Adakah Kapal Pengangkut Pesawat Britain HMS Prince of Wales Akan Belayar di Selat Taiwan ??

Walaupun kerajaan Britain belum mengesahkan secara rasmi laluan sebenar pelayaran kapal HMS Prince of Wales dalam Operasi Highmast itu, pihak Tentera Laut Diraja tidak menolak kemungkinan akan belayar melalui Selat Taiwan yang mempunyai lebar kira-kira 180 kilometer.
Adakah Kapal Pengangkut Pesawat Britain HMS Prince of Wales Akan Belayar di Selat Taiwan ??
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal pengangkut Tentera Laut Diraja (Royal Navy) HMS Prince of Wales hari ini memulakan pelayaran selama lapan bulan ke Pasifik dan berkemungkinan akan belayar di Selat Taiwan, dalam tindakan yang sudah pasti mengundang kemarahan China serta mencetuskan lagi ketegangan di Indo-Pasifik.
Memulakan pelayarannya ke Pasifik hari ini daripada Portsmouth, kapal pengangkut pesawat itu diiringi oleh kapal-kapal perang British, Norway dan Kanada.
Walaupun kerajaan Britain belum mengesahkan secara rasmi laluan sebenar pelayaran kapal HMS Prince of Wales dalam Operasi Highmast itu, pihak Tentera Laut Diraja tidak menolak kemungkinan akan belayar melalui Selat Taiwan yang mempunyai lebar kira-kira 180 kilometer.
Komander-komander kanan yang berada di atas kapal pengangkut pesawat seberat 65,000 tan itu menyatakan bahawa mereka bersedia untuk mengambil apa jua laluan pelayaran yang diperlukan sepanjang misi yang dilaksanakan oleh HMS Prince of Wales dan kapal-kapal pengiringnya.
Komodor James Blackmore memberitahu akhbar The Telegraph bahawa Tentera Laut Diraja akan bergerak ke rantau Indo-Pasifik bagi “mempertahankan peraturabn antarabangsa” — walaupun terpaksa berdepan ancaman konflik demi melaksanakannya.
Beliau turut menegaskan: “Saya akan laksanakan apa sahaja misi yang diarahkan kepada saya — itulah tanggungjawab saya.”
HMS Prince of Wales
HMS Prince of Wales
“Tanggungjawab saya adalah untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan — sama ada dari segi keupayaan tempur, penglibatan pertahanan, mahupun kerjasama dengan rakan dan sekutu — jadi saya bersedia untuk melaksanakan apa sahaja yang diarahkan oleh kerajaan atau Kementerian Pertahanan,” katanya.
“Salah satu tujuan kehadiran kami di rantau ini adalah untuk mempertahankan ketertiban antarabangsa. Ia menunjukkan komitmen kami terhadap perkara itu dan memberi jaminan kepada rakan dan sekutu kami.”
“Keputusan mengenai laluan yang akan diambil bukan ditentukan oleh saya, sebaliknya akan dibuat oleh pihak kerajaan di peringkat yang jauh lebih tinggi.”
“Apa yang boleh saya pastikan ialah saya bersedia untuk melaksanakan apa sahaja laluan dan misi yang diarahkan kepada saya.”
Kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales akan diiringi oleh kapal pemusnah Type 45 HMS Dauntless, kapal friget HMS Richmond, kapal pembekal bahan api RFA Tidespring serta sebuah kapal selam serangan berkuasa nuklear kelas-Astute yang tidak dinamakan.
Tentera Laut Diraja Kanada dan Tentera Laut Sepanyol masing-masing akan menghantar sebuah friget, manakala Tentera Laut Norway pula akan menyertai pelayaran penuh dengan dua buah kapal friget, HNoMS Maud dan HNoMS Roald Amundsen.
Kapal-kapal perang milik Tentera Laut Amerika Syarikat juga kerapkali menyertai pelayaran tetapi kali ini penyertaannya belum dapat dipastikan lagi.
HMS Prince of Wales
HMS Prince of Wales dijadualkan menjalani latihan bersama di perairan Perancis sebelum meneruskan pelayaran ke Laut Mediterranean bagi mengadakan lebih banyak latihan bersama-sama kapal perang Tentera Laut Itali.
Selepas fasa persediaan tersebut, kapal pengangkut pesawat itu akan belayar merentasi Terusan Suez dan Laut Merah menuju ke destinasi di sebelah timur.
Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan sama ada, atau sejauh mana, HMS Prince of Wales akan turut terlibat dalam kempen pengeboman yang diketuai Amerika Syarikat terhadap Yemen semasa pelayaran tersebut.
Sebelum ini, pasukan tentera Britain pernah menyertai operasi berkenaan, namun kempen itu kini semakin giat dan skopnya turut diperluas di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.
Ini merupakan kali kedua dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini Tentera Laut Diraja Britain mengatur gerak kumpulan serangan kapal pengangkut pesawat untuk misi jarak jauh.
Kali terakhir adalah pada tahun 2021 apabila kapal pengangkut pesawat HMS Queen Elizabeth memulakan pelayaran selama tujuh bulan dari Portsmouth ketika pandemik COVID-19 sedang memuncak.
Dalam pelayaran pada 2021 itu, kapal pengangkut pesawat HMS Queen Ellizabeth dan kapal-kapal pengiringnya mengelak daripada belayar di Selat Taiwan itu tetapi mengadakan pelayaran di Laut China Selatan, yang sebahagian besar daripada perairan itu dituntut oleh China sebagai miliknya.
Taiwan
Selat Taiwan
Sekiranya HMS Prince of Wales dan kapal-kapal perang yang mengiringnya mengelak daripada melalui Selat Taiwan dalam penugasan kali ini, ia berpotensi mencetuskan kemarahan dalam kalangan pihak yang merasakan kerajaan Britain terlalu berlembut dengan China demi mencapai perjanjian perdagangan.
Selain Selat Taiwan, HMS Prince of Wales dan kapal-kapal pengiringnya juga dijangka berdepan ancaman ketika belayar melalui Bab-el-Mandeb di Laut Merah, kawasan di mana kumpulan bersenjata Houthi telah melancarkan serangan terhadap kapal-kapal dagang dan kapal tentera laut yang melalui perairan itu.
Jika HMS Prince of Wales belayar melalui Selat Taiwan, ia bermakna kapal induk itu sedang memasuki salah satu kawasan paling sensitif dari segi geopolitik di rantau Indo-Pasifik.
Tindakan itu pasti akan dianggap oleh Beijing sebagai cabaran terbuka terhadap tuntutan kedaulatannya, sekali gus berpotensi mencetuskan reaksi diplomatik yang keras serta tindakan ketenteraan yang agresif.
China boleh bertindak dengan memintas menggunakan jet pejuang, mengiringi kapal secara rapat atau melancarkan serangan peperangan elektronik — semua ini meningkatkan risiko salah tafsir yang boleh membawa kepada insiden berbahaya di laut.
Kehadiran Tentera Laut Diraja di Selat Taiwan boleh dijadikan naratif oleh China sebagai campur tangan kuasa Barat yang mencabar urusan dalaman negara itu.
Ia juga boleh menjejaskan hubungan dua hala antara London dan Beijing, terutamanya ketika Britain mungkin sedang mengintai peluang untuk memperkukuh kerjasama ekonomi atau diplomatik dengan China.
HMS Prince of Wales
Misi kebebasan pelayaran di perairan yang dipertikaikan ini berisiko mencetuskan serangan siber, tindakan balas ekonomi atau kempen maklumat palsu daripada mesin perang hibrid China.
Selat Taiwan bukan sekadar laluan laut — ia adalah zon tegang yang dipenuhi aset ketenteraan termasuk peluru berpandu, kapal selam dan radar PLA, menjadikannya antara kawasan paling berbahaya di dunia untuk dilalui oleh kumpulan serangan kapal induk.
HMS Prince of Wales, sebagai aset utama Tentera Laut Diraja Britain, akan menjadi sasaran bernilai tinggi di bawah pemantauan rapi, membawa bukan sahaja simbol keupayaan ketenteraan, tetapi juga pendirian tegas Barat.
Tindakan itu juga akan memberi kesan besar kepada rantau ini, memaksa negara-negara ASEAN untuk lebih berhati-hati dalam menjaga hubungan dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China.
Namun begitu, jika Selat Taiwan dielakkan, tindakan itu mungkin akan ditafsir sebagai kelemahan strategik — sekali gus memberi ruang kepada China untuk memperkukuh pendiriannya serta menimbulkan persoalan sama ada Britain benar-benar komited mempertahankan norma perkapalan antarabangsa.
Sama ada untuk belayar melalui Selat Taiwan atau tidak, ia bukan lagi keputusan tentang pelayaran semata-mata — tetapi satu ujian sebenar terhadap niat strategik Britain di Indo-Pasifik dan kesediaannya untuk bertegas apabila dicabar.
HMS Prince of Wales dan HMS Queen Elizabeth

