Polis, ATM Ketat Kawalan Sempadan Selepas Insiden Berbalas Tembak Di Selatan Thailand

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Polis tidak menolak kemungkinan beberapa penyerang yang disyaki terlibat dalam insiden berbalas tembak dan letupan bom di kawasan pergunungan di Rangae, Narathiwat di selatan Thailand beberapa hari lepas akan cuba memasuki negara ini.

Sehubungan dengan itu Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Pasukan keselamatan Thailand sedang dalam satu operasi di selatan Thailand.

“Berhubung kawalan sempadan, kedua-dua pihak sama ada polis atau ATM sentiasa diingatkan supaya memperketatkan kawalan di sempadan.Dengan kejadian yang berlaku di Thailand, kami tidak menolak (kemungkinan) mereka akan cuba memasuki Malaysia.”

Beliau dipetik berkata demikian oleh agensi berita nasional Bernama di Jeli, Kelantan hari ini tentang insiden berbalas tembak dan letupan bom tangan di daerah Rangae, Narathiwat pada Khamis lepas yang mengorbankan dua anggota Renjer negara itu dan mencederakan seorang yang lain.

Kejadian dilaporkan berlaku apabila 16 anggota renjer Thailand daripada 45th Ranger Task Force dikerahkan untuk menjejaki sekumpulan anggota pemisah yang dikesan di kawasan pergunungan Tawe di Rangae. Kesemua anggota renjer terbabit sedang berehat di khemah tetapi anggota pemisah telah menyedari kehadiran anggota pasukan keselamatan Thailang dan menyerang mereka menggunakan bom tangan serta senjata api.

Anggota keselamatan Thailand membawa turun mayat salah seorang daripada rakan mereka yang terbunuh dalam insiden berbalas tembak dengan kumpulan pemisah di hutan Pergunungan Tawe di daerah Rangae, Narathiwat.

“Anggota pemisah itu menghujani setiap khemah itu dengan tembakan menggunakan M-16 serta shot gun dan bom tangan. Insiden berbalas tembak itu berlaku selama kira-kira 15 minit sebelum mereka melarikan diri,” kata polis Thailand kepada media tempatan.

Bagaimanapun sebelum mereka melarikan diri, anggota pemisah itu sempat melarikan dua senjata api dan satu shot gun.

Polis Thailand tidak dapat mengenalpasti bilangan anggota pemisah yang terlibat dalam serangan di kawasan pergunungan Tawe itu tetapi percaya ia diketuai oleh oleh seseorang yang dikenali dengan nama sebagai “Abdullah Bulla.”

Gambar oleh Bangkok Post

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Abu Hamid BadorNarathiwatPergunungan TaweRangaeRenjerSerangan
Comments (0)
Add Comment