[VIDEO] Militan Houthi “Hujani” Kota-Kota Arab Saudi Dengan Peluru Berpandu, Dron Bersenjata

Militan Houthi juga didakwa melancarkan serangan peluru berpandu balistik terhadap kota suci Mekah pada 2016, 2017 dan 2019.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Semalam kumpulan militan Houthi di Yemen yang pro-Iran telah melancarkan serangan 14 buah dron bersenjata dan lapan peluru berpandu balistik terhadap beberapa kedudukan yang menempatkan kemudahan minyak dan gas Arab Saudi di Ras Tanura serta Dhahran.

Serangan terbabit berjaya dipatahkan oleh tentera Arab Saudi yang menggabungkan sistem pertahanan udara “Patriot” dan pesawat-pesawat pejuang F-15 untuk menembak jatuh dron bersenjata itu dan peluru-peluru balistik itu.

Sistem pertahanan udara “Patriot” Arab Saudi

 

Dan hari ini, militant Houthi di Yemen itu dilapor meneruskan lagi serangan peluru berpandu balistiknya dan dron bersenjata terhadap bandar-bandar di Arab Saudi dengan mensasarkan bandar Yanbu dan Khamis Mushait.

Serangan dua butir peluru berpandu balistik oleh militant Houthi itu disasarkan terhadap bandar Yanbu yang terletak tidak jauh daripada kota suci umat Islam iaitu Madinah kira-kira 160km di timurnya.  Bandar Yanbu adalah antara bandar pelabuhan Laut Merah utama di wilayah Al-Madinah yang terletak barat Arab Saudi.  Selain daripada penduduk tempatan, bandar itu juga menempatkan ramai expatriat yang bekerja di kemudahan-kemudahan minyak dan gas negara itu.

Dron bersenjata yang dilancarkan oleh militan Houthi

 

Sistem pertahanan udara Arab Saudi dilaporkan berjaya menembak jatuh peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh militan Houthi itu.

Pada 2019, kerajaan Arab Saudi mendakwa militant Houthi melancarkan dua butir peluru berpandu balistik kearah kota Mekah.

Kedua-dua peluru berpandu itu dipintas oleh sistem pertahanan udara Arab Saudi ketika berada di ruang udara antara Jeddah dan Taif yang termasuk di dalam wilayah Mekah. Bandar Jeddah terletak kira-kira 70km daripada Mekah manakala Taif pula kira-kira 30km daripada kota suci umat Islam itu.

Bagaimanapun militant Houthi menafikan ia mensasarkan kota suci Mekah dalam serangan peluru berpandu balistiknya pada tahun lepas itu.

Militan Houthi yang disokong oleh Iran juga didakwa mensasarkan kota Mekah dalam serangan peluru berpandunya pada tahun 2016 dan 2017.

Militan Houthi yang disokong oleh Iran memiliki simpanan peluru-peluru berpandu balistik yang dibekalkan oleh Iran termasuk Qiam-1 serta peluru-peluru berpandu yang diubahsuainya sendiri, yang boleh mencapai sasaran sejauh lebih 1,000km.

Ia juga memilki dron-dron bersenjata yang digunakan untuk menyerang kemudahan-kemudahan  minyak dan gas Arab Saudi dan lapangan terbangnya.

Sebagai tindak balas terhadap serangan dron bersenjata dan peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh militant Houthi, pesawat-pesawat pejuang tentera udara Arab Saudi telah melancarkan serangan udara terhadap kemudahan penyimpanan peluru berpandu serta woksyop memasang dron bersenjata milik Houthi di Sanaa semalam.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Arab SaudiDhahranDron BersenjataHouthiIranKhamis MushaitPeluru berpanduRas Tanura
Comments (0)
Add Comment