 

Spesifikasi HMS Prince of Wales (R09)

  • Jenis Kapal: Kapal induk kelas Queen Elizabeth
  • Tarikh ditauliahkan: Disember 2019
  • Berat Muatan Penuh: Sekitar 65,000 tan
  • Panjang: 284 meter
  • Lebar:
    • 39 meter (garisan air)
    • 73 meter (dek penerbangan)
  • Sistem Kuasa:
    • Propulsion elektrik bersepadu (Integrated Electric Propulsion – IEP)
    • 2 × enjin turbin gas Rolls-Royce MT30
    • 4 × penjana diesel Wärtsilä
    • 2 × motor elektrik
    • Kelajuan maksimum: Melebihi 25 knot (lebih 46 km/j)
  • Jarak Operasi: Sekitar 10,000 batu nautika
  • Krew:
    • Sekitar 700 anggota krew utama
    • Boleh menampung sehingga 1,600 orang termasuk juruterbang dan pasukan operasi bersama
  • Kapasiti Pesawat:
    • Mampu membawa sehingga 40 buah pesawat, termasuk:
      • Pesawat pejuang F-35B Lightning II
      • Helikopter Merlin HM2 dan versi Crowsnest (AWACS)
      • Helikopter Wildcat untuk pelbagai kegunaan
    • Dalam operasi intensif, boleh ditingkatkan kepada lebih 50 buah pesawat
  • Dek Penerbangan:
    • Mempunyai dua menara (superstructure) – satu untuk navigasi dan satu lagi untuk kawalan penerbangan
    • Dilengkapi ramp ski-jump untuk melancarkan pesawat STOVL seperti F-35B
  • Radar dan Sistem Sensor:
    • Radar S1850M untuk pemantauan udara 3D jarak jauh
    • Radar Artisan Type 997 untuk pengawasan 3D jarak sederhana
    • Sistem elektro-optik dan inframerah untuk navigasi dan pertahanan
  • Sistem Pertahanan:
    • Phalanx CIWS (sistem senjata jarak dekat untuk serangan peluru berpandu)
    • Meriam automatik 30mm DS30M Mk2
    • Mesingan dan sistem gangguan elektronik seperti chaff dan flare
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

BritainChinaHMS Prince of WalesSelat Taiwan
Comments (0)
Add Comment