Apa Sudah Jadi Dengan Kapal Selam Indonesia, “Alugoro”?

(DEFENCE SECURITY ASIA) – APA SUDAH JADI … merupakan pertanyaan yang berlegar-legar dipemikiran sesetengah media Indonesia tentang nasib yang menimpa kapal selam buatan tempatan pertama Indonesia “Alugoro” yang sepatutnya sudah siap dan diserahkan kepada tentera laut negara itu.

Menurut CNBC Indonesia, kapal selam itu yang dibina sepenuhnya dalam negara oleh syarikat pembuat kapal tempatan, PT PAL dilimbungannya di Surabaya, sepatut diserah Disember ini tetapi sehingga kini tiada berita mengenainya.

Di dalam laporan berita oleh CNBC Indonesia bertajuk “ Tenggelam Tak Ada Kabar, Kapal Selam Buatan RI Gagal Dikirim?, wakil pengurusan tertinggi PT PAL, Utario Esna Putra menutup mulut apabila ditanya mengenai nasib yang menimpa kapal selam itu.

Beliau bagaimanapun mengakui minat daripada masyarakat dan peminat pertahanan di Indonesia untuk melihat kapal selam pertama buatan tempatan itu itu berlayar adalah amat tinggi. “Untuk sekarang saya masih belum bisa mengkonfirmasi hal tersebut (gagal kirim tahun ini),” kata Utario kepada CNBC Indonesia itu.

Indonesia menandatangani perjanjian  dengan Korea Selatan pada 2011 untuk memperolehi tiga buah kapal selam pada nilai lebih US$1 billion. 

Dua buah kapal selam, Nagapasa dan Ardadeli dibina di Korea Selatan manakala Alugoro dipasang di dalam Indonesia.

Ia akan menjadikan Alugoro sebagai kapal selam pertama di pasang di Asean.

Adakah penyakit LCS kita sudah “berjangkit” kepada projek pembinaan kapal selam Indonesia, kita nantikan sahajalah.

Menurut Utario, kapal selam Alugoro itu masih berada di limbungan kapal PT PAL di Surabaya tetapi tidak mendedahkan bentuk kerja-kerja yang sedang dijalaninya ketika ini.

Pada awal Mac lepas, kapal selam itu telah berjaya menjalani ujian menyelam kedalaman 300 meter manakala selepas itu menjalani pelbagai ujian berkenaan Sea Acceptance Test (SAT) sehingga Oktober.

Limbungan kapal PT PAL di Surabaya. (foto PT PAL)

Selepas Oktober, tiada lagi berita mengenai kapal selam itu, sama ada ia berjaya menjalani ujian SAT itu atau tidak, sekaligus menimbulkan pertanyaan dikalangan peminat pertahanan negara ini sama ada Alugoro sedang berhadapan dengan masalah.

Kali terakhirnya, dikatanya Alugoro sedang menjalani SAT di perairan utara Bali.

Tindakan  mendiamkan diri ini amat berlainan dengan sikap-sikap yang selalu ditonjolkan oleh pemain-pemain industri pertahanan Indonesia yang suka mengembar-gemburkan apa sahaja usaha yang sedang dilakukan oleh mereka, mungkin sebagai public relation exercise mereka.

Ia sama juga dengan isu pembelian sesuatu kelengkapan pertahanan, walaupun baru sahaja berbincang dengan syarikat pembuat, tetapi “kecoh dan riuhnya” seperti peralatan itu sudah dimiliki mereka sejak semalam.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

AlugoroIndonesiaKapal SelamPt Pal
Comments (0)
Add Comment