Amerika Cadang Jual Kapal LCS Kelas-Freedom. Ada Yang Berminat Ke?

Tentera Laut Amerika Syarikat mula mentauliahkan kapal LCS kelas-Freedom yang pertama pada tahun 2008, dengan kos pembinaan setiap kapal LCS adalah di dalam lingkungan US$350 juta hingga US$500 juta. (RM1.4 bilion hingga RM2 billion)

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun dianggap “masih muda” tetapi Tentera Laut Amerika Syarikat mahu menamatkan khidmat sembilan buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) kelas-Freedom dan menjualnya kepada sekutu dan negara-negara sahabatnya.

Kapal LCS termuda Tentera Laut Amerika, USS St Louis (LCS-19) baru sahaja ditauliahkan oleh tentera laut negara itu dua tahun lepas, tetapi ia masih tetap akan dijual.

Tentera Laut Amerika Syarikat mula mentauliahkan kapal LCS kelas-Freedom yang pertama pada tahun 2008, dengan kos pembinaan setiap kapal LCS adalah di dalam lingkungan US$350 juta hingga US$500 juta. (RM1.4 bilion hingga RM2 billion)

Setiap kapal LCS-kelas Freedom itu membawa di antara 50 hingga 65 krew dan dilengkapkan dengan lapan pelancar peluru berpandu anti-kapal “Naval Strike Missile” (NSM) yang dibangunkan oleh firma Kongsberg daripada Norway.

“Kita (Amerika Syarikat) sepatutnya mempertimbangkan untuk menjual kapal-kapal itu (sembilan buah kapal LCS) kepada negara-negara lain yang dapat menggunakan kapal-kapal ini dengan lebih berkesan,” kata Panglima Tentera Laut Amerika Laksamana Michael Gliday pada sesi pendengaran senat negara itu.

Amerika Syarikat bercadang menjual sembilan buah kapal LCS itu yang berat mencecah 3,500 tan setiap satu menjelang tahun 2024 bagi membolehkan tentera laut menjimatkan sebanyak US$3.6 bilion.

Sementara itu Panglima Tentera Laut Amerika Syarikat itu memberi contoh tentang beberapa negara di Amerika Selatan yang mungkin berminat untuk memperolehi kapal-kapal LCS kelas-Freedom yang Washington cadang untuk dijual.

Sejak beberapa tahun lepas, kapal-kapal LCS kelas-Freedom telah digunakan secara meluas oleh Tentera Laut Amerika untuk membanteras kegiatan penyeludupan dadah di sempadan perairan negara itu dengan negara-negara Amerika Tengah.

Selain negara-negara Amerika Selatan yang berpotensi menjadi pembeli sembilan buah kapal LCS yang Amerika cadang menjualnya, Taiwan turut menunjukkan minat untuk membelinya.

Negara pulau itu berkemungkinan memperolehi kapal-kapal LCS kelas-Freedom yang bakal dibersarakan oleh Amerika Syarikat untuk menandingi bilangan kapal-kapal perang China yang jauh lebih banyak pada ketika ini.

Bagi negara-negara yang berminat untuk memperolehi kapal-kapal LCS Amerika itu, mereka perlu mempertimbangkan kos operasi kapal-kapal itu yang tinggi sebelum bercita-cita membelinya.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Ini kerana menurut sebuah media pertahanan Amerika Syarikat, Defense News, kos operasi tahunan setiap sebuah kapal LCS itu adalah kira-kira US$70 juta (RM280 juta).

Kos operasi tahunan kapal LCS kelas-Freedom itu adalah hampir sama dengan kos operasi tahunan pengendalian kapal destroyer Arleigh Burke Tentera Laut Amerika Syarikat.

Selain kos operasi yang tinggi, negara-negara berminat membeli kapal-kapal LCS itu juga perlu mengambilkira masalah mekanikal yang dihadapi oleh kapal terbabit serta kekurangan sistem peperangan anti-kapal selamnya.

Pada ketika ini, terdapat enam buah lagi kapal LCS sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan. — DSA

AmerikafeaturedFreedomLCS