Dron Iran “Kaman 22” Diciplak Daripada Dron “MQ-9” Amerika Syarikat? Lihat Perbandingan….

DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, tentera udara Iran telah memperkenalkan pesawat tanpa pemandunya (UAV) ciptaan jurutera-jurutera tempatan yang terbaru, dinamakan “Kaman 22”.

Dron terbaru Iran itu telah didedahkan kepada khalayak ramai buat pertama kalinya oleh Panglima Tentera Udara Iran Brig Jen Aziz Nasirzadeh.

“Kaman 22” (kiri) vs “MQ-9” (kanan). (gambar kredit The Aviationist)

Namun apabila diperkenalkan, apa yang nyata adalah rekabentuk dron terbaru Iran itu hampir menyerupai dron Amerika Syarikat, “MQ-9 Reaper” walaupun daripada segi saiz ia adalah lebih kecil.

Adakah rekabentuk “Kaman 22” itu adalah hasil ciplak dron buatan Amerika Syarikat? Menurut laporan media-media Iran, dron “Kaman 22” ini boleh membawa pelbagai senjata dan peluru berpandu, selain boleh terbang sejauh 3,000km serta terbang melebihi 24 jam.Dron ini direkabentuk untuk memenuhi keperluan operasi tentera udara Iran dan sedang memasuki peringkat akhir pembuatannya.

Dron “Kaman 22” Iran membawa pelbagai peluru berpandu.

Iran bukanlah asing kepada pembangunan dan pembuatan pesawat-pesawat tanpa pemandu.

Malah ia boleh membina dron-dron tempatan berdasarkan kepada dron-dron negara Barat yang ia berjaya perolehi selepas sama ada ia ditembak jatuh atau terhempas  seperti “Scan Eagle” dan “RQ-170” dan membinanya semula menerusi kaedah “reverse engineering”.

Antara dron-dron buatan jurutera Iran yang diketahui adalah Shahed-129, yang merupakan sebuah dron jenis Medium Altitude Long Endurance (MALE).

Shahed 129 dikatakan adalah hasil gabungan rekabentuk antara dron Israel,Hermes 450 dan MQ-1/9 buatan Amerika Syarikat manakala dron-dron Shahed 181 dan Shahed 191 adalah hasil “reverse engineering” daripada dron RQ-170.

RQ-170 adalah dron Amerika Syarikat yang dirampas oleh Iran selepas ia terhempas pada 2011.

Menurut media Iran, dron RQ-170 telah berjaya ditembak jatuh sistem pertahanan udara negara itu.

— DEFENCE SECURITY ASIA

DronIranKaman 22MQ-9 ReaperShahed
Comments (0)
Add Comment