Amerika Cuba Bantutkan Program Pembangunan Peluru Berpandu Jarak Jauh Pakistan

Agensi penyelidikan China, Research Institute of Automation for Machine Building Industry (RIAMB) didakwa menjalin kerjasama rapat dengan National Development Complex (NDC), Pakistan yang bertanggungjawab dalam aktiviti membangunkan dan membina beberapa jenis peluru berpandu ballistik jarak jauh Pakistan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat mahu membantutkan program pembangunan peluru berpandu ballistik Pakistan dengan bertindak mengenakan sekatan terhadap sebuah institut kajian China yang menjalin kerjasama dengan agensi Pakistan dalam membangunkan beberapa jenis peluru berpandu ballistik jarak sederhana untuk negara Asia Selatan itu.
Beberapa hari lalu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat Matthew Miller dalam satu kenyataan berkata, ia memutuskan untuk mengenakan sekatan terhadap agensi penyelidikan  China, Research Institute of Automation for Machine Building Industry (RIAMB).
Agensi penyelidikan China itu didakwa menjalin kerjasama rapat dengan National Development Complex (NDC), Pakistan yang bertanggungjawab dalam aktiviti membangunkan dan membina beberapa jenis peluru berpandu ballistik jarak jauh Pakistan.
Antara peluru-peluru berpandu ballistik jarak jauh yang dibangunkan dan dibina oleh National Development Complex, Pakistan itu adalah “Shaheen III” dan juga “Ababeel.”
Peluru berpandu ballistik jarak jauh “Shaheen III” dikatakan adalah antara peluru berpandu paling moden dimilik oleh tentera Pakistan.
“Shaheen-II”
Peluru berpandu ballistik yang menggunakan bahan api pepejal itu berkemampuan membedil sasaran dengan peledak konvensional dan nuklear sejauh sejauh 2,700km.
Ia adalah peluru berpandu ballistik paling jauh dimiliki oleh Pakistan.
Tentera Pakistan dilaporkan mula membangunkan peluru berpandu ballistik “Shaheen” itu pada awal 2000 dan pada 2014 ia mula memasuki perkhidmatan strategik tentera negara itu.
Berat keseluruhan peluru berpandu ballistik “Shaheen” itu itu adalah kira-kira 24,000 kg dan boleh dilengkapi dengan 1,200kg peledak konvensional.
Peluru berpandu ballistik “Shaheen” adalah peluru berpandu dua tahap (two-stage) yang menggunakan bahan api pepejal, manakala sistem panduannya  pula menggunakan Inertial dan Terminal dengan Circular Error Probable (CEP) 350m.
Pada 2017, pihak Amerika Syarikat percaya tentera Pakistan memiliki sehingga 50 butir peluru berpandu ballistik “Shaheen-II” dan “Shaheen-III”, tetapi percaya jumlah peluru berpandu ballistik itu berkemungkinan besar telah meningkat satu atau dua kali ganda.
“Shaheen-II”
Manakala peluru berpandu ballistik “Ababeel” pula dilaporkan berkemampuan membawa Multiple Independently Targetable Re-Entry Vehicle (MIRV).
Peluru berpandu ballistik “Ababeel” itu dikatakan masih di dalam tahap pembangunan.
Pada Oktober tahun lepas, tentera Pakistan telah melancarkan ujian pelancaran kedua peluru berpandu ballistik jarak sederhana “Ababeel”.
Pakistan merupakan negara pertama di Asia Selatan melaksanakan ujian pelancaran terhadap peluru berpandu ballistik  “Ababeel” yang dilengkapkan dengan keupayaan MIRV, mengatasi negara jiran dan “musuh ketatnya” India yang masih belum mencapai tahap kemajuan itu dalam program pembangunan peluru berpandu ballistiknya.
Peluru berpandu ballistik jarak sederhana “Ababeel” berkeupayaan MIRV itu mampu membedil sasaran sejauh 2,200km.
Apakah itu MIRV?
MIRV adalah merupakan muatan membawa beberapa kepala peledak thermonuklear yang berkemampuan membedil sasaran pada masa serentak.
Pada ketika hanya beberapa negara di dunia yang memiliki peluru-peluru berpandu ballistik yang mempunyai keupayaan MIRV seperti Russia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan China, manakala Israel juga dipercayai memiliki atau sedang membangunkan peluru berpandu ballistik dengan kemampuan MIRV.
Sekiranya peluru berpandu ballistik jarak sederhana “Ababeel” milik Pakistan itu berjaya dalam pembangunan seterusnya, maka ia akan menyertai sekumpulan kecil negara-negara di dunia yang memiliki kemampuan MIRV itu.
“Ababeel.”
Selain tindakan dikenakan terhadap Research Institute of Automation for Machine Building Industry (RIAMB), Jabatan Negara Amerika Syarikat juga bertindak mengenakan sekatan terhadap tiga syarikat dan seorang rakyat China serta sebuah syarikat Pakistan kerana memindahkan peralatan dan teknologi  kawalan di bawah Missile Technology Control Regime (MTCR) kepada negara-negara bukan penandatangan MTCR.
Ketiga-tiga syarikat China itu adalah — Hubei Huachangda Intelligent Equipment Company, Universal Enterprise Limited dan Xi’an Longde Technology Development Company Limited (aka Lontek) serta seorang rakyat China Luo Dongmei.
Syarikat Pakistan yang dikenakan sekatan Jabatan Amerika itu pula adalah   Innovative Equipment. — DSA 
AbabeelfeaturedPakistanShaheen