Amerika Bergantung Pada Turkiye Dalam Peningkatan Pengeluaran Peluru Meriam 155mm

Washington turut meningkatkan perolehan bahan-bahan seperti Trinitrotoluene (TNT) and Nitroguanidine daripada Turkiye yang digunakan sebagai bahan api (propellant) untuk peluru-peluru artilleri  155mm mengikut standard NATO.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat terpaksa meminta bantuan daripada Turkiye dalam usahanya untuk meningkatkan pengeluaran peluru-peluru artilleri bagi dibekalkan kepada Ukraine yang kini sedang berhadapan dengan masalah kekurangan peluru artilleri yang amat kritikal.

Washington turut meningkatkan perolehan bahan-bahan seperti Trinitrotoluene (TNT) and Nitroguanidine daripada Turkiye yang digunakan sebagai bahan api (propellant) untuk peluru-peluru artilleri  155mm mengikut standard NATO.

Bantuan dan kerjasama daripada Turkiye itu amat penting untuk memastikan pengeluaran peluru-peluru meriam itu dipertingkatkan sebanyak tiga kali ganda bagi menampung kekurangan peluru meriam 155mm itu dan seterusnya membantu kempen ketenteraan Ukraine menentang kemaraan tentera Russia.

Mengapa Amerika Syarikat memilih Turkiye? Ia adalah kerana kesemua peluru-peluru meriam, roket dan peluru berpandu yang dikeluarkan oleh Turkiye mematuhi standard yang ditetapkan oleh NATO.

Selain Amerika Syarikat, beberapa negara Eropah turut membeli peluru-peluru meriam daripada Turkiye.

Menurut laporan oleh agensi berita Bloomberg, syarikat pertahanan Turkiye, Repkon dijangka akan meningkatkan pengeluaran peluru-peluru meriam 155mm sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2025.

Laporan berita juga menyebut bahawa Amerika Syarikat telah membeli sebanyak 116,000 peluru  meriam daripada sebuah syarikat pertahanan Turkiye, Arca Defense dengan penghantaran dijangkakan pada tahun ini.

Washington dijangka akan meningkatkan lagi pesanan untuk peluru-peluru meriam daripada Arca Defense pada tahun depan.

Ukraine sedang berhadapan dengan kekurangan kritikal peluru-peluru meriam 155mm, pada ketika bantuan kewangan berjumlah US$60 billion (RM270 billion) daripada Amerika Syarikat tidak mendapat persetujuan oleh Kongres negara itu.

Kekurangan bantuan kewangan dan senjata daripada Amerika Syarikat telah meningggalkan kesan yang mendalam terhadap tentera Ukraine, menyebabkan kekalahannya di medan-medan peperangan seperti di Avdiivka baru-baru ini.

Berbanding dengan Ukraine, industri pertahanan Russia menghasilkan hampir 250,000 peluru meriam setiap bulan atau kira-kira 3 juta peluru meriam setahun, yang merupakan tiga kali ganda lebih banyak daripada pengeluaran oleh Amerika Syarikat dan Eropah, sebagaimana dinyatakan oleh badan-badan perisikan Eropah.

Selain daripada peluru-peluru meriam yang dihasilkan oleh industri pertahanannya sendiri, Russia turut mendapatkan peluru-peluru meriam, roket dan peluru berpandu daripada negara-negara sahabatnya seperti Iran dan Korea Utara yang telah membekalkan pelbagai jenis persenjataan kepada Moscow.

Bukan sahaja peluru-peluru meriam, roket dan peluru berpandu, Iran sebagai contohnya turut membekalkan dron-dron berani mati seperti “Shahed-136” untuk digunakan oleh tentera Russia di Ukraine. — DSA

 

AmerikafeaturedMeriamTurkiye
Comments (0)
Add Comment