-7 Wedgetail.

Mengikut perancangan, USAF juga akan menamatkan khidmat sejumlah 48 buah dron MQ-9 “Reaper” yang telah berusia dan terlalu mahal untuk dinaiktaraf, pesawat pengangkut C-130 daripada varian “H” dan “J” dan 24 buah pesawat pengisi minyak KC-10 diantaranya pada tahun depan. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AmerikaF-22featuredPencenPesawatRaptor