Kapal Kargo Milik Billionair Israel Terkena Letupan Di Teluk Oman

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal kargo milik Israel “Helios Ray” membawa kenderaan  mengalami kerosakan di beberapa bahagiannya akibat terkena bahan letupan ketika sedang belayar di Teluk Oman.

Disebabkan letupan itu, kapal “Helios Ray” yang dimiliki oleh billionair perkapalan Israel, Rami Ungar, 73, gagal meneruskan pelayaran mereka dan terpaksa berpatah balik ke Pelabuhan Dubai untuk tujuan memperbaiki kerosakan.

Antara kesan-kesan letupan yang mengenai kapal kargo “Helios Ray.”

Kapal kargo itu dioperasikan oleh syarikat perkapalan milik Ungar, Ray Shipping. Ungar yang terlibat dalam industry perkapalan dan pembinaan merupakan di antara warga terkaya Israel dan dikenali sebagai seorang yang “amat rapat” dengan ketua Mossad, Yossi Cohen.

Ketika kejadian yang tidak menyebabkan sebarang kematian atau kecederaan, kapal kargo terbabit sedang dalam perlayaran ke Singapura. Sumber-sumber dalaman kerajaan Israel yang dipetik oleh media antarabangsa menyalahkan elemen-elemen pasukan keselamatan Iran di atas kejadian letupan yang disasarkan terhadap kapal kargo milik antara rakyatnya yang terkaya  itu.

Kesan letupan di kapal “Helios Ray.”

Sementara itu, Rami Ungar yang dipetik oleh media Israel, Ynet berkata, letupan itu dipercayai berpunca daripada peluru berpandu atau periuk api.

“Pihak keselamatan akan menyiasat kejadian itu bersama dengan pegawai daripada syarikat saya,” kata billionair Israel itu kepada media negara itu.

Sementara itu syarikat perisikan keselamatan British, Dryad Global berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada “aktiviti asymmetry pasukan keselamatan Iran.”

Media-media Israel mengatakan pihak keselamatan negara itu memberitahu bot tentera Iran telah melancarkan peluru berpandu terhadap kapal kargo itu yang menyebabkan letupan dan kerosakan.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa jam selepas pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat melakukan serangan udara terhadap kedudukan kumpulan militan pro-Iran di sempadan Iraq-Syria.

Serangan udara Amerika Syarikat itu dipercayai merupakan respons terhadap serangan roket militant pro-Iran terhadap kedudukan tentera Amerika di bandar Erbil, di utara Iraq yang mengorbankan seorang kontraktor awam dan mencederakan beberapa anggota tentera Amerika.

Tidak lama sebelum serangan udara Amerika Syarikat itu, jet-jet pejuang Israel turut melancarkan serangan udara terhadap ke kedudukan militant pro-Iran di selatan Damsyik.

Billionair perkapalan Israel, Rami Ungar

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Amerika SyarikatHelios RayIsraelkapal kargoRami UngarTeluk Oman
Comments (0)
Add Comment